Ulangkaji posting saya di FB ini 3 tahun yang lepas.

Ayuh sahabat-sahabat, kita upgrade ilmu secara berterusan.

Malulah depan Allah kelak, apabila ditanya kenapa buat amalan sekian-sekian, kita jawab "Ustaz zaman sekolah ajar saya begitu".

Padahal dalam pelbagai ilmu lain, sudah upgrade jauh dari apa yang diajar pada zaman sekolah.

-------------

 

Ketika di bangku sekolah, saya belajar subjek "Pengetahuan Agama Islam". Ia sekadar wajib tahu dan lulus peperiksaan setiap penggal.

Ketika sudah tamat sekolah, saya belajar agama Islam. Ia kerana ingin tahu dan lulus peperiksaan di hadapan Allah di Hari Akhirat kelak.

Ketika di bangku sekolah, saya belajar jika kita bersentuhan dengan khinzir, atau bersentuhan dengan apa-apa yang bersentuhan dengan khinzir, maka perlu disertu dengan tujuh basuhan, sekali di antaranya dengan tanah. Dalam peperiksaan saya jawab seperti di atas, saya dapat markah betul.

Ketika sudah tamat sekolah, saya belajar jika kita bersentuhan dengan khinzir, atau bersentuhan dengan apa-apa yang bersentuhan dengan khinzir, maka memadai dengan basuhan air biasa. Tidak perlu sertu. Ketika disoal oleh Allah kelak, saya akan jawab berdasarkan jawapan manusia yang Allah pilih menjadi Rasul-Nya di dunia ini:

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani (radhiallahu ‘anhu), beliau berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya kami bertetangga dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam bekas masak mereka (periuk/kuali/belanga) dan meminum khamar di dalam gelas mereka (lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut)?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

 

“Jika kamu dapat mencari bekas yang selain darinya maka makan dan minumlah dengannya. Tetapi jika kamu tidak dapat mencari bekas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah (dengannya).”
(Shahih Sunan Abu Daud, no. 3342/3839)

 

Ketika di bangku sekolah, saya diajar untuk memilih pendapat yang paling ketat dan selamat.

 

Ketika sudah tamat sekolah, saya belajar daripada Rasulullah SAW untuk pilih pendapat yang mudah dan menggembirakan berdasarkan sabda baginda: “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.” [Shahih al-Bukhari, no: 67/69]

 

Ayuh sahabat-sahabat! Kenapa dalam pelbagai subjek lain kita perbaiki dan perbaiki tetapi dalam subjek agama Islam kita masih dengan ilmu yang sama di bangku sekolah?

 

KHFA - 9 Februari 2016