Soalan:

Anak sulong saya yang berumur 11 tahun terjatuh bermain basikal sehingga menyebabkan lutut dan sikunya berdarah. Ia berlaku pada waktu lewat petang dan sehingga waktu Maghrib, masih ada darah yang keluar meskipun sedikit. Apabila masuk waktu Isyak, darah sudahpun kering tetapi masih ada kesan-kesan luka. Beberapa hari kemudian, kesan luka itu kekuningan dan saya tahu itu adalah nanah. Kini semua telah sembuh seperti sedia kala, alhamdulillah. Persoalan saya, ketika berlaku pendarahan dan nanah, bolehkan anak saya itu meneruskan solatnya lima kali sehari?

 

Jawapan:

Pandangan yang masyur menyatakan darah dan nanah adalah najis sehingga tidak boleh dibawa bersolat. Mereka berdalilkan kepada ayat 145 surah al-An’aam: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor [al-An’aam 6:145]

Mereka juga mengqiyaskannya kepada darah haid di mana Allah telah berfirman: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah kotoran.” Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari (dari membuat hubungan seks dengan )wanita di waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. [al-Baqarah 2:222]

Namun apabila disemak semula, didapati penggunaan ayat-ayat di atas tidaklah tepat sebagai dalil kenajisan darah. Jika disemak semula, ayat 145 surah al-An’aam sebenarnya hanya menerangkan apa yang haram dimakan kerana kenajisannya. Sesuatu yang najis untuk dimakan tidak semestinya bererti najis untuk dibawa ketika melaksanakan solat. Ia adalah dua perkara yang berbeza.

Demikian juga bagi darah haid, ia tidaklah sama dengan darah kerana luka. Ciri-ciri darah haid adalah berbeza dengan ciri-ciri darah yang keluar kerana luka. Bahkan darah luka lebih mirip dengan darah istihadhah di mana wanita yang mengalaminya tetap dibolehkan melaksanakan solat. Oleh itu hukum kenajisan darah kembali kepada hukum asal bahawa setiap sesuatu adalah suci sehinggalah ada dalil yang menjelaskan kenajisannya atau melarang pembawaannya dalam solat.

Selain itu, dalam sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, kita dapati baginda bersama para sahabat tetap melaksanakan solat meskipun mereka berdarah kerana kesan luka-luka peperangan. Sebagai contoh, perhatikan hadis berikut:

Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh, dia berkata: Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam misi perang Dzat al-Riqa’. (Dalam peperangan itu), seorang lelaki (muslimin) telah menyerang isteri lelaki kaum musyrikin (kerana wanita itu turut berperang). Maka suami itu bersumpah bahawa dia tidak akan berhenti (untuk membalas dendam) sehinggalah dapat menumpahkan darah para sahabat Muhammad.

Maka dia keluar mengikuti jejak Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam  turun di satu tempat persinggahan (untuk bermalam), lalu bertanya: “Siapakah lelaki yang akan mengawasi kami?” Seorang lelaki dari kalangan Muhajirin dan seorang lelaki dari kalangan Anshar segera menyahut seruan Nabi itu. Baginda berpesan: “Berjagalah di mulut (jalan masuk) bukit ini.”

Jabir melanjutkan: Maka tatkala dua lelaki itu keluar (dan sampai) ke mulut bukit, lelaki Muhajirin berbaring (sehingga tertidur) sementara lelaki Anshar bangun melaksanakan solat. Maka datanglah lelaki musyrikin tadi. Tatkala dia melihat ciri-ciri lelaki Anshar itu, dia tahu bahawa lelaki itu adalah pengawas bagi kaumnya (pasukan muslimin). Maka dia memanahnya dan mengena lelaki Anshar tersebut, tetapi dia menariknya keluar. Lelaki musyrikin itu terus memanah sehingga tiga anak panah sementara lelaki Anshar itu pula tetap rukuk dan sujud.

Kemudian bangunlah sahabat Muhajirin yang berbaring tadi. Tatkala lelaki musyrikin mengetahui lelaki Muhajirin itu akan meminta pertolongan pasukannya, dia melarikan diri. Apabila lelaki Muhajirin melihat sahabat Ansharnya yang berlumuran darah, dia berkata: “Subhanallah! Kenapa tidak membangunkan aku apabila terkena panahan yang pertama?” Lelaki Anshar itu menjawab: “Aku saat itu sedang membaca surah (di dalam solat) dan tidaklah aku suka untuk memotongnya (dengan memberhentikan solat dan mengejutkan kamu)”. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 170/198]

Dalam hadis di atas, sahabat yang dipanah tiga kali tetap meneruskan solatnya. Darah yang mengalir keluar tidak menjadi sebab untuk beliau membatalkan solatnya. Peristiwa ini selepas itu tentu saja diketahui oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan baginda tidak menyuruhnya untuk mengulangi solat. Hadis ini menjadi dalil bahawa darah, baik yang mengalir atau tidak, bukanlah penghalang solat mahupun yang membatalkannya.

Adapun nanah, maka para ulama’ meletakkannya dalam kategori yang sama dengan darah. Ini kerana nanah keluar selepas pendarahan atau keluar bersama darah. Maka hukum nanah sama seperti darah di mana pendapat yang masyhur menyatakan ia adalah najis yang tidak boleh dibawa bersama solat.

Namun, sebagaimana yang dijelaskan di atas, darah bukanlah najis. Oleh itu, nanah juga bukanlah najis. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat yang meneruskan solat meskipun terluka akibat peperangan pasti mengalami pendarahan dan nanah. Kita tidak mengetahui dalil sahih yang menyatakan nanah adalah penghalang atau pembatal solat. Oleh itu boleh solat meskipun anggota dan pakaian ada darah dan nanah, baik yang sedikit atau banyak, baik yang kering atau mengalir.