Tazkirah hari ini, ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berkata,

حَدِّثْ النَّاسَ كُلَّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ أَبَيْتَ فَمَرَّتَيْنِ فَإِنْ أَكْثَرْتَ فَثَلَاثَ مِرَارٍ. وَلَا تُمِلَّ النَّاسَ هَذَا الْقُرْآنَ.

Berbicara dengan orang ramai (tentang pengajaran al-Qur’an) setiap minggu sekali. Jika enggan, maka berbicaralah setiap minggu dua kali. Jika masih hendak lebih banyak, maka setiap minggu tiga kali. Janganlah membosankan orang ramai dengan al-Qur’an ini.

وَلَا أُلْفِيَنَّكَ تَأْتِي الْقَوْمَ وَهُمْ فِي حَدِيثٍ مِنْ حَدِيثِهِمْ فَتَقُصُّ عَلَيْهِمْ فَتَقْطَعُ عَلَيْهِمْ حَدِيثَهُمْ فَتُمِلُّهُمْ.

Janganlah aku mendapati kamu mendatangi sekumpulan manusia yang sedang berbicara dengan perbicaraan mereka, lalu kamu mencelah dan memotong perbicaraan mereka (dengan pengajaran al-Qur’an) sehingga membosankan mereka.

وَلَكِنْ أَنْصِتْ فَإِذَا أَمَرُوكَ فَحَدِّثْهُمْ وَهُمْ يَشْتَهُونَهُ.

Sebaliknya berilah perhatian (supaya dapat diketahui bila mereka berminat) dan apabila mereka menyuruh kamu berbicara, berbicaralah (dengan menyampaikan pengajaran al-Qur’an) sedang mereka ketika itu dalam keadaan bersemangat (untuk mendengar dan belajar).

فَانْظُرْ السَّجْعَ مِنْ الدُّعَاءِ فَاجْتَنِبْهُ فَإِنِّي عَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ لَا يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ يَعْنِي لَا يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ الِاجْتِنَابَ.

Berwaspadalah daripada bersajak ketika berdoa dan jauhilah ia kerana sesungguhnya aku mengetahui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya tidak melakukan kecuali yang sedemikian, yakni tidak berdoa kecuali dengan menjauhi (doa secara) bersajak.

[Shahih al-Bukhari, no.: 5862/6337]

-----------


Pengajaran # 1

Apabila hendak menyampaikan pengajaran al-Qur'an, seperti memberi tazkirah, maka jangan dilakukan terlalu kerap kerana ia boleh membosankan orang yang mendengarnya. Sebaliknya susunlah pada kekerapan yang sederhana seperti sekali seminggu atau paling kerap tiga kali seminggu.

Demikian juga, jangan memotong atau mencelah sembang-sembang orang lain dengan pengajaran al-Qur'an. Dibimbangi mereka akan berasa bosan - atau lebih buruk - membenci al-Qur'an.

Adapun membaca, mentadabbur dan mengkaji al-Qur'an untuk diri sendiri, maka boleh dilakukan lebih kerap sesuai dengan pilihan masing-masing.

 

Pengajaran # 2

Sajak yang patut dijauhi ketika berdoa adalah lafaz yang sengaja dibuat-buat sehingga menjadi panjang, berbunga-bunga dan disusun semata-mata agar sedap dibaca dan didengar. Adapun jika seseorang itu berdoa lalu lafaznya secara kebetulan seperti sebuah sajak, maka ia tidak mengapa.

Pada pandangan saya, termasuk dalam kategori tegahan ini ialah berdoa secara nyanyian kerana ia sudah menjadi panjang, berbunga-bunga dan disusun semata-mata agar sedap didengar. Ia mirip dengan berdoa secara bersajak.