Dalam kitab Shahih Muslim terdapat sebuah kisah panjang yang ingin saya kongsikan pengajarannya bersama para pembaca sekalian. Kisah ini diriwayatkan oleh Shuhaib bin Sinan radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Pernah ada seorang raja sebelum masa kalian yang memiliki seorang ahli sihir. Tatkala ahli sihir itu sudah tua, dia berkata kepada raja itu: “Sesungguhnya aku sudah tua, maka hantarkanlah kepadaku seorang anak muda untuk aku mengajarnya ilmu sihir.” Maka dihantarkanlah kepadanya seorang anak muda lalu dia mengajarnya (ilmu sihir).

Dalam perjalanan (anak muda itu untuk berjumpa ahli sihir), ada seorang rahib. Anak muda itu duduk bersamanya, mendengar kata-katanya dan merasa teruja dengannya. Setiap kali dia pergi kepada ahli sihir, dia akan singgah dan duduk-duduk bersama rahib. Lalu apabila anak muda itu datang kepada ahli sihir, dia dipukul (kerana lewat) dan hal ini diadukannya kepada rahib. Maka rahib menasihatinya: “Apabila kamu takut kepada ahli sihir, katakan ‘aku ditahan oleh keluargaku (sehingga terlewat)’. Apabila kamu takut kepada ahli keluargamu, kata ‘aku ditahan oleh ahli sihir (sehingga terlewat)’.”

Perkara ini berlaku untuk beberapa ketika sehinggalah (pada satu hari) datang seekor binatang besar yang menghadang lalu-lalang orang ramai. Maka anak muda itu berkata: “Pada hari ini aku akan mengetahui sama ada ahli sihir atau rahib yang lebih utama.” Maka dia mengambil seketul batu dan berdoa: “Ya Allah! Jika urusan rahib lebih Engkau cintai berbanding urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga lalu-lalang orang ramai kembali bebas.”

magic

Maka dia melontar batu itu dan dapat membunuh binatang tersebut sehingga lalu-lalang orang ramai kembali bebas. Anak muda itu mendatangi rahib dan mengkhabarkan kepadanya (apa yang berlaku). Berkata rahib: “Wahai anakku! Kamu pada hari ini lebih utama berbandingku. Sungguh telah sampai urusan kamu sebagaimana yang aku lihat. Sesungguhnya kamu akan diuji, maka apabila kamu diuji maka janganlah menceritakan tentang aku.”

Seterusnya anak muda itu merawat orang buta dan sakit kusta, bahkan merawat orang ramai daripada pelbagai penyakit mereka. Berita ini didengar oleh salah seorang ahli majlis diraja yang buta, maka dia mendatangi anak muda itu dengan membawa hadiah yang banyak sambil berkata: “Semua ini tidak lain adalah untuk kamu jika kamu menyembuhkan aku (daripada penyakit buta ini).” Anak muda itu menjawab: “Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan seorang jua. Sesungguhnya yang menyembuhkan tidak lain adalah Allah. Jika kamu beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkan kamu.” Maka ahli majlis diraja itupun beriman kepada Allah lalu Allah menyembuhkannya.

Maka dia mendatangi raja dan duduk dalam majlisnya seperti biasa. Raja itu bertanya kepadanya: “Siapakah yang mengembalikan kepada kamu penglihatan kamu?” Dia menjawab: “Tuhan aku.” Raja bertanya lagi: “Apakah bagi kamu ada tuhan selain aku?” Dia menjawab: “(Ya), tuhan aku dan dan kamu ialah Allah.” Maka diambil ahli majlis diraja itu dan diseksa tanpa henti sehinggalah dia menunjuk kepada anak muda (yang menyembuhkannya). [Shahih Muslim, no: 5327/3005]

Dalam kisah di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengurniakan kepada seorang anak muda keistimewaan untuk merawat orang yang sakit dan mengizinkan kesembuhannya. Ini adalah karamah yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk melakukan perkara-perkara yang di luar kebiasaan. Jika kepada para Rasul dan Nabi Allah kurniakan mukjizat tertentu, maka bagi sebahagian manusia Allah kurniakan karamah yang tertentu juga. Firman Allah:

Katakanlah: Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya. Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. [‘Ali Imran 3:73-74]

Oleh itu kita Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah berkeyakinan wujudnya karamah sebagai kurniaan istimewa Allah kepada para hamba-Nya yang terpilih. Hanya karamah tersebut bukanlah sumber dalil agama sepertimana al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Selain itu hendaklah berwaspada kerana perkara-perkara yang di luar kebiasaan boleh saja berasal daripada mainan jin atau perbuatan sihir.

