Tazkirah hari ini, Anas bin Malik berkata,

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا، وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا،

فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ، لَا يَسْتَهْوِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ،

أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللهِ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ، وَاللهِ مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللهُ."

Bahawa seorang lelaki berkata (dengan memuji-muji): “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab:

“Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga DIPENGARUHI OLEH SYAITAN.

Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya.

DEMI ALLAH! AKU TIDAK MENYUKAI kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.”

[Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

---------

Dalam hadis di atas, seorang lelaki datang dengan memuji-muji Rasulullah. Niatnya baik, untuk menunjukkan kecintaan dan penghormatannya kepada Rasulullah. Namun Rasulullah menolak pujian tersebut. Malah mengingatkan lelaki itu dan semua umatnya agar bertaqwa kepada Allah dan jangan dipengaruhi oleh syaitan. Menunjukkan bahawa memuji-muji Rasulullah adalah tindakan yang menyelisihi nilai taqwa dan puji-pujian tersebut sebenarnya adalah pengaruh atau tipudaya syaitan.

Kemudian baginda menegaskan dengan bersumpah bahawa baginda tidak suka puji-pujian seperti itu. Memadailah dengan kedudukan yang Allah berikan kepada baginda, iaitu seorang hamba Allah dan Rasul-Nya.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. menegaskan,

 

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.

JANGANLAH memuji-muji aku sebagaimana kaum Nasrani (Kristian) memuji (Nabi ‘Isa) ibni Maryam.

Ini kerana sesungguhnya aku tidak lain adalah hamba-Nya, MAKA BERKATALAH Abdullah dan Rasul-Nya.”

[Shahih al-Bukhari, no: 3189/3445 dan 6328/6830]

 

Pada masa kini banyak berlaku majlis-majlis dan konsert-konsert selawat dan qasidah yang di dalamnya mengandungi pelbagai pujian kepada Rasulullah. Orang-orang yang mengamal dan menyanyi selawat-selawat dan qasidah-qasidah tersebut, mereka sebenarnya tidak mencintai Rasulullah tetapi mencintai diri sendiri. Sebab itulah mereka melakukan apa yang mereka cintai.

Seandainya benar mereka mencintai Rasulullah, mereka tidak akan melakukan apa yang baginda tidak sukai.