Antara hadis yang masyhur menerangkan keutamaan bulan Ramadhan ialah apa yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai. [Shahih Muslim, no: 1793/1079]. Selain Muslim, hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Bukhari, al-Tirmizi, al-Nasa’e, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain.

Sebagai orang-orang yang beriman, kita beriman bahawa Rasulullah menyampaikan yang benar dan Allah memelihara apa yang baginda sampaikan sehingga terbuku dalam kitab-kitab hadis. Tidak ada faedah Allah berulang-kali di dalam al-Qur’an memerintahkan umat Islam untuk mentaati Rasulullah jika Dia tidak memelihara apa yang diperkatakan dan dilakukan oleh baginda sehingga ke akhir zaman.

Justeru kita tidak mempersoal kebenaran hadis ini. Hanya yang menjadi soalan adalah, kenapa setiap tahun dalam bulan Ramadhan kita menyaksikan umat Islam melakukan perkara-perkara yang menjauhkan mereka dari syurga sehingga mendekati neraka? Ambil saja satu contoh mudah, kenapakah masih ramai umat Islam yang puasa tetapi tidak solat?

footbeingchained

Pintu-Pintu Syurga Dibuka

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan “…pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup…” ia merujuk pada saat itu, bukan pada Hari Akhirat. Bererti, pada bulan Ramadhan setiap tahun, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup bagi memberikan galakan kepada umat Islam untuk memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi perbuatan mungkar.

Ada juga yang menerangkan, pada bulan Ramadhan amal-amal soleh diberi pahala yang berganda sehingga dengan itu dapat mendekatkan pengamalnya ke pintu-pintu syurga dan menjauhi pintu-pintu neraka.

Selain itu ada yang menjelaskan bahawa maksud pintu-pintu syurga dibuka adalah terbukanya pintu-pintu rahmat dari Allah sehingga dengan itu hati umat Islam tergerak dan merasa ringan untuk melakukan amal-amal soleh. Pada waktu yang sama, hati umat Islam merasa berat untuk melakukan perbuatan mungkar. Penjelasan terakhir ini merujuk kepada sebuah hadis yang lain: Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu Rahmat dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai. [Shahih Muslim, no: 1794/1079]. Saya mencenderungi penjelasan terakhir ini kerana disokong oleh hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Apa yang penting, hadis ini tidak bererti pada bulan Ramadhan setiap umat Islam akan melakukan amal-amal ahli syurga. Melakukan amal soleh atau mungkar tetap terserah kepada pilihan masing-masing. Jika seseorang itu memilih untuk melakukan perbuatan ahli neraka, seperti enggan solat lima kali sehari, maka dia tetap akan dihukumi oleh Allah pada Hari Akhirat kelak. Ini kerana pada Hari Akhirat, pintu-pintu syurga dan neraka sentiasa terbuka bagi menerima sesiapa yang layak memasukinya.

Oleh itu hadis ini sebenarnya menerangkan keutamaan bulan Ramadhan. Hendaklah kita menyambut rahmat Allah yang tercurah-curah di bulan ini dengan mempertingkatkan amal-amal soleh. Ia tidak bererti kita boleh abaikan ibadah-badah yang wajib kerana pada Hari Akhirat kelak, pintu neraka tetap terbuka bagi menerima sesiapa yang ingkar kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

 

Syaitan Dirantai?

Persoalan kedua yang timbul ialah pada sabda baginda: “…dan syaitan-syaitan dirantai.” Jika syaitan-syaitan dirantai, maka kenapakah di antara umat Islam masih ada yang diganggu oleh syaitan? Gangguan tersebut beragam, daripada perasaan was-was ketika beribadah, tidak beribadah walaupun yang wajib, anak-anak yang menderhakai ibubapa, suami-isteri yang bercerai, kes-kes rasukan sehinggalah kepada orang-orang bertopeng agama yang menyeru kepada kesesatan.

