Soalan:

Apabila saya solat berseorangan, bayi saya yang berumur 2 bulan ini selalu menangis dan hanya akan berhenti jika saya mendukungnya. Saya terfikir, bagaimana dengan pergerakan-pergerakan mendukung bayi dan jika dalam lampin bayi saya ini ada najis, apakah semua ini akan menyebabkan solat saya menjadi batal?

 

Jawapan:

Dalam sebuah hadis diterangkan: Saya melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengimami solat orang-orang sambil mendukung Umamah binti Abu al-'Ash, bayi Zainab binti Muhammad di atas bahu baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkan bayi itu dan apabila beliau berdiri dari sujud maka mendukungnya kembali. [Shahih Muslim, no: 845/543]

Berdasarkan hadis ini, dapat diambil pelajaran bahawa pergerakan-pergerakan kerana mendukung bayi tidak membatalkan solat. Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya Hasan dan Husein telah memanjat di belakang baginda dan bermain-main, menjadikan baginda sebagai kenderaan tunggangan. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1129/1141]

Berdasarkan kedua-dua hadis ini, baginda tidak mempersoalkan sama ada anak-anak kecil tersebut bersih dari najis atau tidak. Baginda meneruskan solat sebagai imam kepada orang ramai, menjadi contoh bahawa perkara itu dibolehkan tanpa perlu memberat-beratkan diri dengan persoalan suci atau tidak dari najis. Oleh itu boleh saja mendukung bayi ketika solat tanpa memberat-beratkan diri memikirkan sama ada mereka bersih dari najis atau tidak. Berbeza jika lampin terasa penuh, kuat berbau najis atau kelihatan najis terkeluar dari sisinya, maka hendaklah membersihkan najis tersebut terlebih dahulu kemudian solat sambil mendukung bayi.