Sejak di zaman sekolah, kita telah mempelajari nama-nama malaikat dan peranan mereka. Apa kata kita mengulang kaji subjek ini kerana jika dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih, ada beberapa perbezaan berbanding apa yang telah dipelajari sebelum ini.

Sebagai contoh, ramai yang mengenali Izrail sebagai nama malaikat yang peranannya mencabut nyawa manusia. Akan tetapi penamaan ini tidak memiliki bukti dari al-Qur’an mahupun hadis yang sahih. Apa yang sahih, ia hanya dikenali sebagai Malaikat Maut, sebagaimana hadis berikut daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Malaikat Maut diutus kepada Musa ‘alaihi salam…  [Shahih al-Bukhari, no: 1253/1339].

Malaikat Jibrail

Jibrail adalah malaikat yang selalu mendampingi Rasulullah, membawa wahyu, mengajarkan al-Qur’an dan lain-lain lagi. Ibnu ‘Abbas menerangkan: Rasulullah adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan kepada orang ramai terutama pada bulan Ramadhan. Setiap tahun Jibrail selalu menemui baginda tiap-tiap malam, sehingga akhir bulan Ramadhan. Rasulullah memperdengarkan bacaan Qur'an kepadanya. [Shahih Muslim, no: 4268/2308]

Malaikat Mikail

Nama malaikat Mikail dapat kita kenali melalui ayat al-Qur’an: Sesiapa yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibrail dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh orang-orang kafir. [al-Baqarah 2:98] Mikail juga turut berperanan mengajar Rasulullah membaca al-Qur’an dengan beberapa cara bacaan. Baginda menerangkan:

Sesungguhnya Jibrail dan Mikail telah datang kepadaku. Jibrail duduk di sebelah kananku sedangkan Mikail duduk di sebelah kiriku. Jibrail berkata: “Bacalah al-Qur'an dengan satu huruf.” Mikail berkata:  “Tambahlah-tambahlah hingga tujuh huruf (dialek), setiap dialek telah mencukupi.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 932/941]

Ada riwayat yang menerangkan Mikail bertanggungjawab menguruskan rahmat, tumbuh-tumbuhan dan hujan [Musnad Ahmad, no: 2353/2483 dengan sanad hasan]. Akan tetapi itu adalah kata-kata orang Yahudi apabila bersoal-jawab dengan Rasulullah sehingga tidak dapat dijadikan dalil yang muktamad.

Malaikat Israfil

Nama malaikat ini pernah disebut oleh Rasulullah ketika membaca doa iftitah dalam Qiamulailnya: Ya Allah tuhan Jibrail, Mikail dan Israfil… [Shahih Muslim, no: 770/1289] Ali bin Abi Thalib pernah berkata: Pada perang Badar, (Rasulullah) berkata kepada Abu Bakar dan Ali: “Bersama salah seorang dari kalian berdua (ada malaikat) Jibrail, sedangkan Mikail bersama yang lainnya. Dan Israfil adalah malaikat agung yang ikut menyaksikan peperangan atau ikut bergabung dengan barisan perang.” [Musnad Ahmad, no: 1192/1257 dengan sanad yang sahih]

Ada yang berkata Israfil berperanan meniup sangkakala pada Hari Kiamat kelak. Riwayat ini dikemukakan oleh Imam Ibnu Jarir al-Thabari ketika menafsirkan ayat 49 surah Yasin. Namun Imam al-Bukhari telah menyatakan riwayat tersebut tidak sahih, sebagaimana yang dikemukakan oleh Imam al-Iraqi dalam Takhrij Ahadits al-Ihya’, no: 4451. Selain itu apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan tentang sangkakala, baginda tidak menyebut nama malaikat peniupnya. Baginda bersabda:

Bagaimana mungkin aku dapat merasa gembira sementara (malaikat) peniup sangkakala telah memasukkan sangkakala ke mulut, telah menundukkan dahinya dan menyiapkan pendengarannya menanti perintah (daripada Allah) untuk meniup? [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3166/3243]

Malaikat Malik

Beliau ialah malaikat penjaga neraka sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an: Dan mereka (ahli neraka) menyeru (kepada malaikat penjaga neraka): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!” [al-Zukhruf 43:77]

Adapun penamaan Ridzuan sebagai malaikat penjaga syurga, maka kesahihan hadis-hadis yang dijadikan sandaran memerlukan semakan lanjut.

Malaikat Munkar dan Nakir

Mereka berdua adalah malaikat yang bertanya soalan-soalan di dalam kubur. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan: Apabila mayat atau salah seorang dari kalian (yang meninggal dunia) dikebumikan, akan datang kepadanya dua malaikat yang gelap kebiruan, salah seorang darinya digelar Munkar manakala seorang lagi digelar Nakir. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 991/1071]

Saya pernah ditanya, apabila berlaku satu trajedi besar sehingga ramai yang meninggal dunia sekali gus, maka bagaimanakah Malaikat Maut hendak mencabut semua nyawa sekali gus serta soal-jawab kubur oleh Munkar dan Nakir?

Saya menjawab, malaikat adalah makhluk ghaib yang tidak terikat dengan tertib kerja yang biasa dilakukan oleh manusia di alam nyata. Justeru kewajipan kita hanyalah beriman bahawa para malaikat melakukan tugas mereka dengan cara tersendiri di alam mereka yang tersendiri.

Malaikat Harut dan Marut

Mereka berdua ialah malaikat yang mengajar manusia ilmu sihir sebagai satu bentuk ujian dan fitnah ke atas manusia. Sesiapa yang menjauhi ilmu sihir bererti dia beriman sementara sesiapa yang mempelajarinya bererti dia kafir. Ini termasuklah orang yang mempelajari sihir untuk melawan sihir. Sebabnya, sihir hendaklah dilawan dengan keyakinan kepada Allah dan membaca ayat-ayat al-Qur’an serta zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah. Melawan sihir dengan sihir termasuk dalam kategori sihir yang dilarang dalam ayat berikut:

Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya fitnah (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.” Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. [al-Baqarah 2:102]

Malaikat Raqib dan Atid

Allah berfirman dalam al-Qur’an: Semasa dua malaikat menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas (Raqib) yang sentiasa sedia menulisnya (Atid). [Qaf 50:17-18]

Para ilmuan berbeza pendapat sama ada Raqib dan Atid adalah nama malaikat atau peranan malaikat. Ini adalah perbezaan pendapat yang masyhur sehingga boleh diterima kedua-duanya. Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Demikianlah nama-nama malaikat yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Adapun selain itu berserta peranan-peranan mereka, hendaklah disemak kesahihannya. Ilmu tentang malaikat merupakan salah satu dari Rukun Iman, maka hendaklah ia berdasarkan ilmu yang benar. (Dis 2015)