Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:

 

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Nahl 16:125]

 

----------

Peranan kita, sebagaimana perintah Allah dalam ayat di atas, ialah menyeru manusia ke jalan Allah. Yakni jalan Tauhid dan Syariat Allah.

Amatlah bertentangan dengan perintah di atas apabila ada sebahagian umat Islam yang mengucapkan selamat atas perayaan kaum-kaum lain di mana perayaan tersebut menyelisihi jalan Allah.

 

-----------

Tahun Baru Cina ialah salah satu perayaan dan ia merupakan hak bagi sesiapa yang mahu menyambutnya.

Tahun Baru Cina bukan semata-mata masuknya tahun baru dalam kalendar Cina, akan tetapi bersamaan dengan itu ada ramalan-ramalan pada tahun tersebut yang dikaitkan dengan haiwan tertentu.

Contohnya esok bermulanya Tahun Monyet dalam kalendar Tahun Baru Cina. Sila Google "Year of The Monkey" untuk mengetahui apakah ramalan-ramalan tersebut.

Justeru bagi kita umat Islam, Tahun Baru Cina bukan sekadar kemasukan tahun baru, tetapi merupakan sesuatu yang memberi kesan ke atas aqidah kita umat Islam.

Ini kerana bagi kita umat Islam, kita beriman bahawa semua perkara telah ditaqdirkan oleh Allah dan ia tidak terkait dengan sekian-sekian kalendar atau haiwan.

Di sinilah letak pertentangan antara "menyeru ke jalan Allah" - yakni tidak ada ramalan-ramalan yang terkait dengan kalendar atau haiwan dengan ucapan "Selamat Tahun Baru Cina" - yakni adanya ramalan-ramalan tertentu yang terkait dengan masuknya tahun baru dan haiwan.

 

--------

Ada yang menyambut Tahun Baru Cina bukan kerana kemasukan kalendar baru dan tidak mempercayai ramalan-ramalan yang terkait dengannya. Akan tetapi mereka menyambut semata-mata sebagai sambutan dan kegembiraan.

Dalam kes seperti ini, ada yang berpendapat boleh mengucapkan "Selamat" kepada yang menyambutnya. Namun ada yang berkata tetap tidak boleh kerana sukar bagi kita untuk membezakan sebab seseorang itu menyambutnya. (Saya cenderung kepada pendapat kedua ini).

Ada yang berkata boleh mengucapkan "Selamat" dengan hati yang tidak memaksudkannya. Pendapat ini ditolak kerana ia merupakan dusta dan Islam melarang umatnya daripada berdusta meskipun kepada kaum lain.

Ada yang mengucapkan "Selamat" setelah menimbang di antara dua mudarat dan mengambil mudarat yang lebih kecil. Ini lazim berlaku kepada seseorang yang telah memeluk Islam, lalu dia ingin menjaga hubungan ahli-ahli keluarganya dengan harapan satu hari kelak mereka juga akan mengikutinya ke jalan Allah. Mereka mengucapkan "Selamat" dengan hati yang tidak tenang dan mengharapkan keampunan Allah. Ini terserah kepada budi bicara dan ijtihad individu tersebut. (Saya berpendapat ini dibolehkan).

Adapun kepada kaum Melayu yang 365 hari tak pernah sebut nama Allah walau sekali kepada rakan atau jiran mereka yang belum Islam, tidak perlu menipu diri sendiri dengan berkata: "Saya ucapkan selamat dalam rangka berdakwah kepada mereka...."

 

KHFA - 7 Februari 2016