Pernah pergi treasure hunt? Katakanlah dalam treasure hunt itu anda perlu menyeberangi sebuah gaung untuk mendapatkan barang-barang (hadiah-hadiah) yang dicari.

Ada dua jambatan gantung bagi menyeberangi gaung itu.

Jambatan pertama sudah uzur dan reput. Tidak pasti sama ada tali gantung dan lantai papannya dapat menampung anda menyeberangi dengan selamat.

Jambatan kedua kukuh dan padu. Keutuhan tali gantung dan lantai papannya memberikan keyakinan bahawa ia dapat menampung anda menyeberangi dengan selamat.

Jambatan manakah yang akan anda pillih untuk menyeberangi gaung itu? Tentu jambatan kedua.

Demikianlah juga apabila berhadapan antara hadis sahih dan hadis dha'if.

Hadis sahih umpama jambatan kedua, hadis dha'if (yang ringan kedha'ifannya) umpama jambatan pertama. Hadis yang manakah anda akan pegang dan beramal dengannya bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan?

Saya merasa hairan dengan orang yang suka berpegang dan beramal dengan hadis dha'if atas alasan fadha'il al-A'mal (keutamaan beramal). Padahal hadis-hadis tersebut dalam keadaan "tidak pasti" atau "ragu-ragu" untuk menyampaikan ganjaran yang dijanjikan kepada pengamalnya.

Berbeza dengan hadis-hadis yang sahih atau hasan, ia dalam keadaan menyakinkan untuk menyampaikan ganjaran yang dijanjikan kepada pengamalnya.

Jika dalam sesuatu amalan itu tidak ada langsung hadis sahih atau hasan, maka tidak mengapa berpegang dan beramal dengan hadis dha'if.

Tentu saja dengan syarat telah disemak dengan teliti bahawa kedha'ifan hadis tersebut adalah ringan dan ia selari dengan dalil-dalil umum agama. Anda tetap berwaspada ketika beramal dengannya serta tidak menyandarkannya 100% kepada Rasulullah s.a.w..

Ia umpama hanya ada satu jambatan yang menyeberangi gaung dan jambatan itu pula sudah uzur dan reput. Sebelum menggunakannya, anda akan memeriksa dengan teliti dan teliti dan teliti bahawa ia mampu menampung anda. Ketika di atas jambatan pula, anda tetap dengan sikap waspada andai ia tiba-tiba terputus.

Pun begitu, anda tidak semestinya menyeberangi gaung tersebut. Hadiah-hadiah untuk treasure hunt ada di tempat-tempat lain yang bebas daripada risiko jambatan gantung yang uzur dan reput.

Demikian juga, jika dalam sesuatu amalan itu tidak ada langsung hadis sahih atau hasan, anda tidak perlu mengambil risiko beramal dengan hadis dha'if. Masih terdapat sangat banyak amalan-amalan yang berasaskan hadis-hadis yang sahih dan hasan.

Tujuan status ini bukan membantah pendapat para ulama' yang membolehkan penggunaan hadis dha'if untuk fadha'il al-A'mal, tetapi membetulkan sikap sebahagian orang yang begitu suka dengan hadis dha'if dan yakin beramal dengannya seolah-olah ia hadis sahih. Bahkan sehingga kerap kali membelakangkan hadis-hadis yang sahih.

Apabila para ulama' membolehkan penggunaan hadis dha'if untuk fadha'il al-A'mal, mereka meletakkan 3 syarat:

[1] Hadis tersebut ringan kelemahannya.
[2] Hadis tersebut selari dengan dalil-dalil agama.
[3] Tidak menyakini mahupun menyandarkan hadis itu kepada Rasulullah s.a.w.. Tidak boleh berkata "Rasulullah bersabda....." tetapi hendaklah berkata "Dalam sebuah riwayat disebut bahawa....."

Kebanyakan hadis dha'if yang digunakan untuk fadha'il al-A'mal, syarat pertama pun tak janji lulus.