Walau sebiji kurma atau perkataan baik....

‘Adi bin Hatim radhiallahu 'anh berkata,

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ النَّارَ فَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا ثُمَّ ذَكَرَ النَّارَ فَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا ثُمَّ قَالَ: اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ.

Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyebut tentang neraka, lalu memalingkan wajahnya dan memohon perlindungan Allah daripadanya.

Kemudian baginda menyebut lagi tentang neraka, lalu memalingkan wajahnya dan memohon perlindungan Allah daripadanya.

Kemudian baginda bersabda, “Lindungilah daripada neraka meskipun hanya dengan (bersedekah) sebiji kurma. Sesiapa yang tidak memilikinya, (bersedekahlah) dengan kata-kata yang baik.”

[Shahih al-Bukhari,no.: 6078/6563]

 

Sebagai manusia yang pernah melihat azab neraka ketika Isra' dan Mi'raj, ia ternyata amat dahsyat dan menggerunkan. Sehingga apabila bercerita tentangnya, baginda memalingkan wajahnya dan segera meminta perlindungan Allah.

Demikianlah sepatutnya sikap kita orang-orang yang beriman apabila tergerak hati melakukan sesuatu yang salah, baik yang besar atau kecil, terus teringat kepada kedahsyatan neraka dan segera berpaling daripada perkara salah tersebut.

Seterusnya baginda berpesan kepada kita untuk berusaha melindungi diri daripada neraka meski pun dengan amal-amal soleh yang kecil seperti bersedekah sebiji kurma atau mengucapkan perkataan yang baik-baik.

Di sini terdapat juga petunjuk bahawa perkataan-perkataan yang baik seperti pemberi motivasi, pujian yang sederhana, penghargaan, peringatan, nasihat dan penghubung silaturahim.... semuanya memiliki nilai pahala di sisi Allah.

Semuanya mampu menjadi saham yang kelak dapat menjauhkan kita daripada neraka.