Tazkirah hari ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

 

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ.

Aku berdasarkan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku dan Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Maka jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di hadapan sekumpulan orang, Aku mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (yakni para malaikat).

 

وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً.

Jika dia mendekati Aku dengan sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati Aku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Jika dia mendatangi Aku dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari-lari kecil. [Shahih al-Bukhari, hadis no.: 6856/7405]

-------

Sebahagian orang, dia menunggu hidayah atau isyarat daripada Allah sebelum dia mahu mendekati Allah, mentaati perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya dan meraih cinta-Nya dengan amalan-amalan sunat.

Apa yang benar adalah sebaliknya, untuk dekat kepada Allah kita yang perlu mengorak langkah untuk mendekati-Nya.

Bagi mendapatkan kekuatan mentaati perintah dan larangan-Nya, kita yang perlu terlebih dahulu bergerak, barulah setelah itu Allah memudahkan kita mentaati-Nya.

Bagi memperoleh kerajinan melaksanakan amal-amal soleh, kita yang terlebih dahulu berusaha ke arahnya, barulah Allah memberikan kerajinan dan "tolakan" ke arah perlaksanaan amal-amal soleh tersebut.

Maka, tunggu apa lagi?