Soalan:

Baru-baru ini kami dianugerahkan seorang cahaya mata. Ramai rakan-rakan yang dapat ziarah dan memuji-muji betapa comelnya bayi kami. Akan tetapi ibu seperti marah-marah mula ramai yang memuji, katanya bimbang bayi terkena penyakit al-‘Ain. Apakah itu penyakit al-‘Ain?

 

Jawapan:

Penyakit al-‘Ain adalah salah satu bentuk penyakit ghaib yang berlaku kerana unsur hasad atau dengki. Ia boleh disebabkan oleh jin atau manusia atau kedua-duanya. Contoh pertama, apabila seorang yang bersih hatinya memuji bayi, jin menjadi dengki lalu mengganggu bayi dengan sesuatu penyakit. Contoh kedua, apabila seseorang yang kotor hatinya melihat sesuatu yang indah umpama bayi yang comel, dia mengharapkan berlaku keburukan sehingga akhirnya benar-benar berlaku keburukan. Contoh ketiga, orang yang memelihara jin akan menghantar jinnya mengganggu sesiapa yang dia merasa dengki ketika melihatnya, umpama bayi yang comel. 

Penyakit al-‘Ain boleh berlaku kepada sesiapa jua tanpa terhad kepada bayi. Ia boleh berlaku kepada wanita yang cantik, lelaki yang tampan, keluarga yang duduk di rumah mewah dan tuan punya kereta yang canggih. Asalkan seseorang itu memiliki sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa dengki, maka penyakit al-‘Ain boleh berlaku.

Tidak ada ciri khusus penyakit al-‘Ain. Ia boleh jadi penyakit fizikal seperti lemah badan, demam dan pengsan. Ia boleh jadi penyakit batin seperti imaginasi bukan-bukan, histeria dan mengamuk. Ia boleh jadi kedua-dua sekali, fizikal dan batin.

Satu contoh penyakit al-‘Ain yang berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah seperti berikut: Abu Umamah menerangkan, ayahku –Sahal bin Hunaif mandi di sungai, dia melepaskan jubah yang dipakai lalu dilihat oleh ‘Amir bin Rabi’ah melihatnya.Sahal adalah seorang pemuda yang putih dan cantik kulitnya (sehingga) ‘Amir bin Rabi’ah berkata kepada Sahal: “Aku tidak pernah melihat kulit yang secantik ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun.” 

Kemudian Sahal diserang penyakit dan penyakit tersebut bertambah parah. Seseorang pergi menemui Rasulullah dan mengkhabarkan kepada baginda: “Sesungguhnya Sahal sakit, dia tidak dapat datang bersama anda, Wahai Rasulullah!”

Rasulullah lalu menziarahinya, lalu Sahal mengkhabarkan tentang apa yang telah dilakukan oleh ‘Amir terhadapnya. Rasulullah bertanya: “Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati? Sesungguhnya penyakit al-‘Ain itu benar. Berwudhulah kamu untuknya!”

‘Amir lantas berwudhu untuk (menyembuhkan) Sahal. Setelah itu Sahal dan Rasulullah berangkat dengan keadaan sehat. [Muwattha’ Imam Malik, no: 1471]


Cara Merawat Penyakit al-‘Ain

Penyakit al-‘Ain adalah benar, namun yakinilah bahawa ia tetap dibawah taqdir, kehendak dan izin Allah. Ia tidak boleh mendahului taqdir, sebagaimana jelas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Penyakit al-‘Ain memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain. [Shahih Muslim, no: 4058/2188] Oleh itu kewujudan penyakit al-‘Ain bukanlah bertujuan untuk menjadikan kita fobia kepada semua bentuk pujian atau daripada memiliki sesuatu yang indah, tetapi bertujuan untuk mengeratkan hubungan, keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah.

