Doa murah rezeki,

 

اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِّنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً مِّنكَ وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ.

Ya Allah, Tuhan kami!

Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit, supaya ia dapat menjadi satu perayaan bagi kami,

iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian,

dan sebagai satu tanda (kebesaran)-Mu,

dan rezekikanlah kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Surah al-Maidah 5:114)

---------


Penjelasan doa:

Ini adalah doa Nabi Isa a.s. yang dirakam oleh Allah di dalam al-Qur'an.

Asalnya, al-Hawariyyun - yakni para pendokong dakwah Nabi Isa - meminta baginda berdoa kepada Allah agar diturunkan kepada mereka hidangan makanan dari langit. (Al-Maidah 5:112)

Maka Nabi Isa berdoa sebagaimana doa di atas dan Allah menurunkan hidangan makanan dari langit sebagaimana firman-Nya dalam ayat seterusnya,

 

قَالَ اللَّهُ إِنِّي مُنَزِّلُهَا عَلَيْكُمْ ...

Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepada kalian...." (al-Maidah 5:115)

 

Hidangan itu pula bukan makanan yang biasa-biasa tetapi apa yang layak dihidang dalam suatu perayaan.

Doa ini diabadikan oleh Allah di dalam al-Qur'an supaya kita juga dapat mengamalkannya.

Mungkin ada yang bertanya, "Eh...doa murah rezeki dari aspek makanan saja ke?"

Dijawab bahawa makanan adalah sesuatu yang diperlukan beberapa kali sehari berbanding rezeki yang lain.

Rezeki pakaian misalnya, satu set pakaian dapat diulang guna untuk tempoh yang lama.

Selain itu, doa ini tetap merangkumi pelbagai aspek rezeki yang lain berdasarkan rangkap akhirnya,

"...Dan rezekikanlah kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki."

Ayuh kita melazimkan diri membaca doa ini disamping berusaha mencari rezeki yang halal setiap hari.