Abdullah bin Mughaffal mendengar anaknya berdoa,

"Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada Engkau istana putih di sebelah kanan syurga apabila aku memasukinya."

Mendengar yang sedemikian, Abdullah berkata kepada anaknya,

Wahai anak! Mintalah syurga (sahaja) dan perlindungan-Nya daripada neraka. Ini kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ.

"Sesungguhnya akan datang pada umatku ini satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa".

[Shahih Sunan Abu Daud, no.: 88/96]

 

Di antara perkara yang tidak disukai ketika berdoa adalah meminta secara terperinci. Ia menyebabkan doa menjadi panjang, rumit dan menyusahkan.

Selain itu tidak diketahui apakah rincian tersebut sesuatu yang baik atau buruk bagi orang yang mendoakannya.

Jika dikaji doa-doa dalam al-Qur'an dan al-Sunnah, akan didapati ia terdiri daripada perkataan yang padat dan ringkas tetapi luas maksudnya.

A'isyah pernah berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ.

Lazimnya Rasulullah s.a.w. menyukai doa yang padat dan ringkas tetapi luas maksudnya (jawami') dan meninggalkan doa yang selain itu.

[Shahih Sunan Abu Daud, no.: 1267/1482]

 

Contoh doa yang terperinci, panjang dan rumit: "Ya Allah, berilah aku duit yang cukup untuk aku membayar hutang rumah, hutang kereta, membeli barangan dapur, makanan, minuman, Milo, membayar bil Maxis, Astro, Unifi dan menukar tayar kereta.... kalau boleh nak tukar rim 17" sekali!"

Contoh doa yang ringkas tetapi luas maksudnya: "Ya Allah. Lapangkanlah rezeki aku dan berkatilah ia."