Achtung!

Kepada orang-orang yang melakukan korban, pastikan anda tidak memotong, mencabut atau mencukur rambut dan kuku SEHINGGA haiwan korban anda telah disembelih.

Bukan semua haiwan korban disembelih sejurus selepas solat Raya. Ada yang disembelih selepas solat Zohor pada 10 Zulhijjah, ada yang disembelih pada 11 Zulhijjah.

(Nota: Waktu terbaik melakukan korban adalah sesudah solat Raya)

Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Sesiapa yang baginya haiwan korban yang hendak dikorbankan, apabila ternampak anak bulan Zulhijjah, maka janganlah dia mengambil (memotong, mencabut atau mencukur) apa-apa dari rambut dan kukunya sehinggalah haiwannya telah dikorbankan (disembelih). [Shahih Muslim, no.: 3656/1977]

 

Beberapa penjelasan lanjut:

[1] Larangan ini ditujukan kepada orang yang melakukan korban, bukan pada orang yang diniatkan korban tersebut.

Contohnya Saiful melakukan korban satu bahagian lembu (RM650) dan dia meniatkan korban itu untuk dirinya dan ahli keluarganya. Maka larangan memotong, mencabut atau mencukur rambut dan kuku hanya jatuh pada Saiful dan bukan ahli keluarganya.

[2] Para ulama' berbeza pendapat hukum memotong, mencabut atau mencukur rambut dan kuku.

Mazhab al-Syafi'e berpendapat ia makruh.

Mazhab lain (termasuk sebahagian ulama Mazhab al-Syafi'e) berpendapat ia haram.

Ada juga yang berpendapat hukumnya harus, namun pendapat ini lemah dan ditolak berdasarkan hadis-hadis dalam bab ini (salah satunya di atas)

[3] Larangan adalah bagi orang yang sengaja memotong, mencabut atau mencukur rambut dan kuku. Jika seseorang itu terlupa, di luar kawalan atau dalam keadaan terdesak, maka dimaafkan.

Contoh, jika menghadapi kemalangan dan doktor perlu cukur sebahagian rambut di kepala dalam langkah rawatan, ia dibolehkan. Contoh lain, jika bangun tidur dan nampak ada rambut gugur di bantal, ia tidak mengapa sebab di luar kawalan.

[4] Mohon orang yang menguruskan korban memaklumkan kepada para peserta bilakah sembelihan telah selesai.