Beberapa bulan yang lepas saya ada berkongsi kemudahan berwudhu’ apabila dalam kapal terbang. Pada peluang ini saya ingin berkongsi pula cara-cara melaksanakan solat dalam kapal terbang. Secara lebih luas, ia boleh diamalkan bila-bila seseorang itu dalam kesukaran untuk solat seperti ketika dalam bas, tren, kapal laut atau sedang sakit. Ada dua hadis yang menjadi asas kepada cara-cara melaksanakan solat dalam kapal terbang.

Hadis Pertama:

Malik bin al-Huwairits menceritakan: Kami datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, saat itu kami adalah para pemuda yang sebaya usianya. Maka kami tinggal bersama baginda selama dua puluh hari dua puluh malam. Baginda adalah seorang yang sangat penuh kasih sayang dan lemah-lembut. Ketika baginda menganggap bahwa kami telah inginkan atau rindukan keluarga kami, baginda bertanya kepada kami tentang orang (ahli keluarga) yang kami tinggalkan.

Maka kamipun mengkhabarkannya kepada baginda. Kemudian baginda bersabda: “Kembalilah kepada keluarga kalian dan tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka dan perintahkanlah mereka (untuk solat).” Baginda seterusnya menyebut sesuatu yang aku pernah ingat lalu lupa. (Kemudian) baginda bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat. Maka jika waktu solat sudah tiba, hendaklah salah seorang dari kalian mengumandangkan adzan dan hendaklah yang menjadi imam orang yang paling tua di antara kalian.” [Shahih al-Bukhari, no: 595/631]

Pengajaran penting dalam hadis pertama ini ialah hendaklah kita semua solat sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam solat. Ini berdasarkan perintah baginda: Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat. Berdasarkan perintah ini, hendaklah kita semua mengulangkaji dan menyemak semula cara dan bacaan solat kita. Apakah ia menepati cara dan bacaan Rasulullah atau menepati kebiasaan masyarakat?

passenger traffic 122999 640Janganlah ilmu-ilmu agama tetap pada tahap yang sama sejak bangku sekolah rendah sementara ilmu-ilmu duniawi ditambah dan diperkembangkan tanpa henti. Hendaklah kedua-duanya ditambah dan diperkembangkan. Sebuah buku terbaik untuk dijadikan rujukan ialah Sifat Solat Nabi Dari Takbir Hingga Salam karya Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah.

Dalam hadis di atas juga terdapat petunjuk tentang bagaimana sepatutnya seorang muslim melayan tetamunya. Meskipun tetamu Rasulullah hanyalah orang-orang muda dan mereka tinggal dalam tempoh yang agak panjang (dua puluh hari), baginda tetap melayang mereka dengan “…penuh kasih sayang dan lemah-lembut.”

Petunjuk lain yang dapat dipelajari ialah memberi nasihat yang bermanfaat kepada tetamu. Jangan merasa segan, berat lidah atau membuat-buat pelbagai alasan daripada memberikan nasihat agama. Sebaliknya ikhlaskanlah dan beranikanlah diri untuk memberi nasihat kepada tetamu, khususnya apabila mereka sudah hendak bertolak pulang. Ini kerana nasihat pada saat berpisah adalah lebih berkesan kepada hati (dengan izin Allah).

Hadis Kedua:

Abu Hurairah menerangkan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana soalan-soalan mereka (yang berbentuk negatif) dan perselisihan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Maka apabila aku melarang kalian daripada sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288]

Dalam hadis kedua ini pula, hendaklah kita mencukupkan diri dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita jauhi apa yang baginda larang dan kita amalkan semampu mungkin apa yang baginda perintahkan. Janganlah memutar belit, ingin mengetahui sebab sebelum beramal, mengubah-suai, menokok-tambah dan menyelisihi apa yang baginda amalkan serta sampaikan.

“Soalan-soalan mereka…” yang dimaksudkan dalam hadis di atas bukanlah soalan orang yang ingin faham dengan lebih mendalam, tetapi soalan untuk meremehkan, mempermainkan dan memperkotak-katikkan perintah serta larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun soalan untuk memahami dengan lebih mendalam, tentu saja ia dibolehkan dan digalakkan.

Kaitan Kedua-Dua Hadis Dengan Solat Ketika Dalam Kapal Terbang

Adapun kaitan kedua-dua hadis di atas dengan solat dalam kapal terbang, maka hadis pertama merupakan perintah untuk solat sebagaimana Rasulullah solat. Hadis kedua pula memperincikan hadis pertama, iaitu hendaklah melaksanakan perintah untuk solat sebagaimana Rasulullah solat semampu mungkin.

Orang yang dalam penerbangan, kemampuannya untuk solat sudah tentu berbeza dengan orang yang dalam masjid atau rumah. Keadaan cuaca dan ruang yang ada dalam kapal terbang pula berbeza-beza sehingga kemampuan seseorang untuk solat dalam penerbangan A mungkin berbeza dalam penerbangan B.

Oleh itu setiap orang yang melakukan penerbangan hendaklah tetap melaksanakan solat-solat fardhunya di dalam kapal terbang. Hanya solat tersebut boleh dikurangkan rukun-rukunnya mengikut kemampuan setiap penumpang, berdasarkan keadaan cuaca dan ruang solat. Contohnya, selepas mengambil wudhu’:

  • Solat hendaklah dalam waktunya di lokasi udara saat itu. Ia bukan berdasarkan lokasi berlepas, mendarat atau lokasi negara yang sedang dilintas saat itu. Cara terbaik untuk mendapatkan waktu solat ketika dalam penerbangan ialah dengan aplikasi talifon pintar yang bernama HalalTrip. Jika tidak tahu waktu solat, maka solatlah pada waktu yang dianggap paling tepat.
  • Solat hendaklah menghadap kiblat. Boleh bertanya kepada juruterbang arah kiblat. Namun jika tidak tahu arah kiblat, maka solatlah pada arah yang dianggap menghampiri arah kiblat. Jika tidak ada ruang untuk solat menghadap kiblat, maka cubalah untuk menghadap paling hampir ke arah kiblat. Namun jika masih tidak mampu untuk menghadap, maka solat tetap dilaksanakan pada mana-mana arah yang mampu.
  • Solat hendaklah dengan berdiri, diikuti dengan pergerakan rukuk, iktidal, sujud dan sebagainya. Jika seorang penumpang tidak mampu solat berdiri kerana ketiadaan ruang atau cuaca buruk (kapal terbang bergoyang-goyang), maka dia solat dengan duduk, kemudian rukuk dan sujud. Jika tidak mampu untuk rukuk dan sujud, maka dia solat di kerusinya dengan menundukkan kepala untuk rukuk dan membongkokkan badan untuk sujud.

Semua cara solat di atas adalah sah dan tidak perlu diulangi apabila tiba di destinasi. Ia telah mendapat izin, tauliah dan pengiktirafan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan sabda baginda: Apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian.

Oleh itu para pembaca sekalian usah merasa ragu untuk melaksanakan solat sekadar yang mampu ketika dalam penerbangan. Jangan melaksanakan solat sekadar “menghormati waktu” kerana solat menghormati waktu tidak wujud pada zaman Rasulullah, tidak diamalkan oleh Rasulullah dan tidak diajar oleh Rasulullah. Ingat pesan baginda: Cukuplah dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Majalah i (Nov 2015)