Tazkirah pagi ini, sabda Nabi s.a.w.,

 

إِنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, nerakalah yang layak baginya.

[Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, no. 13919/14441 dengan sanad yang kuat (qawiy)].

Hadis ini mengingatkan kita memastikan harta diperolehi secara halal kerana dengan harta itulah kita menyediakan makan dan minum untuk diri sendiri serta ahli keluarga.

Makan dan minum itu seterusnya membentuk darah daging tubuh badan sementara darah daging yang terbentuk daripada sumber yang haram tidak layak memasuki syurga.

Kebanyakan orang memberi perhatian kepada aspek halal-haram sembelihan tetapi tidak memberi perhatian kepada aspek halal-haram harta yang digunakan bagi membelinya.

Kadang harta itu diperolehi dengan cara yang haram seperti sengaja kerja over time atau melakukan penipuan dalam perniagaan. Allah s.w.t. mengingatkan,

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil. [al-Nisa 4:29]

Ada juga harta yang diperolehi dalam lipatan sejarah melalui cara yang haram, seperti harta warisan yang diambil tanpa pembahagian faraid yang betul. Pada ketika itu, di kalangan ahli waris ada anak-anak yang sepatutnya mendapat harta tersebut. Ini termasuk menzalimi harta anak yatim yang diancam oleh ayat berikut,

 

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). [al-Nisa' 4:10]

Oleh itu marilah ktia selalu mengaudit harta yang diperolehi dan dimiliki agar ia tidak menjadi penghalang untuk memasuki syurga Allah pada Akhirat kelak.