Soalan:

Anak sulung kami akan memasuki darjah satu pada tahun hadapan. Buat masa ini ada beberapa sekolah yang sedang kami pertimbangkan. Agak sukar untuk kami membuat keputusan memilih sekolah yang paling sesuai. Saya terfikir untuk melaksanakan solat istikharah. Sebelum ini kami pernah beberapa kali melaksanakan solat istikharah, namun kali ini kami terfikir apakah cara solat istikharah yang ditunjukkan oleh sunnah yang sahih? Adakah ia berbeza dengan kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat?

 

Jawapan:

Ini adalah soalan yang baik kerana apa yang menjadi kebiasaan masyarakat tidak semestinya bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Saya mulakan penjelasan ini dengan mengemukakan hadis sahih sebagai dalil pensyari’atan solat istikharah.

Jabir bin Abdullah berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengajarkan kami  istikharah dalam setiap perkara, sebagaimana baginda mengajarkan surah dari al-Qur'an. Baginda bersabda: “Jika salah seorang dari kalian menginginkan sesuatu maka hendaklah dia mendirikan solat dua rakaat, kemudian berdoa (yang maksudnya):

Ya Allah! Aku memohon petunjuk-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon ketentuan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kepada-Mu akan limpah kurnia-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.

Ya Allah! Seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan urusan tersebut) adalah baik bagiku demi agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, tentukanlah ia bagiku.

Dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini adalah buruk bagiku demi agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah ia daripadaku dan  jauhkanlah aku daripadanya serta tentukanlah apa jua kebaikan untukku kemudian redakanlah aku dengannya.”

Demikianlah hadis yang menjadi dalil pensyari’atan solat dan doa istikharah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 5903/6382 (Kitab doa-doa, Bab berdoa membuat pilihan). Berdasarkan hadis di atas, kita dapat mempelajari beberapa perkara yang penting:

Pertama: Solat dan doa istikharah hendaklah menjadi kelaziman kita dalam pelbagai aktiviti harian. Jangan bataskannya kepada beberapa suasana apabila menghadapi satu dua urusan yang penting sahaja. Ini berdasarkan permulaan hadis di atas: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengajarkan kami (solat) istikharah dalam setiap perkara…

Kedua: Perhatikan sepenuhnya sabda Rasulullah di permulaan hadis di atas: “Jika salah seorang dari kalian menginginkan sesuatu…”, bererti solat istikharah dilaksanakan apabila seseorang itu telah membuat pilihannya. Rasulullah tidak bersabda umpama: “Jika salah seorang dari kalian ragu di antara dua perkara…” atau “Jika salah seorang dari kalian tidak tahu membuat pilihan yang tepat…”.

Oleh itu cara yang benar bagi orang yang menghadapi dua atau lebih pilihan ialah terlebih dahulu membuat satu pilihan yang diyakininya adalah terbaik, kemudian melaksanakan solat dua rakaat diikuti dengan doa istikarah. Melalui doa tersebut, orang itu memohon kepada Allah agar keputusannya itu adalah yang terbaik bagi agama, kehidupan dan kesudahan, baik dalam masa terdekat atau masa akan datang.

Perkara ini diperkuatkan lagi oleh lafaz doa: “Ya Allah! Seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan urusan tersebut) adalah baik bagiku…”. Rasulullah tidak mengajar kita berdoa umpama: “Ya Allah! Seandainya Engkau mengetahui urusan manakah yang lebih baik (sebutkan kedua-dua urusan tersebut) bagiku…”

Ketiga: Sebelum berdoa, hendaklah dimulakan dengan solat sunat dua rakaat. Di sini ada beberapa perincian.

  1. Jika seseorang itu sudah membuat pilihan dan kebetulan pada saat itu terdapat solat sunat yang akan didirikannya, seperti solat sunat Fajar, solat Dhuha, solat tahiyatul masjid, qabliyah Isyak atau qiamulail, maka dia boleh membaca doa istikharah sahaja selepas solat sunat tersebut.
  2. Jika seseorang itu sudah membuat pilihan dan pada saat itu tidak terdapat solat sunat yang akan didirikannya, maka dia mendirikan solat sunat mutlak dua rakaat dan membaca doa istikarah sejurus selepas memberi salam. Hadis di atas hanya menyebut solat dua rakaat tanpa menamakannya secara khusus sebagai solat istikharah. Di samping itu, tidak ada lafaz niat atau bacaan surah-surah tertentu yang disyari’atkan.
  3. Jika seseorang itu sudah membuat pilihan namun keadaan tidak mengizinkan dia solat, seperti sedang haid atau sedang memandu, maka dibolehkan baginya membaca doa istikharah sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadis lain: Dan apabila aku memerintahkan kalian dengan satu perintah, maka laksanakanlah ia semampu mungkin. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288]

Keempat: Setelah solat dua rakaat dan berdoa, teruskan dengan apa yang sudah dipilih dengan hati yang yakin, tenang lagi bertawakkal kepada Allah. Jika ia memang baik, Allah akan menentukan pilihan tersebut benar-benar menjadi. Jika ia tidak baik, Allah akan memberikan pelbagai halangan berat yang menggagalkan pilihan tersebut. Ini sebagaimana lafaz doa istikharah tersebut. Adapun menunggu mimpi atau mencari-cari petanda lain, semua itu adalah kepercayaan khurafat masyarakat kita.