Apabila bersedekah, kadang-kala kita tidak tahu sama ada sedekah itu diberikan kepada orang yang patut menerimanya atau tidak.

Ini kerana ada peminta sedekah yang benar-benar dalam kesusahan dan ada yang berpura-pura dalam kesusahan. Sementara itu Islam mengajar kita untuk selalu berbaik sangka, maka tidak boleh menuduh peminta sedekah itu berdusta melainkan ada bukti kukuh.

Apakah sikap kita terhadap kes seperti ini? Marilah kita ambil iktibar daripada hadis berikut. Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

قَالَ رَجُلٌ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ.

فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ.

فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ

فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

Seorang lelaki berkata: “Sungguh aku akan bersedekah!” Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang pencuri (padahal dia tidak mengetahuinya). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan kepada pencuri!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian. Sungguh aku akan bersedekah (lagi).”

Maka dia keluar lagi membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang penzina (padahal dia tidak mengetahuinya). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan malam tadi kepada penzina!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian (aku telah bersedekah) kepada penzina. Sungguh aku akan bersedekah (lagi).”

Maka dia keluar lagi membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang kaya (padahal dia tidak mengetahuinya). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan kepada orang kaya!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian (aku telah bersedekah) kepada pencuri, penzina dan orang kaya.”

(Pada malam hari) dia didatangi oleh seseorang (dalam mimpinya) lalu dikatakan kepadanya: “Adapun sedekah kamu kepada pencuri, mudah-mudahan dapat menahannya dari mencuri. Adapun kepada penzina, mudah-mudahan dapat menahannya dari berzina. Adapun kepada orang kaya, mudah-mudahan dia dapat mengambil iktibar darinya dan mensedekahkan apa yang Allah kurniakan kepadanya.”

[Shahih al-Bukhari, hadis no.: 1332/1421]