Terdapat beberapa hadis yang menerangkan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing.

Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w.,

 

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ

Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar. [Shahih Muslim, no: 3929/2106]

 

A'isyah r.a. pernah menceritakan,

Jibril berjanji akan datang mengunjungi Rasulullah pada satu waktu yang ditentukan. Ketika waktu itu telah tiba, Jibril tidak datang.

Di tangan baginda ada sebuah tongkat. Maka diletakkannya tongkat itu sambil berkata, "Allah dan Rasul-Nya tidak menyalahi janji."

Baginda menoleh, tiba-tiba baginda melihat seekor anak anjing kecil di bawah tempat tidur. Baginda bertanya, "Wahai A'isyah! Sejak bila anak anjing itu masuk ke sana?"

Aisyah menjawab, "Wallahi! Aku tidak tahu!"

Rasulullah menyuruh dikeluarkan anak anjing itu, lalu ia dikeluarkan. Maka datanglah Jibril. Rasulullah bertanya: "Anda berjanji akan datang pada waktu yang telah ditentukan. Aku menunggu-nunggu tetapi anda tidak tiba."

 

فَقَالَ مَنَعَنِي الْكَلْبُ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِكَ إِنَّا لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ

Jibril menjawab, "Aku terhalang oleh anjing yang berada dalam rumah anda. Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing dan gambar." [Shahih Muslim, no.: 3927/2104]

Timbul persoalan, kenapa malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing?

Sebahagian ulama' berpendapat, ia disebabkan kenajisan anjing sehingga malaikat menjauhinya dan tidak mahu sebumbung dengannya.

Saya berbeza pendapat.

Saya cenderung kepada pendapat bahawa anjing bukan najis kecuali hujung lidah dan air liurnya.

Sebabnya, dibolehkan penggunaan anjing untuk menjaga keselamatan haiwan ternak, ladang serta berburu. Maka sudah tentu syari'at Islam tidak akan membenarkan sesuatu yang najiis untuk memberi manfaat kepada manusia.

Tentu syari'at Islam tidak akan menyuruh umatnya melepaskan sesuatu yang najis (anjing buruan) dengan membaca "Basmallah" kemudian memakan hasil tangkapannya. Melainkan ia bukan najis.

 

Namun dalam bab ini ada perbezaan pendapat dan saya menghormati serta meraikan semua pendapat.

Jika anjing bukan najis maka kenapakah malaikat enggan memasuki rumah yang ada anjing?

Dalam al-Qur'an, Allah pernah mengumpamakan anjing dengan satu sikap yang sangat bertentangan dengan malaikat. Perhatikan ayat berikut,

 

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (176) سَاءَ مَثَلًا الْقَوْمُ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَأَنْفُسَهُمْ كَانُوا يَظْلِمُونَ (177)

Maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga).

Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. [al-Araaf 7:176-177]

 

Sikap malaikat yang sentiasa taat kepada Allah amat bertentangan sikap anjing yang dijadikan perumpamaan kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah.

Maka sebagaimana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada gambar makhluk hidup kerana ia merupakan usaha manusia meniru sifat Mencipta Allah, malaikat juga tidak masuk ke dalam rumah yang ada makhluk yang diumpamakan kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah.

 

Beberapa catatan tambahan:

[1] Malaikat yang tidak masuk rumah yang ada anjing dan gambar adalah malaikat rahmat. Adapun malaikat yang ada tugasan khas seperti pencatat amal dan malaikat maut, mereka tetap akan masuk.

[2] Bagi orang yang memelihara anjing atas sebab keselamatan, pastikan anjing itu diikat di luar rumah.

[3] Sebagaimana kita tidak memasukkan anjing ke dalam rumah, maka jangan masukkan gambar makhluk hidup ke dalam rumah.

[4] Gambar yang dimaksudkan adalah gambar lukisan tangan makhluk hidup. Adapun gambar fotografi, maka ada perbincangan di kalangan ulama'. Yang lebih selamat adalah tidak menayangkan gambar-gambar fotografi tersebut.

[5] Termasuk dalam kategori gambar adalah patung kerana ia menyerupai usaha manusia meniru sifat Mencipta Allah. Ya, kita tidak ada patung berhala di rumah. Tetapi cuba semak jika ada piala sukan (sport trophies), lazimnya ada patung aksi orang yang sedang bersukan. Pengecualian diberikan kepada patung mainan anak kecil.

[5] Di rumah-rumah saya tidak ada gambar-gambar fotografi yang bergantung atau ditayangkan. Bukan sebab saya tidak sayang keluarga tetapi kehadiran malaikat rahmat di dalam rumah lebih saya sukai dan alu-alukan berbanding gambar-gambar fotografi.