Tazkirah hari ini, daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh,

 

خَرَجَ مُعَاوِيَةُ عَلَى حَلْقَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ: مَا أَجْلَسَكُمْ؟ قَالُوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ. قَالَ: آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ؟ قَالُوا: وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ. قَالَ: أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ وَمَا كَانَ أَحَدٌ بِمَنْزِلَتِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَلَّ عَنْهُ حَدِيثًا مِنِّي.

(Pada suatu hari) Mu'awiyah keluar dan mendapati sebuah halaqah di masjid. Maka beliau bertanya, “Apakah majlis kalian ini?” Mereka menjawab, “Kami duduk untuk berzikir kepada Allah.” Mu'awiyah bertanya lagi, “Demi Allah! Tidaklah kalian duduk melainkan untuk itu?” Mereka menjawab, “Demi Allah! Tidaklah kami duduk melainkan untuk itu.” Mu'awiyah berkata, “Sungguh saya tidak menyuruh kalian bersumpah kerana mencurigai kalian. Tidak ada seorang pun yang memiliki kedudukan seperti aku yang meriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam lebih sedikit hadisnya berbandingku.”

 

وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى حَلْقَةٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ: مَا أَجْلَسَكُمْ؟ قَالُوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا هَدَانَا لِلْإِسْلَامِ وَمَنَّ بِهِ عَلَيْنَا. قَالَ: آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ؟ قَالُوا: وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ. قَالَ: أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ وَلَكِنَّهُ أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَخْبَرَنِي أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي بِكُمْ الْمَلَائِكَةَ.

Dan sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah keluar kepada sebuah halaqah dari kalangan para sahabatnya dan bertanya, “Apakah majlis kalian ini?” Mereka menjawab, “Kami duduk untuk berzikir kepada Allah, memuji-Nya atas hidayah Islam yang diberikan kepada kami dan kurniaan-Nya ke atas kami.” Rasulullah bertanya lagi, “Demi Allah! Tidaklah kalian duduk melainkan untuk itu?” Mereka menjawab, “Demi Allah! Tidaklah kami duduk melainkan untuk itu.” Rasulullah berkata, “Sungguh saya tidak menyuruh kalian bersumpah kerana mencurigai kalian. Akan tetapi Malaikat Jibril telah mendatangi aku dan mengkhabarkan kepada aku bahawasanya Allah ‘Azza wa Jalla membangga-banggakan kalian di hadapan para malaikat.” [Shahih Muslim, hadis no.: 4869/2701]

Hadis ini menerangkan keutamaan duduk berzikir kepada Allah. Maksud berzikir ini adalah apa saja aktiviti yang dilakukan untuk mengingati Allah seperti membaca al-Qur’an, mensucikan Allah (Subhanallah), memuji Allah (Alhamdulillah), membesarkan Allah (Allahu Akbar), meminta ampun kepada Allah (Astaghfirullah), berselawat kepada Rasulullah dan lain-lain kalimah zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Apa yang penting, zikir-zikir tersebut dilakukan secara bersendirian dan perlahan-lahan (sirr), dengan penuh kekhusyukan dan ketakutan, selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

 

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ.

Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. [al-A’raaf 7:205]

 

Berdoa juga termasuk dalam kategori zikir dan ia juga dilakukan secara berseorangan dan perlahan-lahan, selari dengan tunjuk ajar Allah Subhanahu wa Ta'ala,

 

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ.

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ.

Dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. [al-A’raaf 7:55-56]

Seandainya ahli-ahli halaqah atau orang-orang yang terlibat dalam majlis zikir itu menguatkan bacaan zikir dan doa mereka dan melakukannya serentak mengikut irama ketua zikir, nescaya Rasulullah akan mendengar apa yang sedang mereka lakukan dan tidak perlu bertanya, “Apakah majlis kalian ini?”

Demikian juga, jika generasi Salaf pada zaman Mu’awiyah menguatkan bacaan zikir dan doa mereka dan melakukannya serentak mengikut irama ketua zikir, nescaya Mu’awiyah akan mendengar apa yang sedang mereka lakukan dan tidak perlu bertanya, “Apakah majlis kalian ini?”

 

Pada masa kini sebahagian orang melakukan zikir dan doa berjamaah di mana bacaan zikir dan doa dilaungkan dengan kuat serta dilakukan serentak mengikuti irama ketua zikir. Apabila ditegur amalan ini, mereka beralasan dengan hadis-hadis sahih tentang keutamaan majlis zikir dan halaqah zikir.

Alasan ini dijawab, bahawa majlis zikir dan halaqah zikir yang dimaksudkan dalam hadis-hadis tersebut tidaklah menyamai zikir berjamaah yang kalian lakukan. Hadis-hadis majlis zikir dan halaqah zikir tersebut saling menjelaskan antara satu sama lain dan hadis yang saya kemukakan di atas [Shahih Muslim, hadis no.: 4869/2701] menjelaskan bahawa semua itu dilakukan secara perlahan dan berseorangan sehingga tidak diketahui apakah ia oleh Rasulullah.

Selain itu, majlis zikir atau halaqah zikir tersebut dilakukan selari dengan tunjuk ajar Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat 55, 56 dan 205 surah al-A’raaf.

Maka beralasan dengan majlis zikir dan halaqah zikir yang disebut dalam hadis-hadis sahih bagi menjustifikasikan zikir dan doa berjamaah yang kalian lakukan pada masa kini adalah satu bentuk pemaksaan dan pendustaan ke atas nas-nas agama.