Dara.com (Sept 2015)

Jika para pembaca masih ingat kolum bulan lepas (Beberapa Ciri Fizikal Jin) dan mencermati dalil-dalil al-Qur’an dan hadis yang dikemukakan, tentu akan menemui dua ciri istimewa makhluk jin. Pertama, jin boleh menculik manusia dan menyembunyikan mangsa culikan dari pandangan manusia lain meskipun di kawasan yang lapang. Dalam masyarakat kita, biasa disebut bahawa “Dia telah diculik oleh kaum bunian” di mana bunian itu adalah dari spesis jin.


Ini ada benarnya, berdasarkan hadis di mana Rasulullah pergi berdakwah dan membacakan al-Qur’an kepada beberapa jin sementara para sahabat tercari-cari baginda dan tidak jumpa. Padahal baginda bersama kumpulan jin itu ada berhampiran saja. Berdasarkan kisah sahih tersebut, terbukti jin boleh menculik manusia dan menyembunyikan mangsa culikan dari pandangan manusia.


Akan tetapi ini tidaklah bererti bahawa dalam setiap kes kehilangan manusia, baik dewasa atau kanak-kanak, kita terus menuduh bahawa mereka telah diculik oleh jin. Secara purata, boleh dikatakan dalam seratus kes kehilangan, hanya satu yang benar-benar diculik oleh jin.


Jin Mampu Terbang Hingga Ke Angkasa
Kedua, jin mampu terbang bukan sahaja di ruang udara bumi akan tetapi lebih jauh sehingga ke langit terbawah. Ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan para jin yang mencuri dengar perbicaraan malaikat di langit terbawah akan dikejar atau direjam dengan api. Rejaman ini boleh kita nampak dari bumi dan biasa disebut sebagai “tahi bintang” (falling star).


Hendaklah diingatkan bahawa semua ini berlaku di ruang angkasa. Ada pendapat yang mengatakan petir di bumi merupakan rejaman api kepada jin. Pendapat ini salah kerana petir berlaku di ruang udara bumi dan bukannya ruang angkasa.


Jin Mampu Menyampaikan Berita
Sekali sekala Allah sengaja membiarkan terlepas jin-jin yang mencuri perbicaraan malaikat di langit sebagai ujian kepada manusia di bumi. Jin tersebut mencuri dengar dan mendapat maklumat perkara yang akan dilaksanakan oleh malaikat di bumi, lalu mereka (jin) mengkhabarkannya kepada tuan-tuan mereka yang terdiri daripada bomoh, pawang, tukang tilik nasib, ahli sihir dan sesiapa lain yang mendakwa mengetahui perkara ghaib yang akan datang.
A’isyah, isteri Rasulullah pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!”
Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.” [Shahih Muslim, no:4134/2228]
Oleh itu andai ditemui seseorang yang dapat menceritakan hal-hal ghaib, maka ketahuilah dia memelihara jin dan memperolehi cerita tersebut daripada jin. Akan tetapi ingat, dalam seratus perkara yang diceritakan, hanya satu yang benar.
Atas nota yang sama, jika ditemui seseorang yang dapat mengetahui hal-hal peribadi anda, maka ketahuilah bahawa orang itu memelihara jin dan jin peliharaannya itu telah berhubung dengan jin qarin anda dan bertanyakan hal-hal peribadi tersebut. Setiap orang memiliki jin pendamping yang disebut qarin. Perhatikan hadis berikut: “Tidak ada seorang jua dari kalian melainkan dia didampingi oleh qarin dari makhluk jin.” Para sahabat bertanya: “Engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ya, aku juga. Akan tetapi sesungguhnya Allah telah membantu aku sehingga dia masuk Islam dan tidak menghasutku melainkan dengan sesuatu yang baik.” [Shahih Muslim, no: 5034/2814]

Jin Mampu Bergerak Cepat
Di antara ciri istimewa jin ialah mereka mampu bergerak cepat. Tidak sekadar itu, mereka mampu mengangkat benda yang besar lagi berat sambil bergerak dengan cepat. al-Qur’an pernah mengemukakan kisah Nabi Sulaiman yang ingin memindahan singgahsana (throne) Ratu Balqis dari Yaman ke Palestin. Nabi Sulaiman bertanya kepada pembesar-pembesarnya, siapakah yang dapat melakukan tugasan tersebut.
Maka berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.” [al-Naml 27:39]


Jin Mampu Melakukan Pelbagai Kerja
Termasuk keistimewaan makhluk jin ialah mereka mampu melakukan pelbagai kerja besar dan kecil. Nabi Sulaiman adalah satu-satunya orang yang Allah kurniakan kekuasaan mengawal jin dan menjadikan mereka pekerjanya. Allah mengkhabarkan keistimewaan ini: Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di tempatnya. [Saba’34:13]
Walau bagaimanapun hendaklah diperingatkan bahawa kebolehan menggunakan khidmat jin untuk apa jua tujuan hanyalah khusus kepada Nabi Sulaiman. Ini adalah keistimewaan yang Allah kurniakan kepada kerajaan Nabi Sulaiman sahaja berdasarkan doa beliau: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.” [Shod 38:35]. Justeru ia hanya khusus bagi Nabi Sulaiman, tidak kepada sesiapa jua selepas beliau.


Bahkan tidak juga kepada Rasulullah. Pernah pada satu ketika sedang solat, Rasulullah menangkap jin yang datang mengganggunya. Baginda terfikir untuk mengikat jin tersebut, namun oleh kerana teringat kepada doa Nabi Sulaiman di atas, baginda melepaskannya [Shahih al-Bukhari, no: 3170/3423]
Oleh itu jika ditemui seseorang yang memelihara jin atau menggunakan khidmat jin, baik jin muslim atau selainnya, maka ketahuilah bahawa apa yang dilakukan itu bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah. Orang itu melakukan kesalahan besar dalam agama meskipun dia bergelar ustaz atau berpakaian seperti ustaz.