Angka 2018 bakal beralih ke 2019.

Ayuh kita menilai tahun masing-masing, baik yang akan berlalu mahupun yang akan datang dengan ayat-ayat al-Qur'an yang mulia ini,

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang (1) beriman, (2) beramal soleh, (3) berpesan-pesan kepada kebenaran dan (4) berpesan-pesan kepada kesabaran.

---------

Ringkasnya, manusia ini dalam kerugian kecuali mereka yang,

[1] Beriman.

Beriman bukan sekadar menghafal Rukun Iman 6 perkara, tetapi mempraktikkannya dalam kehidupan harian.

Beriman kepada al-Qur'an misalnya, bererti membacanya, mengkajinya dan mempraktikkannya. Beriman kepada Rasulullah misalnya, bererti mempelajari sunnah baginda, mempraktikkannya dan membantah orang-orang yang cuba mengganti sunnah baginda dengan sunnah kebiasaan masyarakat.

[2] Beramal soleh.

Amal soleh bukan sekadar solat fardhu, puasa Ramadhan dan umrah, tetapi meliputi semua kebaikan yang selari dengan syari'at.

Justeru suami yang senyum kepada isteri, isteri yang senyum kepada suami, ia adalah amal soleh. Anak yang berbakti kepada ibu dan bapa, orang kuat yang berbakti kepada orang lemah, orang kaya yang berbakti kepada orang miskin, orang bijak yang berbakti kepada orang kurang bijak, semuanya amal soleh juga.

[3] Berpesan-pesan kepada kebenaran.

Di antara orang yang beruntung dunia dan akhirat adalah mereka yang melazimkan diri memberi nasihat ke arah kebaikan dan menegur daripada keburukan atau kesia-siaan. Nasihat dan teguran diberikan kepada semua, baik ahli keluarga, sahabat handai dan secara umum di media sosial.

Nasihat dan teguran terus diberikan meskipun bakal mendapat pelbagai "backlash". Ini kerana nasihat dan teguran dilakukan kerana Allah, bukan kerana mengharapkan ucapan "terima kasih" mahupun jumlah "like" di media sosial.

[4] Berpesan-pesan kepada kesabaran.

Adakalanya Allah menguji seseorang atau satu kaum dengan sesuatu musibah atau cabaran. Maka ciri orang yang beruntung ialah berpesan-pesan kepada kesabaran serta memberi motivasi dan jalan keluar.

Cara terbaik berpesan-pesan kepada kesabaran ialah membacakan (atau menghantar text) ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah tentang hikmah ujian daripada Allah. Contohnya ayat 155-157 surah al-Baqarah.

Demikian ukuran untung atau rugi seseorang itu apabila dilhat melalui aspek masa. Ayuh kita renung-renung kerugian tahun-tahun sebelum ini dan memikirkan keuntungan bagi tahun-tahun seterusnya.