Pada edisi bulan ini, saya ingin mengupas sebuah hadis yang masyhur dikenali sebagai Hadis Orang Buta. Ia seperti berikut:

Daripada ‘Utsman bin Hunaif radhiallahu 'anh: Bahawa seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam seraya berkata: “Berdoalah kepada Allah agar aku disembuhkan.” Baginda bersabda: “Jika kamu mahu, aku akan mendoakanmu. Namun jika kamu mahu bersabar, maka itu lebih baik bagimu.” Lelaki tersebut berkata: “Doakanlah.”

Utsman bin Hunaif berkata, maka baginda menyuruh lelaki itu berwudhu’ dan membaguskan wudhu’nya (serta solat dua rakaat) lalu berdoa dengan doa berikut ini:

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap denganmu kepada Tuhanku dalam hajatku ini supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”

doa

Darjat Hadis

Ini ialah sebuah hadis yang sahih. Ia dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, hadis no: 3502 (Kitab al-Da’awat, Bab doa kepada tetamu). Imam al-Tirmizi berkata: Hadis ini hasan sahih gharib.

Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3578. Ia juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dalam al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no: 3895.

 

Penjelasan Hadis

Hadis ini menjadi masyhur kerana ia merupakan dalil untuk berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tawassul bererti menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai perantara (wasilah) dalam berdoa. Dalam al-Qur’an dan hadis yang sahih, kita dibolehkan bertawassul dengan nama-nama Allah dan amal-amal soleh ketika berdoa. Dibolehkan meminta orang soleh mendoakan kita dan ini merupakan satu bentuk tawassul juga.

Hadis orang buta di atas menjadi dalil bahawa dibolehkan juga berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah. Perhatikan semula doa tersebut dengan penjelasan tambahan dalam kurungan:

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan (kemuliaan) Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap dengan (kemuliaan)mu kepada Tuhanku dalam hajatku ini (sebut hajat tersebut) supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat baginda kepadaku.”

 

Bertawassul Selepas Kewafatan Rasulullah

Para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah berbeza pendapat sama ada dibolehkan bertawassul dengan kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam selepas kewafatan baginda. Ada yang berkata boleh dan pandangan inilah yang dicenderungi oleh saya. Hujahnya, kemuliaan Rasulullah dan kedudukan baginda yang terpuji tidak hilang dengan kewafatan baginda. Baginda tetap mulia dan terpuji baik ketika hidup mahupun setelah wafat, sehinggalah ke Hari Akhirat.

Selain itu dalam sebuah riwayat lain daripada Utsman bin Hunaif, beliau menceritakan: Bahawa seorang lelaki berulang-kali datang kepada Utsman bin ‘Affan radiallahu ‘anh untuk suatu hajat tetapi Utsman tidak menemuinya dan tidak memperhatikan hajatnya. Kemudian orang tersebut berjumpa Utsman bin Hunaif dan mengadukan hal itu. Maka Utsman bin Hunaif berkata: “Pergilah ke tempat berwudhu’ dan berwudhu’lah, kemudian masuklah ke dalam masjid dan dirikanlah solat dua rakaat. Selepas itu berdoalah: 

‘Ya Allah aku memohon kepadamu dan menghadap kepadamu dengan Nabi kami, Nabi pembawa rahmat. Ya Muhammad aku menghadap denganmu kepada TuhanMu, Tuhanku agar memenuhi keperluanku’…kemudian sebutkanlah hajatmu. Setelah itu berangkatlah dan aku akan pergi bersamamu.

Maka orang tersebut melakukannya, lalu kemudian datang menghadap Utsman. Ketika dia sampai di pintu rumah Utsman, penjaga pintu Utsman memegang tangannya dan membawanya masuk kepada Utsman bin ‘Affan dan dipersilakan duduk di samping Utsman. Utsman berkata: “Apa hajatmu?”, lalu dia menyebut hajatnya dan Utsman segera memenuhinya. Utsman berkata: “Aku tidak ingat kamu menyebut hajatmu sehinggalah ke saat ini.” Kemudian Utsman berkata lagi: “Bila-bila saja kamu ada hajat maka segeralah sampaikan (kepadaku).”

