Pagi ini suka saya berkongsi sebuah hadis yang pastinya ramai pernah baca atau dengar, tetapi sudahkah mempraktikkannya?

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

 

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ: أُمُّكَ.

قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ. قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمُّكَ. قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أَبُوكَ.

 

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya,

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?”

Baginda menjawab, “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab, “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab, “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab, “Ayah kamu.”

[Shahih al-Bukhari,no.: 5514/5971]

-----------

Kenapakah seorang ibu 3 kali ganda lebih berhak mendapat layanan baik seorang anak berbanding ayahnya?

Pertama: Ibu telah menanggung pelbagai bentuk kesukaran dan kesakitan ketika hamil, bersalin, penyembuhan selepas bersalin, menyusukan, menjaga, merawat bila sakit dan membesarkan anak.

Seorang anak perempuan tidak akan faham betapa besar kesukaran dan kesakitan ini sehinggalah dia sendiri hamil dan melalui semuanya.

Seorang anak lelaki tidak akan faham betapa betapa besar kesukaran dan kesakitan ini sehinggalah dia kahwin dan melihat isterinya sendiri hamil dan melalui semuanya.

Kedua: Baik lelaki mahu pun perempuan, lazimnya seorang anak akan lebih berani dan lebih kerap bersikap "tak layan", berkata "Aah!", biadap dan derhaka kepada ibu berbanding bapa.

Maka diharapkan dengan banyaknya amal soleh berbuat baik kepada ibu, ia dapat menjadi penghapus dosa-dosa anak ke atas ibunya.

Ayuh anak-anak yang soleh, sama ada yang kanak-kanak, belia, dewasa atau warga emas, kita berbuat baik kepada ibu dan ayah tanpa mengira mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.