Kita meneruskan siri kajian mengenali makhluk-makhluk ghaib untuk mengenal pasti siapakah yang mampu dan lazim mengganggu manusia sehingga menyebabkan penyakit, rasukan dan histeria. Tujuan pengenalan bukanlah untuk bersahabat dengan makhluk ghaib pengganggu tersebut, tetapi mengenali ciri-cirinya dan cara ia mengganggu agar mudah untuk dicegah dan dirawat.

Jika sebelum ini kita telah berkenalan dengan ruh dan malaikat, kini kita berkenalan dengan jin pula. Dari aspek bahasa, jin bermaksud sesuatu yang tersembunyi dan terhalang. Dari perkataan ini lahir perkataan janin, iaitu embrio yang tersembunyi dalam rahim seorang ibu. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut puasa sebagai junnah dari neraka, bererti orang yang lazim berpuasa di akhirat kelak amal-amal puasanya akan menjadi penghalang baginya memasuki neraka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 695/764]

waterpuddle

Jin Dalam al-Qur’an Dan Hadis

Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan tentang kewujudan jin. Salah satu ayat yang masyhur tentang jin dalam al-Qur’an adalah: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. [al-Zariat 51:56]. Bahkan dalam al-Qur’an terdapat sebuah surah khusus yang dinamakan surah al-Jin. Ia dimulai dengan firman Allah:

Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya sekumpulan jin telah mendengarkan (al-Qur'an) lalu mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar al-Qur'an yang menakjubkan; (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorangpun dengan Tuhan kami.” [al-Jin 72:1-2]

Sayang sekali segelintir umat Islam yang menganggap diri mereka “moden”, “saintifik” dan “hanya merujuk kepada al-Qur’an” menolak kewujudkan makhluk jin. Alasan mereka, kehadiran jin tidak dapat dikesan melalui mana-mana deria manusia mahupun oleh alat-alat pengesan yang canggih. Oleh itu mereka mendakwa, jin yang disebut-sebut dalam al-Qur’an bukanlah makhluk akan tetapi satu sifat buruk yang ada pada manusia.

Dakwaan atau kekeliruan mereka ini dapat ditolak dengan dua hujah. Pertama, jika makhluk jin dapat dikesan oleh deria atau alat pengesan, maka ia tidaklah dinamakan jin! Ini kerana jin bermaksud sesuatu yang tersembunyi dan terhalang, maka ia sememangnya tidak dapat dikesan oleh deria manusia atau mana-mana alat yang canggih. Bahkan sebaliknya, ia dapat melihat kita sementara kita tidak dapat melihatnya. Perhatikan firman Allah ini:  Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. [al-A’raaf 7:27]

Kedua, mendakwa jin sebenarnya adalah sifat jahat yang ada dalam manusia bertentangan dengan ayat-ayat al-Qur’an. Sebagai contoh seandainya jin adalah sifat jahat, ia tidak akan beribadah kepada Allah sehingga bertentangan dengan ayat 56 surah al-Zariat di atas. Bahkan apabila jin mendengar al-Qur’an dibacakan, ia akan membenci dan menolaknya, bukan menyukai dan beriman kepadanya sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 1-2 surah al-Jin di atas.

Oleh itu yang benar, jin wujud sebagai satu makhluk yang tersendiri. Di antara mereka ada yang Muslim, ada yang bukan Islam dan ada yang mengajak manusia menjauhi Allah, menyesatkan dari jalan-Nya dan derhaka kepada-Nya. Golongan jin yang terakhir inilah yang disebut sebagai syaitan. Perkara ini akan dijelaskan dalam siri akan datang insya-Allah.

 

Asal Usul Jin

Diulangi satu manhaj (metodologi) atau disiplin penting apabila berbicara urusan agama, iaitu jangan menerima apa-apa hukum, pengajaran, pandangan, petua atau cerita melainkan ia memiliki rujukan kepada al-Qur’an dan hadis. Tidak cukup sekadar hadis, akan tetapi hendaklah daripada hadis yang diketahui sumbernya dan dinyatakan darjat kekuatannya. Ini kerana pada masa kini banyak tersebar hukum, pengajaran, pandangan, petua dan cerita agama yang tidak memiliki asal usul, bahkan bertentangan dengan ajaran murni al-Qur’an dan hadis yang sahih.

Tidak ketinggalan ialah apa yang berkaitan dengan jin. Banyak cerita tentang asal usulnya, sifat dan ciri-cirinya, padahal semua itu tidak terdapat dalam al-Qur’an mahupun hadis yang sahih. Jika sesuatu perkara tentang jin adalah penting untuk agama dan kehidupan dunia serta akhirat kita, Allah akan menjelaskannya di dalam al-Qur’an atau melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Jika Allah tidak menjelaskannya, bererti ia tidak penting untuk diketahui. Bertanya dan mencari-cari maklumat lanjut tentangnya adalah satu kesia-siaan.

Tentang asal usul jin, tidak banyak yang Allah jelaskan melainkan sekadar ia dicipta daripada api. Allah berfirman: Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. [al-Hijr 15:27] Dalam sebuah ayat yang lain: Dan Dia menciptakan jin dari nyalaan api. [al-Rahman 55:15] Rasulullah juga telah bersabda: Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada api yang menyala-nyala dan Adam diciptakan daripada sesuatu yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian. [Shahih Muslim, no: 5314/2996]

Selain dicipta dari api, jin juga telah dicipta sebelum manusia. Perhatikan semula ayat 27 surah al-Hijr: Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam)…

Jin juga memiliki zuriat keturunan, berdasarkan ayat berikut: Ia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan zuriatnya… [al-Kahf 18:50] Meskipun demikian, Allah tidak menerangkan bagaimana proses jin memperolehi zuriat.

Akhir sekali, jin juga mengalami kematian berdasarkan doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah: Aku berlindung dengan kekuasaan Allah yang tiada sembahan selain Dia, yang tidak pernah mati sedangkan jin dan manusia mati. [Shahih al-Bukhari, no: 6835/7383] Pun begitu, Allah dan Rasulullah tidak menerangkan tentang umur dan cara kematian makhluk jin. Maka ia adalah perkara-perkara yang tidak perlu ditanya atau dicari jawapannya.