Tazkirah hari ini, Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh menceritakan:

 

لَدَغَتْ رَجُلًا مِنَّا عَقْرَبٌ وَنَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْقِي! قَالَ: مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ.

Seorang lelaki disengat kala jengking sementara kami saat itu sedang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maka lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, ruqyahlah aku (agar sembuh)!”

Rasulullah menjawab: “Sesiapa yang mampu di antara kalian untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya.” [Shahih Muslim, no: 4076/2199]

 

----------

Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mampu di antara kalian untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia melakukannya” merupakan satu dorongan atau motivasi untuk membantu sesama manusia dalam apa jua urusan.

Khusus dalam hadis ini, ia merujuk kepada meruqyah atau menjampi sesiapa yang sakit, baik sakit fizikal seperti sengatan binatang atau sakit tersembunyi - yakni gangguan mahluk ghaib.

Menarik diperhatikan bahawa Rasulullah boleh meruqyah, namun baginda sengaja enggan. Ini membuktikan bahawa ruqyah bukanlah amalan khusus orang-orang tertentu, tetapi boleh dilakukan oleh orang-orang lain.

Pun begitu, meruqyah tetap memerlukan sedikit ilmu. Ayuh kita belajar cara-cara meruqyah.

Pada pandangan saya, antara ciri seorang ayah dan suami yang bagus ialah dia tahu meruqyah. Moga dengan itu dia dapat meruqyah ahli-ahli keluarganya, termasuklah dirinya sendiri, daripada sesuatu penyakit atau gangguan.

 

12 Jun, 2016