 

Hukum Sihir

Menyentuh tentang sihir, awal hadis menunjukkan anak muda terbabit mempelajari sihir daripada tukang sihir diraja. Ini bukanlah dalil bagi mempelajari dan menggunakan sihir. Anak muda sebenarnya tidak tahu hukum sihir sehingga Allah memberinya petunjuk melalui kedatangan seekor binatang besar yang menghalang lalu-lalang orang ramai. Anak muda berdoa: “Ya Allah! Jika urusan rahib lebih Engkau cintai berbanding urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga lalu-lalang orang ramai kembali bebas” lalu berjaya membunuh binatang tersebut. Peristiwa ini menyebabkan anak muda yakin kepada kebenaran rahib berbanding tukang sihir.

Adapun hukum sihir, maka orang yang mempelajari dan menggunakannya menjadi kafir. Ini berdasarkan pesanan malaikat Harut dan Marut yang mengajar sihir kepada manusia: Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorangpun (ilmu sihir) melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya dan mengamalkannya).” [al-Baqarah 2:102]

Orang yang mempelajari dan menggunakan sihir, dia sebenarnya sedang mempelajari berhubung dengan syaitan dan menggunakan khidmat jin-syaitan yang sejak awal sudah kafir kepada Allah. Jin-syaitan itu pula akan mensyaratkan orang yang ingin berhubung dan menggunakan khidmatnya untuk melakukan perkara-perkara yang merupakan kekafiran kepada Allah, seperti kencing di atas al-Qur’an, menggunakan kertas-kertas mushaf al-Qur’an bagi membersihkan najis dan memaki-hamun Rasulullah. Oleh itulah hukum orang mempelajari dan menggunakan sihir adalah kafir kerana tidak ada sihir tanpa keyakinan dan perbuatan yang kufur di sebaliknya.

 

Kedudukan Hati Ketika Sakit

Di antara karamah anak muda ialah merawat orang sakit sehingga sembuh. Namun perhatikan bahawa anak muda itu tidak merasa ujub atau memuji-muji dirinya, tetapi sentiasa menyandarkan apa yang berlaku kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila orang datang kepadanya untuk rawatan dengan keyakinan terhadap dirinya, beliau menerangkan dengan tegas: “Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan seorang jua. Sesungguhnya yang menyembuhkan tidak lain adalah Allah.” Penegasan ini begitu berbekas kepada pesakitnya sehingga apabila ditanya tentang kesembuhannya, pesakit juga menjawab: “Tuhan aku” yakni Allah.

Perkara ini sangat penting kerana ia membuktikan aqidah seorang muslim yang benar-benar sihat. Seorang muslim yang sakit aqidahnya, hatinya sangat cenderung kepada doktor, ubat-ubatan, pembedahan, muallij (orang yang merawat pesakit yang diserang gangguan makhluk halus, seperti rasukan jin) dan jampi-jampian ketika sakit. Kecenderungan ini menyebabkan penyakitnya menjadi lebih parah kerana jika pada awalnya dia hanya mengidapi penyakit jasmani, kini dia juga menghadapi penyakit aqidah.

Oleh itu apabila seorang muslim diuji oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan sesuatu penyakit, hendaklah dia tidak sekadar memberi tumpuan merawat penyakit itu, tetapi juga merawat hatinya agar sabar menerima ujian Allah dan meletakkan harapan serta keyakinan sembuh pada Allah. Bagi seorang doktor atau muallij pula, hendaklah memulakan rawatan dengan memberi keterangan kepada pesakit bahawa sembuh atau tidak bergantung kepada kehendak Allah. Justeru janganlah pesakit berharap kepadanya tetapi berharaplah kepada Allah.

Semua ini tidaklah bererti menafikan rawatan atau tidak berjumpa dengan doktor. Berusaha untuk sembuh ketika sakit memang dianjurkan dan ia termasuk dalam urusan jasmani. Akan tetapi hendaklah juga diperhatikan urusan hati agar harapan dan keyakinan tidak beralih daripada Allah atau dikongsi bersama Allah.

Apakah yang berlaku seterusnya dalam kisah sahih ini? Tunggu edisi akan datang insya-Allah.