Orang yang sakit hendaklah tetap mendirikan solat fardhu lima kali sehari kerana solat tidak sah tanpa wudhu’. Maka dalam ruangan kali ini, saya ingin berkongsi bersama para pembaca sekalian cara-cara berwudhu’ bagi orang yang sakit.

Sebenarnya, cara berwudhu’ adalah sama bagi orang yang sihat dan sakit. Semuanya dimulakan dengan membasuh tangan, berkumur-kumur, menyedut air ke dalam hidung dan menghembus keluar, membasuh muka, membasuh tangan dari pergelangan hingga ke siku, membasahkan rambut dan telinga, diakhiri dengan membasuh kaki dari pergelangan ke bawah. Bagi orang yang sakit, ada beberapa perkara yang memerlukan perincian. Ia seperti berikut:

Niat

 

Niat ialah lintasan hati tentang apa yang akan dilakukan. Oleh itu niat kedudukannya ialah di dalam hati dan bukannya di mulut serta lidah. Dalam erti kata lain, niat tidak perlu dilafazkan atau diucapkan dengan perkataan-perkataan tertentu sebagaimana yang biasa di ajar di Malaysia. Asalkan seseorang itu mengetahui dan berkehendak melakukan sesuatu ibadah, maka itu adalah niat dan Allah mengetahuinya. 

 

Ini kerana Allah adalah tuhan yang Maha Mengetahui. Allah mengetahui setiap lintasan hati hamba-hamba-Nya. Bahkan jika seseorang itu melafazkan niat “Sengaja aku berwudhu’ kerana Allah” tetapi hatinya berkehendak melakukan wudhu’ kerana ingin menunjuk-nunjuk di hadapan rakan-rakannya (riya’), yang diambil kira oleh Allah ialah lintasan hati dan bukannya lafaz mulut. Justeru yang penting lagi diambil kira bagi semua amal ibadah ialah niat di hati dan bukannya di mulut serta lidah.

Oleh itu baik ketika sihat atau sakit, seseorang itu tidak perlu memberat-beratkan dirinya dengan melafazkan niat.

Perkara ini sengaja saya tekankan kerana ada pesakit yang menghadapi masalah tidak boleh mengucapkan apa-apa, misalnya kerana menghadapi pembedahan di bahagian mulut atau muka. Ada juga pesakit yang menyangkakan terdapat lafaz niat yang berlainan untuk orang yang sakit. Kedua-dua keadaan ini menyebabkan mereka tidak beramal ibadah, baik wudhu’ mahupun solat, semata-mata kerana tidak dapat melafazkan niat. Maka apa yang benar daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, niat ialah lintasan hati dan bukannya ucapan di mulut dan lidah.

Anggota Yang Tertutup

Kadangkala seorang pesakit menghadapi masalah anggota wudhu’ yang tertutup. Contohnya tangan yang disimen kerana patah tulang atau kaki yang berbalut kerana luka pembedahan. Maka apa yang dilakukan ialah berwudhu’ seperti biasa. Akan tetapi khusus bagi anggota wudhu’ yang tertutup, memadai dengan mengusap tangan yang dilembabkan dengan air ke atasnya.

Inilah yang dilakukan oleh para ilmuan generasi awal umat Islam seperti Thawus, al-Hasan al-Basri dan Ibrahim al-Nakha’e. Inilah juga pendapat Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. [Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 288-290]

Walau bagaimanapun, jika mengusap tangan yang dilembabkan dengan air ke atas balutan boleh merosakkan balutan atau membahayakan luka di bawahnya, maka tidak perlu mengusap langsung. Berwudhu’lah seperti biasa dan kecualikan anggota yang tidak dapat diusap tersebut.

Sebahagian orang ada yang mengalami penyakit kulit kering yang kronik. Mereka terpaksa menyapu krim pelembab kulit yang benar-benar kental dan kalis air. Krim ini melekat ke kulit sehingga sukar dibasuh. Jika mereka mengambil wudhu’, air wudhu’ tidak akan menyentuh kulit kerana kekentalan krim pelembab tersebut. Orang seperti ini hendaklah tetap berwudhu’ seperti biasa. Masalah air yang tidak menyentuh anggota wudhu’ adalah sesuatu yang dimaafkan kerana penyakit kulit kering yang dihadapinya.

Semua cara wudhu’ yang saya sebut di atas adalah sah kerana Allah adalah tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Jangan dihiraukan syaitan yang akan datang membisikkan perasaan ragu-ragu atau was-was kononnya wudhu’ seperti itu adalah tidak sah. Yakinlah kepada Allah dan bukan kepada syaitan.

Tidak Dapat Bergerak

Seorang pesakit boleh jadi menghadapi cabaran lain, iaitu dia tidak dapat bergerak. Dia tidak dapat bangun dari katilnya untuk ke singki atau bilik air untuk mengambil wudhu’. Maka penyelesaian bagi cabaran ini ialah memintakan orang lain mewudhu’kan dirinya.

Ya, mintalah daripada ahli keluarga atau sahabat yang datang ziarah untuk mewudhu’kan dirinya. Boleh juga meminta staf hospital untuk tolong mewudhu’kannya.

Orang yang akan mewudhu’kan pesakit, isilah air dalam apa-apa bekas lalu bawa ke sebelah pesakit. Kemudian basuh serta basahkan anggota-anggota wudhu’ pesakit terbabit seolah-olah sedang mewudhu’kan anggota sendiri. Jika ada anggota yang tertutup, memadai mengusap di atasnya atau dikecualikan terus sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Usah dibimbangi tentang hukum air musta’mal kerana hukum ini – sekali lagi – termasuk ajaran yang memberat-beratkan umat Islam di Malaysia. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak ada paip air yang mencurah-curah. Baginda serta umat Islam mengambil wudhu’ daripada sebuah bekas yang berisi air dan suasana kehidupan saat itu menyebabkan mereka semua amat hemah dalam menggunakan air.

Di sini terdapat keutamaan yang amat besar bagi orang-orang yang menziarahi pesakit. Mereka bukan sahaja seolah-olah berada di dalam taman syurga tetapi dapat membantu pesakit untuk mengambil wudhu’ dan solat. Sudah tentu bantuan ini akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Allah Maha Pengasih

Dalam keadaan biasa, setiap muslim hendaklah berwudhu’ seperti biasa. Namun dalam keadaan tertentu seperti ketika sakit, Allah yang Maha Pengasih memberikan beberapa kemudahan dan pengecualian dalam berwudhu’. Selain daripada beberapa kemudahan dan pengecualian yang saya sebut di atas, ada satu lagi kemudahan iaitu bertayamum. Ini akan saya jelaskan dalam edisi akan datang insya-Allah.