Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

 

فَذَكِّرْ إِن نَّفَعَتِ الذِّكْرَىٰ

Oleh itu berilah peringatan jika peringatan itu bermanfaat,

 

سَيَذَّكَّرُ مَن يَخْشَىٰ

Kerana orang yang takut (kepada Allah) akan menerima peringatan itu,


وَيَتَجَنَّبُهَا الْأَشْقَى

Sementara orang yang celaka akan menjauhinya.

(Al-A'la 87: 9-11)

 

Dalam ayat-ayat di atas, Allah menyuruh kita memberi peringatan dan teguran.

Namun pastikan peringatan itu sesuatu yang bermanfaat. Hendaklah diperhatikan tahap agama orang yang ingin diberi peringatan dan disampaikan apa yang diyakini bermanfaat kepadanya.

Apabila disampaikan peringatan, manusia akan terbahagi kepada dua kategori:

(1) Mereka yang menerimanya kerana hati yang takut kepada Allah.

(2) Mereka yang menjauhinya.

Kadang-kala apabila hendak memberi peringatan, ada yang keberatan kerana memikir-mikirkan hasilnya,

"Ah! Bukan mereka nak dengar",

"Hu hu sepuluh orang saja yang klik like",

"Hal masing-masing sajalah"... demikian antara bisikan hatinya.

Padahal Allah suruh kita memberi peringatan sambil menerangkan bahawa hasilnya memang akan terbahagi dua, antara yang menerima dan menolak.

Oleh itu ayuh kita terus menerus memberi peringatan kepada keluarga, sahabat handai dan sesiapa jua, baik kenal atau tidak.