Perhatikan ayat berikut:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah: "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran 3:31)

Ayat ini memiliki dua pengajaran penting:

(1) Ia menerangkan kayu ukur sebenar kecintaan seseorang itu kepada Allah.

(2) Ia menerangkan keutamaan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Secara mudah ia bermaksud,

Katakanlah wahai Muhammad kepada umatmu,

Jika kamu benar mencintai Allah maka buktikanlah cinta itu dengan mengikuti Rasulullah.

Jika kamu melakukan demikian, ia bukan saja membuktikan kebenaran cintamu kepada Allah tetapi menghasilkan kasih sayang Allah kepada kamu dan keampunan-Nya kepada kamu.

Demikianlah Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

--------

Sebahagian orang mendakwa dirinya mencintai Allah dan membuktikan kecintaan itu dengan mempelbagaikan ibadahnya kepada Allah.

Mereka tidak peduli apakah ibadah itu menepati sunnah Rasulullah atau tidak.

Apabila ditegur, mereka berkata, "Apa salahnya, bukankah ia baik?"

Orang-orang seperti ini sebenarnya tidak mencintai Allah tetapi mencintai dirinya sendiri.

Atas cinta diri sendiri inilah mereka beribadah mengikut apa yang mereka suka dan anggap baik.

----------

Mengikuti sunnah Rasulullah dalam ibadah bererti melakukan apa yang baginda ajar (sunnah qauliyah), lakukan (sunnah fi'iliyah) dan persetujui (sunnah taqririyah) serta meninggalkan apa yang baginda tinggalkan (sunnah tarkiyah).

Hanya dengan cara ini seseorang itu mengikuti sunnah Rasulullah sepenuhnya dan layak mendapat kasih sayang dan keampunan Allah.

Tidaklah dinamakan mengikut sunnah Rasulullah dalam ibadah jika seseorang itu mempelbagaikan ibadahnya sesuka hati.

Lalu apabila ditegur, mereka menjawab, "Rasulullah tidak buat bukan bererti kami tak boleh buat."

Mereka tidak tahu atau tidak faham bahawa meninggalkan apa yang Rasulullah tinggalkan dalam urusan ibadah kepada Allah termasuk dalam erti kata "mengikuti Rasulullah".

Sunnah tarkiyah ada beberapa jenis:

(1) Dalam urusan ibadah kepada Allah, jika Rasulullah meninggalkannya kerana ada faktor penghalang, maka boleh melakukannya apabila faktor penghalang sudah tiada.

Contoh, solat tarawih berjemaah secara berterusan sepanjang Ramadhan.

Baginda berjemaah pada beberapa malam sahaja kerana bimbang jika dilakukan sepanjang Ramadhan, akan turun wahyu mewajibkannya sepanjang Ramadhan.

Apabila baginda wafat, faktor penghalang ini sudah tiada (kerana wahyu tidak turun lagi), maka boleh melakukannya secara berjemaah sepanjang Ramadhan.

(2) Dalam urusan ibadah kepada Allah, jika Rasulullah meninggalkannya sementara tidak ada faktor penghalang, maka hendaklah kita turut meninggalkannya.

Kebanyakan sunnah tarkiyah dalam ibadah duduk dalam jenis kedua ini.

Contoh, doa berjemaah selepas solat berjemaah.

Rasulullah pernah doa berjemaah, seperti dalam qunut nazilah.

Tetapi tidak pernah melakukannya selepas solat berjemaah. Padahal tidak ada faktor penghalangnya. Ini bererti ia memang patut ditinggalkan.

(3) Dalam urusan dunia, maka boleh melakukan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Contoh, menggunakan h/phone untuk menaip dan menyebarkan tazkirah ini.

--------

Ayat ini dimulakan dengan arahan "Qul (katakanlah)...", bererti ia merupakan ayat yang perlu sering disebut-sebut dan disebar-sebarkan.

Dalam erti kata lain, hendaklah sering mengingatkan diri sendiri dan orang ramai untuk mengikuti sunnah Rasulullah.

Ia bukanlah satu tindakan remeh temeh, mengelirukan orang awam atau memecah-belahkan umat.

Justeru,

Ayuh kita perhati dan amalkan ayat ini (Ali Imran 3:31)

Ayuh kita buktikan kecintaan kepada Allah dengan mengikuti Rasulullah.

Ayuh kita meraih kasih sayang Allah dan keampunan-Nya dengan mengikuti Rasulullah.