Tazkirah hari ini:

Muaz bin Jabal berkata: Saya pernah bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam satu perjalanan. Pada satu pagi, saya berada dekat dengan baginda ketika kami sedang berangkat, maka saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Khabarkanlah kepadaku tentang amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia merupakan perkara mudah bagi orang yang telah Allah jadikan mudah baginya, iaitu: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? (Pintu-pintu itu adalah) Puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” [al-Sajdah 32:16-17]

Kemudian baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Saya menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah shalat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Saya menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?” Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).”

Berkata Imam al-Tirmizi: Hadis ini hasan shahih.

[Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2541/2616]

----------------------------

Salah satu hadis favorite saya, self explanatory.

Bahagian akhir hadis hendaklah diberi perhatian khusus.

Meskipun seseorang itu menjaga amalan-amalan fardhunya dan memperbanyakkan amalan-amalan sunatnya, ada satu perbuatannya yang boleh merosakkan semua itu.

Ia adalah perbuatan lidahnya, yakni apabila lidah itu membuka aib orang lain, menyebarkan air orang lain, memfitnah orang lain, melaga-lagakan antara beberapa orang, berdusta, mencela dan bercakap-cakap sesuatu yang sia-sia (lagha).

Jika pada zaman Rasulullah baginda menunjukkan kepada lidah secara khusus, maka pada zaman kini ia tidak terhad kepada lidah tetapi turut merangkumi jari-jemari yang menaip dan membuat rakaman video. Banyak aib, fitnah, pendustaan dan percakapan lagha yang tersebar melalui alat-alat canggih masa kini.

Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana ada segelintir orang yang solat lima kali sehari akan tetapi lidah dan jari-jemarinya berbuat salah jauh lebih kerap dari lima kali sehari.

Ketahuilah, sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas, semua ini amatlah “berkuasa” dalam membatalkan amalan-amalan fardhu dan sunat seseorang, malah boleh menyebabkan dirinya mendekati neraka. Perhatikan sabda baginda: Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).