Abu Hurairah r.a. berkata bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

 

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ

وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ

فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا

وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ.

Setiap umatku dimaafkan (kesalahannya) kecuali mereka yang melakukan kesalahan secara terang-terangan (yakni diceritakan atau ditunjukkan kepada orang ramai).

Dan sesungguhnya termasuk dalam kategori orang yang melakukan kesalahan secara terang-terangan ialah seseorang yang membuat pada waktu malam sesuatu perbuatan (yang salah), kemudian (berhenti) pada waktu pagi dan Allah menutupi ke atasnya (kesalahan tersebut).

Namun (pada esok hari) dia berkata, “Wahai fulan! Malam semalam aku telah membuat sekian-sekian (kesalahan)!”.

Padahal dia telah bermalam dalam keadaan Allah menutupi kesalahannya. (Akan tetapi) pada waktu pagi dia menyingkap tutupan Allah itu (dan menceritakan atau menunjukkan kepada orang lain).

[Shahih al-Bukhari, hadis no.: 5608/6069]

Setiap kita pasti ada melakukan kesalahan, baik pada masa lampau atau dalam keadaan tersembunyi. Apabila menyedari kesalahan itu, mohonlah maaf (istighfar) kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Jangan pula kesalahan masa lampau atau secara tersembunyi itu diceritakan atau ditunjukkan kepada orang ramai.

Pada zaman serba canggih masa kini, ada yang mengambil gambar dan video sesuatu kesalahan yang pernah dilakukannya dan menyebarkannya di media sosial. Padahal kesalahannya itu asalnya dilakukan secara tersembunyi, atau pada masa lampau yang tidak diketahui orang lain.

Beberapa contoh:

  • Menayangkan gambar lama isteri yang ketika itu tidak menutup aurat, padahal sejak beberapa tahun yang lalu isteri sudah pun menutup aurat.
  • Membuat rakaman video aktiviti pergaulan bebas lelaki dan perempuan (ikhtilath) dan menyebarkan di media sosial.
  • Mengemukakan semula memori atau “flashback” gambar lama yang tidak selari dengan syari’at Islam di media sosial.

Oleh itu berdasarkan hadis atas, apabila melakukan sesuatu kesalahan maka janganlah disebar-sebarkan melalui apa-apa media. Biarlah tertutup apa yang telah ditutupi oleh Allah. Moga-moga Allah memaafkan kesalahan yang tertutup itu.

Menyebarkannya kepada orang ramai menyebabkan dosa kesalahan itu tidak dimaafkan Allah kerana,

[1] Mungkin tersemat rasa bangga dalam diri orang yang melakukan kesalahan itu, lalu atas kebanggaan itu dia menyebar-nyebarkan kesalahan tersebut.

[2] Menyebarkan kesalahan menyebabkan ia menjadi teladan kepada orang lain sehingga mereka ikut serta melakukannya.