Baru-baru ini kita dikejutkan dengan acara “Saya mahu sentuh anjing”. Banyak reaksi yang diberikan. Saya juga terkejut, bukan kerana acara itu tetapi dengan pelbagai reaksi negatif yang diberikan kepada penganjur dan peserta. Oleh itu saya merasakan ada baiknya dijelaskan hukum menyentuh anjing atau lebih tepat, hukum kenajisan anjing.

Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali. [Shahih al-Bukhari, no: 167/172] Dalam riwayat-riwayat lain diterangkan bahawa basuhan pertama hendaklah bersama dengan tanah.

Berdasarkan hadis ini wujud dua pendapat tentang kenajisan anjing. Pendapat pertama berkata anjing adalah najis keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ia tidak najis keseluruhannya. Perinciannya adalah seperti berikut:

Pendapat Pertama:

Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat Mazhab al-Syafi‘e dan Hambali. [Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa ‘Adilatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1994), jld. 1, ms. 305] Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini.

cutepuppy

Dalil pertama adalah berdasarkan kaedah qiyas. Suruhan Rasulullah untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing. Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya – yakni seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing adalah najis.

Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadis: Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.” [Sunan al-Daraquthni, 1/103]

Namun riwayat ini adalah dha’if dan tidak boleh dijadikan sumber hukum. Kelemahan ini telah diterangkan oleh Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daraquthni (Dar al-Ma’refah, Beirut 2001), jld. 1, ms 171. Ia juga dinilai dha’if oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daraquthni (Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jld 1, ms 103.

Pendapat Kedua:

Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali mulut, air liur dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai najis.

Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan ketaatan kepada Allah semata-mata (ta’abudi). Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada ayat keempat surah al-Maidah dan lain-lain hadis Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu. Tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan tersebut adalah suci untuk dimakan. Firman Allah:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]

Analisa:

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi telah mengkaji dalil masing-masing mazhab seperti mana di atas, lalu  merumuskan:

Di antara yang najis ialah air liur anjing. Disebut dalam Shahih al-Bukhari  dan Muslim daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.

Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya (al-Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal tentang kenajisannya.  Dengan demikian, jelaslah tentang najisnya air liur anjing itu.

Bahkan, di sana ada beberapa ahli fiqh yang menyebut tentang kenajisan semua anggota tubuh anjing.  Padahal tidak ada dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun sunnah Rasulullah.  Sedangkan pengambilan dalil tentang dijilat atau minumnya anjing dari tempat air, maka itu khusus untuk sesuatu yang dijilat saja.  Tidak ada yang menunjukkan pada kenajisan anjing secara keseluruhan: daging, tulang, darah, bulu, dan keringat.  Sedangkan mengqiyaskan ini dengan jilatan anjing, adalah bentuk qiyas yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam al-Syaukani.  Khususnya jika dikaitkan dengan hadits ‘Abd Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan): Anjing masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat tidak memercikkan air apa pun. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud).

Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian semua anggota tubuh anjing dan mengatakan, sesungguhnya dicucinya tempat yang dijilat anjing adalah masalah yang bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya Allah yang tahu.  Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah mengamalkan apa yang ada di dalam nas walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya.  Ini adalah mazhab Imam Malik.

Imam Malik berhujah bahwa Allah membolehkan makan dari hasil buruan anjing tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya, sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan dalam surah al-Maidah, ayat 4.

Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada pendapat Imam Malik bahwa semua yang hidup adalah suci.  Demikianlah juga dengan anjing.  Dalam zatnya dia suci.  Oleh sebab itulah dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil buruannya.  Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat anjing adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi. Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang menyangkut air liur anjing bahwa di dalamnya ada penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan lebih mengejutkan.

Sekian al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Thaharah (al-Kautsar, Jakarta 2004), ms. 21-22. Di atas merupakan pendapatnya yang terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.

Mengajar Dan Melatih Anjing

Perhatikan bahawa apabila Allah berfirman: … Kamu mengajar serta melatihnya… [al-Maidah 5:04], tidaklah seorang Muslim itu mengajar dan melatih anjing buruannya melainkan ia melibatkan banyak sentuhan, belaian dan pelukan. Ini adalah untuk memberi motivasi kepada anjing itu dan menjalin hubungan antara tuan dan anjingnya.

Kesimpulan

Hukum kenajisan anjing adalah salah satu perkara khilaf (perbezaan pendapat) di antara sekian banyak perkara khilafiyah yang wujud dalam fiqh Islam. Setiap pendapat memiliki dalilnya. Meskipun Mazhab al-Syafi’e adalah mazhab rasmi di Malaysia, ia bukanlah alasan untuk kita menahan diri daripada mengkaji dalil-dalil serta pendapat mazhab yang lain. Umat Islam, khususnya para agamawan, hendaklah mampu mengkaji, menganalisa dan berbicara dengan fikiran yang terbuka serta saling menghormati perbezaan pendapat yang ada. Justeru tidak sepatutnya timbul tuduhan bahawa memegang, membelai serta memeluk anjing adalah perbuatan yang merosakkan aqidah, dosa besar, wajib taubat dan seumpama bermain-main dengan tahi (najis).