Soala:

Seorang rakan mencadangkan saya membawa anak-anak saya berjumpa dengan seorang “arif” yang dapat meramalkan masa depan anak-anak. Orang arif itu depan meramalkan keputusan peperiksaan, masuk universiti di mana dan kerjaya apa. Apakah patut saya mengikuti cadangan ini?

Jawapan:

Cadangan berjumpa orang “arif” tersebut sama seperti berjumpa ustaz, ustazah, bomoh, dukun, pawang, penilik nasib dan pakar “rahsia tarikh lahir”. Gelaran mereka mungkin berbeza, namun helah mereka tetap sama iaitu mendakwa mengetahui ilmu ghaib tentang masa depan.

Ketahuilah bahawa tidak ada yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berfirman: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja. [al-An’aam 6:59]

Malah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak mengetahui ilmu ghaib. Baginda tidak dapat meramalkan sama ada umat Islam akan menang atau kalah dalam Perang Badar dan Perang Uhud, tidak dapat meramalkan sekian-sekian orang akan memeluk Islam pada satu masa nanti dan tidak dapat menjangka usaha dakwahnya diterima baik atau diburuk-burukkan oleh masyarakat. Perhatikan ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.” [al-A’raaf 7:188]

Adapun beberapa hadis baginda yang menerangkan perkara-perkara yang akan berlaku pada akhir zaman, semua itu adalah daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah kepada baginda: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya).  [al-Jin 72:26-27]

Oleh itu sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, dia seorang pendusta. Lebih dari itu dia sebenarnya cuba menjadi sekutu bagi Allah dengan meletakkan dirinya sejajar dengan ilmu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang kita daripada mengunjungi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Seorang sahabat, Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” Rasulullah menjawab: “Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” [Shahih Muslim, no: 4133/537]

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda bersabda: Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam. [Shahih Muslim, no: 4137/2230] Perhatikan semula hadis di atas, Rasulullah tetap melarang kita mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib atau bertanya sesuatu kepadanya sekalipun kita tidak mempercayai apa yang dikatakan olehnya. Terdapat dua sebab di sebalik larangan ini:

  1. Apabila seorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui hal ghaib. Sepatutnya seorang muslim menolak orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan tidak mengunjunginya kecuali untuk memberi nasihat akan kesalahan tindak tanduknya.
  2. Sekalipun pengunjung pada awalnya tidak mempercayai khabar yang diberikan oleh orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, dia kemudian akan mempercayai orang tersebut jika khabar yang diberikannya – secara kebetulan – menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku. Ini akhirnya akan mengakibatkan pengunjung membenarkan apa yang dikhabarkan oleh orang tersebut.

Akhir sekali, jika seseorang itu membenarkan khabar orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, ia membawa natijah yang amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran yang keras dalam hal ini:

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam). [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3405/3904]

Ini kerana membenarkan khabar orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib bererti mempercayai serta menyakini adanya seseorang yang ilmunya menyamai ilmu Allah. Ini tentu saja satu keyakinan yang syirik.

Oleh itu sikap yang betul bukan sahaja tidak mengikuti cadangan rakan untuk berjumpa orang “arif” tersebut, akan tetapi menasihati rakan agar tidak lagi berjumpa dengannya. Malah kesalahan berat ini hendaklah disebar-sebarkan kepada rakan-rakan yang lain kerana ini merupakan kepercayaan sebahagian daripada umat Islam. Ada yang berjumpa bomoh untuk mencari barang yang hilang, bertanya ustazah jodohnya bila dan siapa, bertanya ustaz apakah suaminya akan nikah lagi atau tidak dan bertanya pakar motivasi tentang rahsia tarikh lahir anaknya. Semua ini adalah kesalahan berat yang boleh membawa kepada syirik.