Dalam alQur'an terdapat kisah Nabi Musa dan Harun, di mana Allah berfirman,

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Dan Musa berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami -- akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau.

Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih". (Yunus 10:88)

Walau pun Nabi Musa seorang yang berdoa, Allah berfirman dalam ayat selanjutnya,

قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

AlIah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu BERDUA, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui". (Yunus 10:89)

Kenapa disebut "berdua" padahal yang berdoa hanya Nabi Musa seorang?

Dalam kitab-kitab tafsir disebut bahawa mereka doa bersama dengan Musa membacakan doa sementara Harun mengaminkannya.

Ayat ini menjadi dalil bahawa doa berjemaah adalah sesuatu yang dibolehkan.

Selain itu kita temui beberapa contoh doa berjemaah dalam sunnah Rasulullah seperti doa qunut nazilah, doa semasa khutbah jumaat dan ketika solat minta hujan (istisqa').

Malah dalam solat jemaah yang jahr, makmum mengaminkan bacaan surah alFatihah imam secara kuat. Isi kandungan surah alFatihah itu sendiri adalah satu doa.

Sunnah-sunnah ini juga menunjukkan doa berjemaah adalah sesuatu yang dibolehkan.

Cuma.....

Apabila ia dilakukan secara berterusan selepas setiap solat berjemaah, maka ia menjadi sebahagian drpd pakej solat.

Bahkan ada yang menganggap ia satu sunnah yang sahih sehingga memandang serong kepada imam yang tidak berdoa selepas solat.

Setahu saya tidak ada riwayat sahih (mahu pun dha'if?) bahawa Nabi s.a.w. berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu.

Seandai ia baik, nescaya baginda akan mencontohinya.