Tazkirah hari ini,

 

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ: اخْتَلَفَ فِي ذَلِكَ رَهْطٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ. فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّونَ لَا يَجِبُ الْغُسْلُ إِلَّا مِنْ الدَّفْقِ أَوْ مِنْ الْمَاءِ وَقَالَ الْمُهَاجِرُونَ بَلْ إِذَا خَالَطَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ.

 

Daripada Abu Musa dia berkata, sekumpulan Muhajirin dan Anshar berselisih pendapat tentang demikian (hukum mandi wajib). Orang-orang Anshar berkata, “Tidak diwajibkan mandi kecuali setelah pancutan air mani (ejaculation) atau keluarnya air mani.” Orang-orang Muhajirin berkata, “Bahkan jika telah berhubungan seks, maka wajib mandi.”

 

قَالَ أَبُو مُوسَى: فَأَنَا أَشْفِيكُمْ مِنْ ذَلِكَ فَقُمْتُ فَاسْتَأْذَنْتُ عَلَى عَائِشَةَ فَأُذِنَ لِي فَقُلْتُ لَهَا: يَا أُمَّاهْ أَوْ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَكِ عَنْ شَيْءٍ وَإِنِّي أَسْتَحْيِيكِ. فَقَالَتْ: لَا تَسْتَحْيِي أَنْ تَسْأَلَنِي عَمَّا كُنْتَ سَائِلًا عَنْهُ أُمَّكَ الَّتِي وَلَدَتْكَ فَإِنَّمَا أَنَا أُمُّكَ.

 

Berkata Abi Musa, “Saya akan mencari jawapan untuk kalian bagi persoalan ini.” Maka aku bangun (beredar dan pergi) meminta izin kepada A’isyah (untuk berjumpa dengannya), lalu beliau mengizinkan aku.

Aku berkata kepadanya, “Wahai ibuku atau Wahai ibu orang-orang beriman, sesungguhnya aku ingin bertanyakan kamu tentang sesuatu akan tetapi aku segan kepadamu.”

A’isyah menjawab, “Janganlah segan untuk bertanya kepadaku. Anggaplah anda bertanya kepada ibu kamu yang telah melahirkan kamu kerana sesungguhnya aku tidak lain adalah ibu kamu.”

 

قُلْتُ: فَمَا يُوجِبُ الْغُسْلَ؟ قَالَتْ: عَلَى الْخَبِيرِ سَقَطْتَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ.

 

Abu Musa bertanya, “Baiklah, apakah yang mewajibkan mandi?”

A’isyah menjawab, “Anda telah datang kepada orang yang mengetahui jawapannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda,

“Apabila seorang lelaki berada di antara empat anggota isterinya (dua kaki dan dua tangan) serta telah bersentuhan kemaluan (suami) dengan kemaluan (isteri), maka wajiblah mandi (meski pun tidak keluar air mani)”.”

[Shahih Muslim, no.: 526/349]

 

Beberapa pengajaran hadis:

[1] Berbeza pendapat dan berbincang-bincang sesuatu persoalan agama adalah satu kebiasaan. Apa yang penting hendaklah ia dilakukan dengan baik dan tenang.

[2] Hendaklah berusaha mencari orang yang diyakini mengetahui jawapannya berdasarkan al-Qur'an dan hadis sahih. Bukan berdasarkan pendapat syaikh itu kerana besarnya serban dia dan ustaz itu kerana selalu masuk TV.

[3] Dibolehkan bagi lelaki bertanya kepada wanita jika diyakini beliau seorang yang berilmu, asalkan diperhatikan adab-adabnya.

[4] Hadis ini menjadi motivasi kepada para muslimat untuk menjadi seorang yang pakar dalam al-Qur'an dan hadis.

[5] Hadis ini menjadi dalil jangan segan atau malu berbincang dan bertanya apa-apa persoalan agama.

[5] Semua orang mengetahui hukum wajib untuk mandi apabila keluar air mani, baik secara sengaja atau tidak sengaja.

[6] Namun sebahagian orang tidak tahu bahawa mandi juga diwajibkan apabila suami dan isteri berhubungan seks dan telah bersentuhan antara zakar dan faraj. Tidak dibezakan sama ada keluar air mani atau tidak (with or without ejaculation), zakar dimasukkan dalam faraj atau tidak (with or without penetration).