Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman!

Mintalah pertolongan (Allah) dengan sabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

(Al-Baqarah 2:153)

 

Dalam ayat di atas Allah menerangkan dua sikap yang perlu ada pada seorang mukmin apabila berdoa memohon pertolongan Allah.

Pertama: Sabar.

Kerap kali dalam berdoa kita mahukan Allah memakbulkannya dengan segera. Malah ada yang bertanya, "Bilakah doa aku akan dimakbulkan??"

Seolah-olah ada kontrak perjanjian dengan Allah, "Whatever I ask, you give it to me ASAP!"

Maka Allah menerangkan keutamaan sikap sabar ketika berdoa.

 

Kedua: Solat.

Pernah terfikir bagaimana kita berdoa kepada Allah macam-macam, tetapi ibadah kita kepada Allah amat minimum, sekadar cukup syarat yang wajib dan dengan hati yang lalai?

Siapa di sini siap sedia untuk solat sebelum azan, solat pada awal waktu, berjemaah di surau/masjid (bagi lelaki) dan melaksanakannya dengan penuh penghayatan, zahir dan batin?

Siapa di sini yang lazim solat sunat, baik qabliyah dan ba'diyah atau yang lain-lain seperti solat dhuha dan solat witir?

Maka dalam ayat di atas, Allah menerangkan kepentingan ibadah solat dalam rangka berdoa kepada-Nya.

Sebagaimana dalam surah al-Fatihah:

"Kepada Kamu sahaja aku beribadah dan kepada Kamu sahaja aku meminta pertolongan."

Ini adalah formula asas: beribadah dulu, kemudian berdoa apa yang dikehendaki.

Moga dengan sikap sabar dan kesungguhan melaksanakan solat, doa kita akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t..