Soalan lazim kepada saya, "Kenapa nikah lagi?"

"Kenapa poligami?"

Saya jawab, kerana ia (poligami) baik berdasarkan ayat 157 surah al-A'raaf:

 

النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ .....

Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.....

 

Perhatian ditujukan kepada firman Allah tentang salah satu peranan Rasulullah: "...menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk."

Allah dan Rasulullah tidak akan menghalalkan sesuatu melainkan ia baik. Baik kepada semua pihak yang terlibat.

Poligami sudah ada sebelum kedatangan Islam.

Jika ia buruk kepada salah seorang atau semua yang terlibat, nescaya Allah dan Rasulullah akan mengharamkannya baik secara terus atau bertahap-tahap seperti arak dan riba.

Namun ia dihalalkan, bererti poligami adalah sesuatu yang baik.

Dihalalkan dengan beberapa syarat seperti maksimum 4 isteri dan berlaku adil antara isteri-isteri dalam urusan zahir.

Seseorang itu - baik suami atau isteri - tidak akan merasa kebaikan poligami melainkan dia (1) membuang segala gambaran buruk tentang poligami dan (2) berusaha melaksanakan poligami sebaik mungkin.

Ayat 157 surah al-A'raaf ini juga menunjukkan bahawa poligami ada kaitan dengan iman (keyakinan) seseorang.

Seseorang yang beriman bahawa Allah dan Rasulullah hanya menghalalkan segala yang baik akan beriman bahawa poligami adalah sesuatu yang baik.

Sebab, poligami termasuk sesuatu yang dihalalkan oleh Allah dan Rasulullah.