Dara.com (Okt 2015)

Makhluk jin juga memiliki jantina lelaki dan perempuan serta mereka juga memiliki zuriat. Dalilnya ialah ayat al-Qur’an berikut ini: Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06]

Dalam ayat di atas, Allah menyebut jin dari jantina lelaki. Ini memberi pengertian bahawa di sana terdapat juga jin dari jantina perempuan. Seandainya jin hanya satu jantina seluruhnya maka tidak perlu disebut jin lelaki. Memadai disebut jin sahaja secara umum.

Dalil lain ialah doa sebelum memasuki tandas. Anas bin Malik menceritakan bahawa apabila Rasulullah hendak memasuki tandas, baginda membaca doa: Allahumma inni a’uzubika minal khubutsi wal khabaits yang bermaksud Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada jin/syaitan lelaki dan jin/syaitan perempuan. [Shahih al-Bukhari, no: 139/142]

Jika perkataan jin merujuk kepada jin lelaki, maka perkataan jini (jiniyyah) merujuk kepada jin perempuan. Dalam sebuah hadis, sahabat Rasulullah yang masyhur bernama Umar bin al-Khattab pernah berjumpa dengan seorang pawang yang telah masuk Islam dan meninggalkan amalan jahiliyah tersebut, lalu bertanya: Khabarkan kepadaku perkara paling aneh yang pernah disampaikan kepada kamu oleh jini kamu? [Shahih al-Bukhari, no: 3577/3866], bermaksud jin perempuan peliharaan dia dahulu.

Adapun anak-anak atau zuriat keturunan jin, maka ia berdasarkan ayat berikut: Ia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan zuriatnya… [al-Kahf 18:50]

Meskipun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis menerangkan hakikat jin yang memiliki jantina lelaki dan perempuan serta zuriat, sumber-sumber wahyu yang suci lagi sahih ini tidak pula menerangkan tentang pernikahan, kehidupan rumahtangga, hubungan seks dan kelahiran mereka. Apa yang didiamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia tidak penting untuk kita mengetahui tentangnya.

Seks Antara Jin Dan Manusia

Ketika menerangkan nikmat bidadari-bidadari syurga kepada para penghuni syurga, Allah berfirman: Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. [al-Rahman 55:74] Perkataan tidak pernah disentuh adalah terjemahan sopan kepada perkataan Arab yang sebenarnya bermaksud tidak pernah melakukan hubungan seks yang menghilangkan keperawanan.

Ayat ini telah mendapat perhatian khusus para ulama’, khasnya para ahli tafsir. Secara zahir ia hanya menerangkan salah satu daripada sekian banyak nikmat di dalam syurga. Akan tetapi secara mendalam ia menerangkan beberapa perkara. Pertama, manusia lelaki dan jin lelaki boleh melakukan hubungan seks dengan bidadari syurga. Kedua, manusia lelaki dan jin lelaki memiliki alat kelamin yang sama sehingga boleh melakukan hubungan seks dengan bidadari yang sama. Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menerangkan bahawa dalam syurga disediakan bidadari yang khusus untuk manusia lelaki dan bidadari yang berbeza untuk jin lelaki. Ketiga, manusia lelaki dan jin lelaki akan merasa nikmat apabila bersama bidadari syurga, bererti manusia lelaki dan jin lelaki memiliki citarasa dan tarikan seksual yang sama. Tiga perkara ini mengarah kepada dua perbincangan lanjut di kalangan para ulama’:

Bolehkah Jin Lelaki Melakukan Seks Dengan Manusia Perempuan?

Berdasarkan ayat 74 surah al-Rahman di atas, jumhur (kebanyakan) ulama’ berpendapat jin lelaki boleh melakukan hubungan seks dengan manusia perempuan. Paling tidak, jin lelaki merasa tertarik dengan manusia perempuan, memandangnya, menyentuhnya dan memeluknya. Atas dasar ini jugalah, kebanyakan mangsa gangguan jin adalah dari kalangan manusia perempuan berbanding manusia lelaki.

Bolehkah Jin Lelaki Menikahi Manusia Perempuan?

Dipercayai perkara ini benar-benar pernah berlaku. Hanya dari sudut hukum Islam, ia tidak dibolehkan kerana perkahwinan hanyalah dibolehkan sesama jenis, yakni manusia lelaki dengan manusia perempuan, jin lelaki dengan jin perempuan. Lebih dari itu, tujuan pernikahan ialah mewujudkan suasana sakinah, mawaddah dan rahmah. Mustahil ini tercapai jika berlaku pernikahan antara jin dan manusia. Hukum ini adalah berdasarkan ayat berikut:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. [al-Rum 30:21]

Menjauhi Gangguan Jin Lelaki

Fakta di atas tentu membimbangkan, khasnya kepada para wanita. Lalu apakah yang boleh dan patut dilakukan untuk menjauhi gangguan jin lelaki? Lebih-lebih lagi apabila jin lelaki itu …melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. [al-A’raaf 7:27]

Pertama, hendaklah selalu berpakaian yang menutup aurat, paling kurang dari leher hingga ke kaki meskipun apabila berseorangan dalam bilik. Sebahagian wanita ada yang berpakaian secara minimum apabila mereka berseorangan atau apabila sesama wanita. Ingat, jin lelaki boleh melihat manusia perempuan tanpa disedari. Pakaian yang serba minimum akan menaikkan daya tarikan seksual jin lelaki tersebut.

Kedua, apabila membuka dan menukar pakaian, bacalah Bismillah. Apabila membuka pakaian untuk ke tandas, bacalah Bismillah dan bacalah juga doa masuk tandas. Bacalah: Bismillah, Allahumma inni a’uzubika minal khubutsi wal khabaits. Rasulullah bersabda: Penghalang antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam (manusia) adalah ketika ada seorang di antara kalian masuk tandas, dia mengucapkan: Bismillah. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 551/606]

Ketiga, selain memenuhi fikiran dengan pengajian dan pekerjaan, lazimkan diri membaca al-Qur’an, hadis-hadis Rasulullah dan berzikir kepada Allah. Jin dapat membaca fikiran manusia dan akan tertarik dengan fikiran yang lazim ada kaitan dengan seks.

Gangguan Jin Wanita?

Timbul persoalan, bolehkah jin perempuan merasa tertarik dengan manusia lelaki, memandangnya, menyentuhnya, memeluknya dan mengada hubungan seks dengannya? Jawapan: Ya, boleh! Maka manusia lelaki hendaklah turut memerhatikan tiga langkah di atas bagi menjauhi gangguan jin perempuan.