Kita telah banyak berkenalan dengan makhluk jin sejak beberapa bulan yang lepas. Kali ini kita akan sentuh satu persoalan, apakah jin memiliki agama? Apakah mereka hidup taat sepenuhnya kepada Allah sepertimana malaikat, atau hidup bebas tanpa apa-apa tanggungjawab agama?

Persoalan ini dapat dijawab dengan ayat berikut di mana Allah berfirman: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. [al-Zariat 51:56] Berdasarkan ayat ini, tujuan ciptaan jin adalah sepertimana ciptaan manusia, iaitu agar kedua-dua spesis ini mentauhidkan Allah, menyembah Allah dan beribadah kepada-Nya.

Sebaik-baik Jin…

Pernah dengar kata ungkapan: Sebaik-baik jin adalah bersamaan seburuk-buruk manusia? Ungkapan ini bukanlah ayat al-Qur’an, hadis Rasulullah atau pesanan ulama’. Ia hanyalah ungkapan kebiasaan masyarakat kita. Marilah kita menilai sejauh mana betul atau salah ungkapan ini.

Dalam al-Qur’an terdapat sebuah surah yang Allah namakan Surah al-Jin. Allah mulakan surah ini dengan firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekumpulan jin telah mendengarkan (al-Qur'an) lalu mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Qur'an yang menakjubkan, (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar. Lalu kami beriman kepadanya dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorangpun dengan Tuhan kami.” [al-Jin 72:1-2]

 

Allah berfirman lagi dalam surah yang lain: Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar (bacaan) al-Qur'an, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan(nya), mereka berkata (sesama mereka): “Diamlah kamu (untuk mendengarnya).” Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaum mereka (untuk) memberi peringatan.

Mereka berkata: “Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar kitab (al-Qur'an) yang telah diturunkan sesudah Nabi Musa, yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Wahai kaum kami, terimalah (seruan) orang (yakni Muhammad) yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih.” [al-Ahqaf 46:29-31]

Jika dibaca dengan cermat ayat-ayat di atas, pasti kita akan teruja dengan sikap makhluk jin yang begitu tertarik dengan al-Qur’an, khusyuk mendengar pembacaannya, segera beriman kepada pengajarannya, mengakui peranannya sebagai petunjuk dan bersungguh-sungguh menyampaikan tentang al-Qur’an kepada kaum mereka yang belum mengenalinya.

Nah! Cuba bandingkan dengan sikap manusia terhadap al-Qur’an. Sebahagian besar manusia tidak peduli tentang al-Qur’an, tidak mahu membacanya, jahil terhadap erti dan pengajarannya, segan untuk menceritakan tentangnya, membacakannya kepada orang mati, meniup sana-sini sebagai petua, menggantungnya sebagai tangkal pelaris dan menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan.

Lalu bagaimana mungkin dikatakan Sebaik-baik jin adalah bersamaan seburuk-buruk manusia? Ini adalah ungkapan yang tidak benar, bahkan merupakan satu bentuk keangkuhan manusia ke atas diri sendiri dan tuduhan dusta ke atas jin.

Jin Soleh Dan Selainnya

Di kalangan manusia ada yang muslim dan ada yang tidak. Di kalangan manusia yang muslim pula ada yang soleh dan ada yang tidak. Ada yang mengikuti jalan Muhammad, yakni mengikuti sunnah Rasulullah tanpa dikurangi, ditambah atau diubah-suai. Ada pula yang mengikuti jalan-jalan lain yang menyelisihi dan menjauhi jalan Muhammad sehingga mereka menjadi bergolongan-golongan dengan nama dan ciri-ciri tersendiri.

Demikianlah juga dengan jin. Mereka mengaku sendiri sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an: Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. [al-Jin 72:11]

Oleh itu jin bukanlah lebih buruk mahupun lebih baik berbanding manusia. Mereka seperti manusia dengan ada yang soleh dan sebaliknya, ada yang berada pada jalan yang lurus dan sebaliknya. Jika para pembaca sekalian telah memahami hakikat ini, akan jelas nampak kesalahan mereka yang menggunakan khidmat jin atas alasan ia adalah jin Muslim. Ini kerana jin Muslim itu pelbagai ragamnya sepertimana manusia Muslim, ada yang jujur, ada yang dusta, ada yang amanah, ada yang khianat. Jika manusia Muslim yang dapat dilihat air mukanya masih sukar untuk dinilai sikap jujur dan amanahnya, bagaimana pula dengan jin Muslim yang tidak dapat dilihat?

Jin Muslim itu pelbagai tahapnya sementara jin yang benar-benar soleh lagi taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan membacakan ayat ini kepada sesiapa yang meminta khidmatnya: Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeda-beda. [al-Jin 72:11] Jin yang soleh juga akan menerangkan bahawa keizinan menggunakan khidmat jin hanya untuk Nabi Sulaiman, tidak bagi sesiapa lain. [Rujuk kolum sebelum ini: Beberapa Ciri Istimewa Jin]

Syurga Dan Neraka

Pada Hari Akhirat kelak, jin akan diadili oleh Allah sepertimana manusia dan diberi ganjaran syurga atau azab neraka. Dalil jin akan masuk syurga ialah ayat yang menerangkan bahawa jin akan memperolehi bidadari syurga sebagaimana manusia: Mereka (bidadari itu) tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka dan tidak pula oleh jin. [al-Rahman 55:74]

Dalil jin akan masuk neraka ialah firman Allah: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. [al-A’raaf 7:179] Di sini timbul persoalan, bukankah jin dicipta daripada api, lalu bagaimana mungkin api mengazab api? Dijawab, bahawa ciptaan daripada api hanya pada awalnya bagi jin pertama sebagaimana manusia pertama pada awalnya dicipta daripada tanah. Adapun selepas itu, jin tidak lagi diperbuat daripada api sebagaimana manusia tidak lagi diperbuat daripada tanah. Masing-masing makhluk berkembang-biak dengan sistem tersendiri.

Apabila sekepal tanah dibaling kepada manusia, dia akan terasa sakit. Demikian juga apabila api menyentuh jin, baik di dunia atau akhirat, jin juga akan merasa sakit. Di sini juga terserlah kesalahan pihak yang merawat kes rasukan jin dengan merendamkan mangsa ke dalam air ais, dengan alasan kononnya air yang sejuk dapat menghalau atau mematikan jin yang diperbuat daripada api. Padahal jin biasa terbang di angkasa sehingga ke langit terbawah sementara suhu di angkasa berganda-ganda lebih sejuk berbanding air ais di bumi. Dara.com (Nov 2015)