Sabda Rasulullah s.a.w.,

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا.

Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik akhlaknya kepada para isteri mereka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no.: 1082/1162]

----------------

Kenapakah antara semua manusia yang patut kita tampilkan akhlak yang baik, Rasulullah menonjolkan berakhlak baik kepada isteri?

Pertama, isteri adalah manusia yang paling berhak untuk seorang suami berakhlak baik kepadanya. Ini kerana isteri berkerja keras dari awal pagi hingga lewat malam menguruskan hal ehwal suami, anak-anak dan rumah.

Bahkan kerap berjaga pada waktu malam menyusukan bayi atau merawat anak yang sakit. Sering kali seorang isteri tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya daripada suami atas semua kerja kerasnya.

Maka dalam hadis ini Rasulullah menekankan kepada para suami untuk berakhlak baik dan orang pertama lagi utama yang patut dihadiahkan akhlak baik itu ialah isterinya.

Kedua, interaksi antara suami dan isteri lazimnya berlaku di rumah dalam keadaan tertutup daripada pengetahuan orang lain. Dalam keadaan tertutup ini, ada sebahagian suami yang tidak berakhlak baik kepada isterinya, malah ada yang menzalimi isterinya.

Maka disebabkan keadaan tertutup ini, Rasulullah mengingatkan para suami untuk berakhlak baik kepada isteri mereka.

Ketiga, sebahagian suami apabila berada di luar rumah, bersungguh-sungguh menghias diri dengan akhlak yang baik. Namun apabila kembali ke rumah, akhlak yang baik itu tiba-tiba hilang daripada dirinya.

Apabila di pejabat misalnya, suami berwajah ceria ke sana sini, bersuara lembut, menawarkan diri untuk membancuh kopi, belanja minum petang, membukakan pintu dan mengangkat buku berat. Akhlak baik ini semakin menjadi-jadi apabila berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja wanita.

Namun apabila saja sampai di rumah dan berinteraksi dengan isteri, wajah ceria menjadi masam, suara lembut menjadi kasar dan segala tawaran untuk membantu menjadi arahan meminta itu dan ini.

Maka Rasulullah memberi peringatan bahawa Islam mementingkan akhlak yang baik dan orang paling utama untuk ditonjolkan akhlak baik itu adalah isteri di rumah. Inilah ukuran gentleman yang sebenar.

----------------

Ada segelintir isteri yang membaca hadis ini lalu berharap suami berakhlak baik terhadap dirinya, namun dirinya itu sering mencabar kesabaran suami.

Ada juga segelintir suami yang membaca hadis-hadis Nabi lalu berharap isteri taat dan hormat kepadanya, namun dirinya sering menyebabkan isteri sukar taat dan hormat kepadanya.

Apa yang benar, hendaklah suami dan isteri saling mengingatkan, memudahkan dan membantu pasangannya mempraktikkan ajaran-ajaran Islam tentang kehidupan suami isteri.