Kemudian orang tersebut pergi meninggalkan tempat itu (rumah Utsman bin ‘Affan) dan menemui Utsman bin Hunaif seraya berkata “Semoga Allah membalas kebaikanmu, beliau pada awalnya tidak memperhatikan hajatku dan tidak mempedulikan kedatanganku sehinggalah kamu berbicara kepadanya tentangku.”

Utsman bin Hunaif berkata: “Demi Allah! Aku tidak berbicara kepadanya. Hanya aku pernah menyaksikan seorang buta menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengadukan kehilangan penglihatannya, lalu Nabi bersabda: ‘bersabarlah’.” Orang buta itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak memiliki penuntun yang dapat membantuku dan itu sungguh menyulitkanku.” Lalu Nabi bersabda: “Pergilah ke tempat wudhu’, berwudhu’lah kemudian sholatlah dua rakaat, kemudian berdoalah” …yaitu doa ini.

Utsman bin Hunaif melanjutkan: “Demi Allah! Kami tidaklah berpisah dan berbicara lama sampai dia (orang buta tadi) datang kepada kami dalam keadaan seolah-olah dia tidak pernah kehilangan penglihatan sebelumnya.” 

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Thabarani dalam Mu’jam al-Shogheir, hadis no: 509 (Kitab orang yang namanya Thahir, Bab datang ke tempat wudhu, lalu berwudhu’, kemudian solat dua rakaat…) dan beliau mensahihkannya.

Ada sebahagian ahli hadis yang mendha’ifkan riwayat ini, namun saya lebih cenderung kepada penilaian Imam al-Thabarani. Ini kerana beliau sebagai imam yang meriwayatkan hadis ini lebih mengetahui jalan-jalan periwayatannya berbanding yang lain.

Dalam hadis ini terdapat dalil boleh berdoa dengan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam selepas kewafatan baginda. Ini kerana peristiwa di atas berlaku pada zaman Khalifah Utsman bin ‘Affan, jelas selepas zaman kewafatan Rasulullah.

 

Beberapa Perhatian

Meskipun dibolehkan bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam berdoa, hendaklah diperhatikan beberapa perkara:

Pertama: Manusia yang secara pasti memiliki kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun manusia lain, meskipun dia dipandang mulia, soleh dan berilmu, itu hanyalah pandangan di sisi sebahagian manusia. Adapun di sisi Allah, kita tidak tahu apakah kedudukannya yang sebenar. Ringkasnya, kemuliaan Rasulullah diiktiraf oleh wahyu sementara kemuliaan manusia tidak diiktiraf oleh wahyu. Oleh itu kebolehan bertawassul kepada kemuliaan manusia ketika berdoa hanyalah khusus kepada Rasulullah dan bukan kepada manusia lain seperti sekian-sekian tuan guru, syaikh dan ulama’.

Kedua: Baik sebelum, semasa dan selepas berdoa, hendaklah tetap berkeyakinan sepenuhnya bahawa yang berpengaruh memakbulkan doa tersebut ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukannya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah hanyalah kerana kecintaan dan kehormatan kita kepada baginda serta kerana mengikuti sunnah baginda yang mengajar doa tersebut kepada orang buta sebagaimana hadis Utsman bin Hunaif di atas. Jika orang yang berdoa 99% berkeyakinan bahawa Allah yang memakbulkan doa dan hanya 1% dari hatinya yang beranggapan Rasulullah turut memberi pengaruh dalam kemakbulan doa tersebut, dia sudah mensyirikkan Allah.

Ketiga: Berdoa dengan cara ini tidak dilakukan secara lazim. Ini kerana hampir semua doa yang diajarkan melalui al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih ialah berdoa secara terus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala atau melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Asma al-Husna) tanpa bertawassul kepada kemuliaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.