Kita biasa mendengar tentang adab-adab ziarah pesakit. Bahkan dalam kolum-kolum yang lepas kita telah mengupas adab-adab ziarah pesakit yang diajar oleh Islam. Tahukah para pembaca sekalian, Islam sebagai agama yang syumul turut menggariskan adab-adab pesakit? Yakni adab-adab yang perlu diperhatikan oleh seorang muslim yang Allah uji dengan sesuatu penyakit. Insya-Allah dalam kolum ini kita akan mengupasnya berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

Semua Orang Akan Sakit

Satu hakikat yang tidak boleh dielakkan ialah, semua orang akan sakit. Secara lebih tepat, Allah Subhanahu waTa'ala akan menimpakan semua orang dengan satu atau lebih penyakit. Penyakit-penyakit termasuk satu bentuk ujian bagi mengukur keimanan, menghapuskan dosa, meningkatkan jati diri dan menginsafkan kita agar kembali kepada Allah.


sickdoll.jpg 

Penyakit ialah salah satu musibah sebagaimana musibah-musibah lain seperti kecacatan, kemiskinan, bencana alam dan kehilangan orang yang dikasihi. Perkara-perkara ini disebut sebagai musibah kerana ia sesuatu yang tidak disukai oleh manusia. Namun yang benar ia adalah satu kebaikan yang diinginkan oleh Allah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini: Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Dia akan memberinya musibah. [Shahih al-Bukhari, no: 5213/5645]

Ujian-ujian ini termasuk tujuan Allah mencipta kita dan memberikan kehidupan dan kematian. Justeru ujian-ujian ini akan berterusan tanpa mengenal titik noktah. Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Segala keberkatan bagi Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:1-2]

Oleh itu hendaklah kita semua, termasuk diri penulis, berada dalam keadaan bersiap sedia menerima ujian. Ini kerana ujian kerap kali datang secara tiba-tiba dalam suasana yang tidak disangka-sangka. Apabila ia tiba-tiba datang, ramai yang tidak dapat menerimanya sehingga mengeluh dan merungut. Atas sebab inilah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Sesungguhnya sabar itu tidak lain pada saat awal terjadinya musibah. [Shahih al-Bukhari, no: 1203/1283]

Kadangkala apabila diuji dengan musibah yang berat, ada yang mula mempersoalkan Allah, marah kepada-Nya, putus asa kepada-Nya dan mengucapkan perkataan atau melakukan perbuatan yang merosakkan aqidah. Semua ini dilarang dalam Islam lagi memburukkan keadaan. Orang yang bersikap sedemikian bukan sahaja gagal dalam ujian, tetapi mungkin sahaja menyebabkan dirinya diazab dalam neraka.

 

Kisah Seorang Pejuang Yang Berani

Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian sebuah kisah benar. Ia berkenaan seorang pejuang pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang amat berani lagi disanjung oleh para sahabat. Namun apabila Allah Subhanahu waTa'ala mengujinya dengan satu musibah yang berat, dia melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama. Oleh kerana perbuatan tersebut, dia dimasukkan dalam neraka. Hayatilah kisah berikut:

Daripada Sahal bin Sa'ad As-Sa'idi radhiallahu 'anh, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertembung dengan kaum musyrikin lalu saling berperang. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bergabung dengan bala tentera baginda dan musuhnya pun bergabung kepada bala tentera mereka (masing-masing berehat sebentar), terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu saja melainkan dia mengejar dan menyerang musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: “Pada hari ini tidak ada seorang pun di antara kita yang mendapat ganjaran pahala sebagaimana yang didapati oleh fulan (yang berani) ini.”

Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Ketahuilah sungguh dia termasuk dari golongan ahli neraka.” Lalu ada seorang lelaki di tengah-tengah orang ramai berkata: “Aku akan ikut menemaninya (dan perhatikan segala tindakannya).” 

(Sahal menerangkan): “Maka lelaki itu pergi bersamanya sehingga apabila dia (sahabat yang berani itu) berhenti lelaki itu pun berhenti bersamanya dan apabila dia maju menyerang lelaki itu pun ikut menyerang bersamanya. (Setelah beberapa ketika) dia terluka sangat parah sehingga menghampiri maut. Maka dia meletakkan pedangnya di tanah dan ujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.”

Maka lelaki yang ikut menemaninya itu pergi menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Aku bersaksi bahawa anda benar-benar utusan Allah.” Rasulullah bertanya: “Kenapa kamu berkata begitu?” Dia menjawab: "Lelaki (berani) yang anda sebutkan tadi benar-benar dari kalangan ahli neraka.” Orang-orang (di sekitar) hairan mendengar ucapannya itu. Lelaki itu menambah: “Aku menjadi saksi bagi kalian. Aku telah keluar untuk memperhatikan tindakan (sahabat yang berani itu), kemudian aku mendapati dia dalam keadaan luka yang sangat parah sehingga menghampiri maut. Dia meletakkan pedangnya di tanah dan ujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.” 

Maka pada kesempatan itu juga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli syurga berdasarkan apa yang nampak pada manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli neraka. Dan ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli neraka berdasarkan apa yang nampak oleh manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli syurga.” [Shahih al-Bukhari, no: 2683/2898]

Berdasarkan kisah di atas, hendaklah kita semua berwaspada apabila Allah Subhanahu waTa'ala tiba-tiba memberikan ujian atau musibah ke atas diri kita. Jangan memikirkan, mengucapkan atau melakukan sesuatu yang dilarang oleh Islam. Seandainya sudah terlanjur, maka segeralah berstighfar kepada Allah, kerana Allah amat Pengampun lagi amat Penyayang.

Ingatlah, meskipun kita sudah memiliki “rekod” amal soleh yang amat banyak lagi baik, semua itu menjadi sia-sia jika diakhirnya kita mempersoalkan Allah, marah kepada-Nya, putus asa kepada-Nya atau melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.