Jika dibuka kitab-kitab yang mensyarahkan hadis ini, akan ditemui beberapa penjelasan daripada para ulama’ rahimahumullah. Berikut saya ringkaskan sebahagian daripadanya:

Pertama, hadis ini diterima secara zahirnya dan tidak dibicara atau dipersoalkan lagi. Kedua, syaitan yang dirantai hanyalah mereka yang biasa mencuri dengar perbicaraan para malaikat di langit terbawah. Ketiga, syaitan hanya dirantai daripada mengganggu orang yang memanfaatkan bulan Ramadhan dengan amal-amal ibadah seperti solat fardhu, puasa, membaca al-Qur’an, berzikir, bersedekah, berbuat baik kepada orang lain dan solat pada malam hari. Adapun orang yang lalai dari memanfaatkan bulan Ramadhan, maka syaitan tetap bebas untuk mengganggunya.

Keempat, gangguan dan kejahatan yang berlaku dalam bulan Ramadhan adalah daripada diri manusia itu sendiri. Syaitan-syaitan telah dirantai sehingga mereka tidak campur tangan dalam urusan manusia dalam bulan Ramadhan. Oleh itu jika seseorang itu biasa melakukan kemungkaran, dia akan meneruskan kemungkaran itu meskipun dalam bulan Ramadhan. Jika seseorang itu membiarkan dirinya sering was-was, maka dia akan terus was-was dalam bulan Ramadhan. Jika pasangan suami-isteri itu lazim bergaduh, mereka akan terus bergaduh sehingga ke tahap bercerai dalam bulan Ramadhan. Jika seseorang itu mengalami tekanan kehidupan, dia akan mengalami tanda-tanda rasukan padahal tiada syaitan yang merasuknya.

Kelima, syaitan yang dirantai adalah dari kalangan iblis dan jin-jin yang mengajak manusia kepada penderhakaan terhadap Allah dan kesesatan dari jalan Allah. Adapun jin-jin biasa atau jin muslim tetapi jahat, mereka tetap bebas untuk mengganggu manusia. Pendapat ini dianggap lemah kerana dalam sebuah hadis yang lain, dinyatakan bahawa jin-jin yang jahat – baik muslim atau kafir – akan dirantai juga. Perhatikan hadis berikut:

Pada malam pertama bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dirantai, pintu-pintu neraka ditutup sehingga tidak ada satupun pintu (neraka) yang terbuka, pintu-pintu syurga dibuka sehingga tidak ada satupun pintu (syurga) yang tertutup.

Seorang penyeru akan menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan! Bersegeralah (kepada ketaatan dan amal soleh). Wahai yang mengharapkan keburukan! Berhentilah (dari kederhakaan dan kemungkaran). Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 618/682]

Keenam, maksud syaitan-syaitan dirantai adalah kebebasan dan kekuasaan mereka terhad untuk mengganggu manusia. Ertinya syaitan masih boleh mengganggu akan tetapi kemampuan mereka adalah terhad kerana telah dirantai. Ini sebagaimana manusia yang dirantai, dia masih boleh bergerak dan melakukan perbuatan, namun semua itu terhad. Justeru pada bulan Ramadhan jumlah umat Islam yang berbuat kemungkaran dan mengalami gangguan serta tahap kemungkaran dan gangguan tersebut adalah lebih rendah berbanding bulan-bulan selain Ramadhan.

Demikian enam pendapat para ulama’ yang saya ringkaskan. Selan itu saya ingin menambah satu pendapat peribadi, iaitu syaitan-syaitan secara umumnya dirantai dan tidak dapat mengganggu manusia kecuali beberapa yang sengaja dilepas oleh Allah sebagai satu ujian kepada mereka (manusia). Melalui ujian ini, sebahagian manusia ada yang bersungguh-sungguh untuk lulus dengan cara yang disyariatkan. Mereka memperbanyakan amal soleh, meningkatkan ketaatan, menjauhi kemungkaran dan tidak putus asa daripada mengharapkan rahmat Allah di bulan yang mulia ini. Namun ada manusia yang gagal kerana membiarkan dirinya mengikuti hasutan dan gangguan syaitan tersebut atau cuba melawannya dengan cara-cara yang tidak disyariatkan.

Moga penjelasan-penjelasan yang diberikan ini dapat membantu kita memahami dengan baik hadis di atas yang pada zahirnya nampak ringkas tetapi memiliki pengertian yang amat mendalam.