Bagi mendinding diri daripada penyakit al-‘Ain, hendaklah lazim surah al-Mu’awwizatani, yakni dua surah terakhir di dalam al-Qur’an. Inilah amalan Rasulullah sendiri sebagaimana Abu Sa’id al-Khudri: Adalah Rasulullah berta‘awuz (berdoa meminta perlindungan Allah) daripada ‘ain Jin, kemudian ‘ain manusia. Setelah turunnya surah al-Mu‘awwizatani, baginda mengambil (mengamalkan) keduanya dan meninggalkan yang selain dari itu. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 5399/5509]

Apabila ada orang memberi apa-apa pujian, maka ucapkanlah “Masya-Allah, la quwwata illa bilLah” yang bermaksud “Semuanya ada kehendak Allah, tidak ada kekuatan (atau kemampuan) kecuali dengan izin Allah”. Melalui ucapan ini, semua kebaikan, keindahan, kemewahan dan kecanggihan disandarkan serta dikembalikan kepada Allah. Inilah ucapan pemilik kebun yang dirakamkan oleh al-Qur’an. Sila rujuk surah al-Kahf, ayat 39. 

Bagi orang yang memuji pula, dibolehkan memuji secara sederhana. Namun yang penting pujian itu diikuti dengan doa agar Allah memberkatinya. Contoh: “Comelnya anak kamu ini, semoga diberkatikan Allah”. Contoh lain: “Wah! Kamu memang pandai. Moga ilmu dan kepandaian kamu diberkati Allah”. Ini berdasarkan hadis berikut: Apabila seseorang kamu melihat terhadap dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang mengkagumkannya, maka doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya al-‘Ain adalah sesuatu yang benar. [Musnad Abu Ya’la, no: 7195 dengan sanad yang baik] Ini sebagaimana juga hadis Sahal bin Hunaif di atas: Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati?

Apabila orang yang memuji terlupa mendoakan keberkatan dan subjek yang dipujinya kemudian ditimpa penyakit al-‘Ain, kaedah rawatan yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah pemuji mengambil wudhu’ dengan air yang terkandung dalam sebuah bekas besar dengan membiarkan sisa wudhu’nya jatuh kembali dalam bekas tersebut. Kemudian memandikan mangsa yang ditimpa penyakit al-‘Ain dengan sisa air yang tertinggal dalam bekas yang sama itu.

A’isyah – isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam – menerangkan: Orang yang menimbulkan penyakit al-‘Ain diperintahkan untuk berwudhu, kemudian orang yang menderita penyakit al-‘Ain diperintahkan untuk mandi dengan sisa air wudhunya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3382/3880]

Apabila seseorang itu diyakini ditimpa penyakit al-‘Ain sementara tidak diketahui siapakah penyebabnya, maka hendaklah diubati dengan cara ruqyah (jampi). Ruqyah yang terbaik ialah surah al-Mu’awwizatani, yakni dua surah terakhir di dalam al-Qur’an. Melalui dua surah ini kita memohon perlindungan Allah daripada pelbagai gangguan dan salah satu daripadanya merujuk kepada asal-usul penyakit al-‘Ain itu sendiri: Serta dari kejahatan pendengki apabila dia melakukan dengkinya. [al-Falaq 113:05]

Bacalah dengan penuh kefahaman dan keyakinan, kemudian hembus ke kedua telapak tangan dan sapu ke seluruh badan. Jika tidak dapat baca atau sapu, mintalah ahli keluarga atau sahabat untuk melakukannya.


Nasihat Penting

Apabila melakukan rawatan penyakit al-‘Ain, keyakinan hendaklah kepada Allah dan bukannya kepada jampi-jampian yang dibaca atau orang yang merawat. Selain itu pastikan kaedah rawatan diketahui dengan jelas kerana kita tidak mahu satu penyakit yang parah dirawat dengan kaedah yang lebih parah seperti syirik, sihir dan campur tangan jin. Perawat yang mashur bukanlah hujah bahawa kaedahnya bersih daripada syirik, sihir dan campur tangan jin. Terbaik ialah diri sendiri yang merawat dengan surah al-Mu’awwizatani.