Tazkirah hari ini, Allah s.w.t. berfirman,

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujurat 49:06)

 

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kita - orang yang beriman - untuk menyemak kesahihan berita yang dibawa oleh orang fasiq.

Berita yang dimaksudkan adalah apa yang melibatkan aib atau sesuatu yang negatif tentang orang lain.

Ini kerana berita negatif seperti inilah yang memberi kesan "...... agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

Ayat ini menyebut berita daripada orang fasiq, yakni orang yang lazim berbuat dosa.

Bagaimana pula berita daripada orang yang soleh atau orang yang tidak dikenali soleh atau fasiq?

Yang benar kita tetap menyemak kesahihan berita yang mereka sampaikan. Ini kerana ukuran soleh atau tidak adalah sesuatu yang subjektif.

Diriwayatkan, ayat ini merujuk kepada seorang sahabat Nabi yang bernama al-Walid ibn Uqbah.

Dia diutus oleh Nabi s.a.w. untuk memungut zakat daripada kaum Bani Mustaliq.

Dia pergi, namun berpatah balik dengan berita konon Bani Mustaliq enggan bayar zakat dan sedang dalam perjalanan ke Madinah untuk membunuh Nabi.

Maka Nabi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi pasukan Bani Mustaliq.

Apabila bertemu, ternyata bahawa apa yang diberitakan oleh al-Walid bin Uqbah adalah tidak benar. Sebab pasukan Bani Mustaliq ke Madinah adalah untuk menyerahkan sendiri zakat mereka kepada Nabi.

Maka turunlah ayat 6 surah al-Hujurat ini. (Rujuk riwayat penuh dalam Tafsir Ibn Katsir)

Nah! Jika perkara seperti ini boleh berlaku pada zaman Nabi, maka bagaimana pula pada zaman kini?

Justeru kita tetap menyemak semua berita yang berbentuk negatif sekalipun yang menyampaikannya adalah orang yang kelihatan"soleh".

 

Dari sudut yang lain, ayat ini juga mengingatkan kita untuk menyemak kesahihan sesuatu berita negatif sebelum menyebarkannya.

Pada zaman kini, menyebarkan berita amat mudah dengan pelbagai teknologi media sosial.

Maka sesiapa yang menyebarkan berita negatif tanpa menyemak kesahihannya, baik berkenaan ahli keluarga, sanak saudara, rakan kerja, jiran tetangga dan sebagainya, maka dia tergolong orang fasiq.

Dia menanggung dosa seluas mana berita itu tersebar.