Soalan:

Bolehkah saya bertanya tentang ibu saya dalam ruangan Pa&Ma ini? Ibu saya sudah sekian lama menderita sakit dan pelbagai cara berubat telah diusahakan tetapi tidak membuahkan hasil. Beliau kerap bertanya, bolehkah beliau berdoa kepada Allah agar segera diambil nyawanya? Apakah yang patut saya jawab?

 

Jawapan:

Tentu boleh.Ibubapa muda sekarang ini tersepit di antara dua tanggungjawab besar. Pertama menjaga anak-anak yang masih kecil, kedua menjaga ibubapa yang sudah tua. Ini ditambah pula dengan tanggungjawab lain seperti kerjaya, belajar dan memperbaiki diri sebagai seorang muslim. Oleh itu boleh saya bertanya tentang ibubapa yang sudah tua kerana ia termasuk tanggungjawab Papa & Mama masa kini.

Selain itu, bertanya menunjukkan keprihatinan anda terhadap ibubapa dan ini adalah satu keutamaan yang amat mulia. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” [Shahih Muslim, no: 2551]

“…kemudian dia tidak memasuki syurga” dalam hadis di atas merujuk kepada anak-anak yang leka dengan keluarga, kerjaya, perniagaan dan meningkatkan ekonomi sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab menjaga, merawat dan berbuat baik kepada ibubapa sendiri yang sudah tua. Oleh itu beruntunglah ibubapa muda masa kini yang tidak saja disibukkan dengan urusan anak dan kerjaya, tetapi juga sibuk menguruskan ibubapa mereka yang sudah tua di kampung.

Merujuk kepada soalan di atas, secara umumnya kita dilarang daripada mendoakan kematian. Perhatikan hadis berikut daripada Qais bin Abi Hazim:

Kami datang kepada Khabbab bin al-Arat (seorang sahabat Nabi) untuk menziarahinya, pada perutnya terdapat tujuh kesan (bekas rawatan dengan besi panas), lalu beliau berkata: “Seandainya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melarang kami daripada mendoakan kematian, nescaya aku mendoakannya. Sungguh telah sekian lama sakitku ini.” [Musnad Ahmad, no: 20157/21069]

Dalam hadis ini, Khabbab telah lama menderita kesakitan dan ingin mendoakan kematian bagi dirinya. Namun dia tidak melakukannya kerana Rasulullah telah melarang daripada hal tersebut. Hadis ini menjadi dalil bahawa dilarang mendoakan atau mengharapkan kematian.

Pengecualian diberikan kepada para Nabi sahaja, sebagaimana hadis berikut. A’isyah radhiallahu 'anha berkata:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata sementara baginda pada ketika itu dalam keadaan sihat: “Tidaklah diwafatkan seorang Nabi sehinggalah diperlihatkan kepadanya tempatnya di dalam syurga, kemudian dia dipersilakan untuk memilih (antara hidup atau mati).”

Ketika (malaikat pencabut nyawa) datang kepada baginda sementara kepalanya berada di pangkuanku, baginda tidak sedarkan diri untuk beberapa saat. Tak lama kemudian baginda sedar kembali dan matanya memandang ke arah bumbung. Kemudian baginda berdoa: “Ya Allah, pertemukanlah aku dengan kekasihku, Allah Yang Maha Tinggi!”

Aku (A’isyah) berkata: “Dengan itu (aku tahu baginda) tidak memilih (untuk hidup lagi bersama) kami.” [Shahih al-Bukhari, no: 5872/6348]

Hadis di atas menerangkan bahawa para Nabi diberi pilihan untuk terus hidup atau diwafatkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memilih untuk diwafatkan dan ini adalah sesuatu yang dibolehkan kepada baginda. Ia tidak dibolehkan untuk kita yang bukan berpangkat Nabi mahupun Rasul.

Pengecualian yang lain, boleh mendoakan atau mengharapkan mati demi menjaga diri dan agama daripada fitnah yang dahsyat. Ini berdasarkan kata-kata Maryam ‘alahissalam, ibu kepada Nabi ‘Isa ‘alahissalam sebagaimana yang tercatat di dalam al-Qur’an:

(Ketika Maryam hendak bersalin) maka sakit itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon kurma, dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Maryam berkata sedemikian kerana beliau ialah seorang mukminat yang tidak berkahwin manakala kelahiran Nabi ‘Isa pasti akan menyebabkan orang ramai menuduhnya telah berzina. Ini sudah tentu satu fitnah yang besar sehingga beliau terpaksa mengharapkan kematian demi memelihara dirinya dan agamanya.

Oleh itu, selain dua pengecualian di atas, kita dilarang daripada mendoakan atau mengharapkan kematian. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hikmahnya seperti berikut:

Janganlah salah seorang daripada kalian mengharapkan kematian (kerana) jika dia seorang yang berbuat baik, maka barangkali akan bertambah kebaikannya. Jika dia seorang yang berbuat jahat, maka barangkali dia akan berubah. [Shahih al-Bukhari, no: 6694/7235]

Jika tetap hendak berdoa, maka hadis berikut menjadi panduan:

Janganlah salah seorang daripada kalian mengharapkan kematian disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Jika tetap hendak mengharapkan kematian, maka berdoalah: “Ya Allah! Hidupkanlah aku selagi mana kehidupan itu lebih baik untukku dan matikanlah aku apabila kematian itu lebih baik untukku.” [Shahih al-Bukhari, no: 5874/6351]