Tahukah para pembaca yang dirahmati Allah sekalian bahawa apabila kita berselawat kepada Rasulullah, ia sebenarnya adalah sebaik-baik pujian kepada baginda? Selawat merupakan sesuatu yang diucapkan oleh Allah dan para malaikat-Nya, dan Allah juga telah memerintahkan kita untuk berselawat kepada baginda. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzaab 33:56]

Maksud selawat ialah mengucapkan kebaikan, keberkatan, pujian dan doa kepada Rasulullah. Dalam banyak hadis-hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajar kita cara berselawat kepadanya, waktu-waktu umum dan khusus untuk berselawat, ganjaran-ganjaran kepada orang yang berselawat dan ancaman kepada orang yang enggan berselawat.

Demikianlah besarnya kedudukan berselawat sehingga kita tertanya-tanya, kenapakah di antara umat Islam masih mahu memberikan puji-pujian kepada Rasulullah selain berselawat?

Salawat

Memuji Rasulullah Dengan Gelaran “Sayyidina”

‘Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu 'anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.”

Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!”

Rasulullah menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menyukai orang-orang menggelarnya sebagai “Sayyidina”. Akan tetapi ia tidaklah bererti menggelar baginda “Sayyidina” membawa hukum haram kerana baginda bersabda di akhir hadis: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan…”.

Ada yang berpendapat, Rasulullah hanya melarang orang yang menggelarnya “Sayyidina” dengan anggapan baginda adalah tuhan. Pendapat ini ditolak kerana para sahabat dalam hadis di atas tidak menyebut “Anda al-Sayyid” tetapi menyebut “Anda Sayyidina” yang bererti “anda tuan kami”. Seandainya yang disebut ialah “Anda al-Sayyid”, maka ia boleh membawa pengertian mereka menganggap baginda sebagai tuhan.

Adapun sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala”, maka ia adalah peringatan agar para sahabatnya tidak lupa dalam mentauhidkan Allah. Sebagai seorang Rasul yang membawa mesej utama mentauhidkan Allah, baginda sentiasa mencari ruang untuk mengingatkan umatnya dalam urusan tauhid. Perkara ini hendaklah juga kita contohi, yakni sentiasa mencari ruang mengingatkan sesama muslim untuk mentauhidkan Allah dan menjauhi keyakinan, ucapan dan perbuatan yang boleh mencemari tauhid tersebut.

Dalam bab ini terdapat sebuah hadis lain yang lebih tegas. Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersumpah: “Demi Allah!” lalu menjelaskan: “Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku”, ia menunjukkan bahawa baginda benar-benar tidak suka orang memuji-mujinya dengan gelaran “Sayyidina”. Bahkan berdasarkan ketegasan hadis inilah, ia menjadi dalil yang melarang penggunaan gelaran “Sayyidina” terhadap Rasulullah. Ketegasan dalam hadis ini menafsirkan kesederhanaan yang ada dalam hadis ‘Abdullah bin al-Syikhir di atas.

 

Hukum Memuji Rasulullah.

‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh pernah menyebut ketika di atas mimbar, aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Janganlah berlebih-lebihan memuji aku sebagaimana kaum Nasrani (Kristian) berlebih-lebihan memuji (Nabi ‘Isa) ibni Maryam. Ini kerana sesungguhnya aku tidak lain adalah hamba-Nya, maka berkatalah Abdullah dan Rasul-Nya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3189/3445 dan 6328/6830]

Kaum Nasarani berlebih-lebihan memuji Nabi Isa dengan mengangkatnya menjadi anak tuhan. Mereka membuat patungnya yang disalib lalu menggantungnya di masjid, rumah, kedai, bahkan sebagai kalung rantai. Dalam nasyid-nasyid mereka, mereka memohon pertolongan dan perlindungan daripada Nabi Isa. Mereka berkata, itu adalah satu bentuk pujian kepada Nabi Isa.

Apa yang dibimbangi oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya telah benar-benar berlaku masa kini. Segelintir umat Islam dalam nasyid-nasyid dan qasidah-qasidah mereka telah berlebih-lebihan dalam memuji Rasulullah. Mereka memuji baginda sebagai kononnya mengetahui hal ghaib, memiliki kuasa yang besar dan mampu memakbulkan doa-doa mereka. Semua ini telah dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadisnya di atas.

 

Bertemu Dan Berbincang Dengan Rasulullah

Sambil bernasyid dan berqasidah, segelintir umat Muhammad pula berkeyakinan dapat berjumpa dengan Rasulullah di alam nyata (yaqazah) dan berbincang-bincang dengan baginda (musyafahah). Mereka yakin Rasulullah turut hadir di dalam majlis nasyid dan qasidah mereka.

Dalil yang mereka gunakan ialah hadis sahih berikut ini: Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka dia melihatku dalam keadaan terjaga (yaqazah) kerana syaitan tidak dapat menyerupai aku. [Shahih al-Bukhari, no: 6478/6993] Mereka berhujah, antara karamah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih ialah dia boleh melihat Rasulullah sama ada dalam mimpi atau dalam keadaan sedar. Kedua-duanya adalah benar (bukan khayalan) kerana syaitan tidak dapat menyerupai Rasulullah.

Penghujahan ini dibantah bahawa yang dimaksudkan dengan yaqazah dalam hadis di atas ialah seseorang itu jika dia bermimpi melihat Rasulullah, mimpi itu terasa sebegitu benar seolah-olah dia hadir pada zaman Rasulullah sedang hidup lebih 1400 tahun yang lalu dan melihat baginda sebagaimana para sahabat melihat baginda.

Memang ada segelintir yang berpendapat yaqazah yang dimaksudkan oleh hadis di atas ialah berjumpa di alam nyata secara sedar. Namun pendapat ini telah dibantah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis Shahih al-Bukhari di atas dalam kitabnya Fath al-Bari.

Andai benar mereka melihat seseorang yang masuk menghadiri majlis nasyid dan qasidah, maka itu ialah syaitan yang menjelma sebagai manusia. Syaitan tidak menjelma sebagai Rasulullah kerana ia memang tidak mampu melakukan demikian. Ia hanya menjelma seseorang yang memakai jubah putih, berserban dan berjambang, lalu orang ramai segera tertipu lalu menganggap itu adalah Rasulullah.

 

Kesimpulan

Jika kita benar mencintai Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah kita mengikuti apa yang baginda suka dan menjauhi apa yang baginda benci. Baginda menyukai dirinya dipanggil sebagai “Abdullah” dan “Rasulullah”, serta membenci apa-apa gelaran selain itu. Dibolehkan memberi pujian kepada baginda, akan tetapi hendaklah berwaspada agar tidak dipengaruhi oleh syaitan sehingga berlebih-lebihan atau mengikuti sikap orang Nasrani terhadap Nabi Isa’. Orang yang memperbanyakkan gelaran kepada Rasulullah serta berlebih-lebihan memuji baginda, mereka sebenarnya mencintai diri sendiri meskipun memberi alasan “Kami hendak membuktikan cinta yang besar kepada Rasulullah.”