Tazkirah hari ini:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

 

فَنَاءُ أُمَّتِي بِالطَّعْنِ وَالطَّاعُونِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَذَا الطَّعْنُ قَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الطَّاعُونُ؟ قَالَ: وَخْزُ أَعْدَائِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَفِي كُلٍّ شُهَدَاءُ.

“Kebinasaan umatku adalah dengan tikaman (peperangan) dan wabak penyakit.”

Maka seseorang berkata: “Wahai Rasulullah, maksud tikaman sudah kami ketahui. Maka apakah wabak penyakit?”

Baginda menjawab: “Ia adalah gangguan daripada jin. Dan (kematian) pada setiapnya (mendapat darjat) syahid.”

[Riwayat Ahmad dan al-Thabarani, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel, jld 6, ms. 70 dan Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1403. Lihat juga Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1928]

 

----------

Di antara bentuk gangguan jin ke atas manusia ialah penyakit.

Hanya perlu dibezakan, bukan semua penyakit disebabkan oleh jin.

----------

 

Pagi tadi ziarah kawan yang isterinya baru melakukan pembedahan.

Sembang-sembang, diceritakan bagaimana ada saudara yang datang ziarah. Saudara itu kerjayanya ialah Doktor Perubatan Islam.

Ketika ziarah, dia bertanya sama ada kaki pernah lebam-lebam dan bahagian yang dilakukan pembedahan ada sakit itu dan ini?

Lalu dia tawarkan diri untuk halau jin, siap nak pukul-pukul bagi keluarkan jin dari tubuh badan.

Ketahuilah, jin boleh merasuk dan duduk dalam badan manusia.

Cara mengetahuinya ialah dengan membaca ayat-ayat alQuran yang mengancam jin. Jika benar ada jin, orang itu akan rasa tidak selesa dan mula bergerak-gerak seperti marah atau tidak puas hati.

Pada zaman Rasulullah, baginda tidak pernah melakukan rawatan secara pukulan. Jika ada kes rasukan, baginda hanya menepuk dada pesakit dan menyuruh jin itu keluar.

Para ulama berbeza pendapat tentang kaedah rawatan secara memukul bagi mengeluarkan jin. Ada yang tidak setuju.

Ada yang setuju tetapi itu hanya sebagai pilihan terakhir jika jin berdegil tidak mahu keluar dari badan mangsa.

Insiden ini menunjukkan kepentingan kita semua belajar tentang jin, cara gangguannya, pencegahan dan rawatan. Supaya tidak tertipu dengan doktor perubatan Islam.

Jika pergi ke doktor biasa kerana sakit kepala, lalu doktor bagi ubat anti asid, pasti kita akan tahu doktor itu salah bagi ubat.

Demikianlah juga dengan doktor perubatan Islam. Kita mesti mampu bezakan rawatan dia itu betul atau salah. Jangan dengar dan taat saja.

Oh ya, kepada suami kawan saya itu, saya pesan jika saudara itu mari lagi nak pukul-pukul isterinya, boleh saja dia pukul terus saudaranya itu.

 

KHFA - 13 Mac 2016