Dalam edisi yang lepas kita telah mengupas tentang sebab-sebab tayamum dan apa yang dimaksudkan sebagai “tidak mendapat air”. Dalam edisi ini akan mengupas pula bahan yang boleh digunakan untuk tayamum dan beberapa persoalan lain.

 

Bahan Tayamum

Dalam ayat yang mensyari’atkan tayamum, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih. [al-Maidah 5:06] Berdasarkan ayat ini, sebahagian ilmuan berpendapat bahan tayamum hanyalah tanah. Sebahagian yang lain meluaskannya kepada tanah, pasir dan batu. Sebahagian lain pula meluaskannya kepada semua di bumi ini seperti tanah, pasir, batu, marmar, jubin, kapur dan simen. Termasuklah bahan-bahan daripada bawah bumi seperti besi, tembaga dan aluminium. Termasuk juga semua yang tumbuh di atas bumi seperti kayu daripada pokok-pokok. Asalkan ia dari bumi ini, maka itulah bahan tayamum.

debu

 

Pendapat yang terakhir inilah yang paling tepat. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskan bahawa tanah yang dimaksudkan dalam ayat di atas, yang boleh digunakan untuk bersuci – yakni tayamum – ialah seluruh bumi ini. Baginda bersabda:

Rabbku (Allah) telah memuliakanku di atas para Nabi as-Sholatu wassalam atau atas umat-umat dalam empat hal. (Pertama), Aku diutus untuk manusia seluruhnya. (Kedua) Dijadikan seluruh bumi untukku dan umatku sebagai tempat solat dan bersuci, maka apabila saja seseorang daripada umatku menemui waktu solatnya, di situlah tempat solatnya dan di situlah tempat dia menyucikan diri. (Ketiga), aku diberi kemenangan dengan rasa takut yang dilontarkan ke dalam dada para musuhku sejauh perjalanan satu bulan dan (Keempat), harta rampasan perang dihalalkan bagi kami. [Musnad Ahmad, no: 21120/22137, sahih. Lihat juga Shahih al-Bukhari, no: 323/335]

Dalam hadis yang telah dikemukakan dalam edisi lepas, baginda pernah bertayamum dengan sebuah tembok. Tembok pada zaman dahulu lazimnya diperbuat daripada batu dan tanah liat. Baginda tidak tunduk untuk bertayamum dengan tanah yang dipijaknya saat itu.

 

Cara Bertayamum

Cara bertayamum adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengannya. [al-Maidah 5:06] Ringkasnya, tepuklah kedua-dua telapak tangan ke atas bahan tayamum seperti dinding, hadapkan kedua-dua telapak tangan ke muka dan sapukannya di muka. Kemudian sapu kedua-dua tangan depan dan belakang sehingga ke pergelangan tangan sahaja.

Tidak perlu melafazkan niat kerana Allah lebih mengetahui apa yang berada di dalam hati manusia. Sapuan ke muka dan tangan hanyalah sekali, demikian yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang sahih. Adapun sapuan dua atau tiga kali dan sapuan lengan dari pergelangan sehingga ke siku, maka hadis-hadis terbabit adalah lemah dan tidak dapat dijadikan hujah.

Satu salah faham yang lazim berlaku ialah anggapan bahan tayamum seperti debu tanah hendaklah melekat pada telapak tangan untuk disapukan ke muka dan kedua-dua tangan. Tidak ada dalil kukuh untuk menyokong anggapan ini. Bahkan apabila mengajar cara bertayamum, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meniup debu-debu tanah yang melekat di telapak tangannya, sebelum diusap ke muka dan kedua-dua tangannya [Shahih al-Bukhari, no: 326/338]. Seandainya debu tersebut merupakan syarat tayamum, nescaya baginda tidak akan meniup kedua-dua telapak tangannya setelah menepuk di atas tanah.

 

Apabila Dapat Menggunakan Air

Tayamum adalah pengganti air bagi mensucikan diri daripada hadas kecil atau hadas besar. Bagaimana jika seseorang itu bertayamum lalu kemudian dia menemui air atau dapat menggunakan air? Jawapannya perlu diperincikan seperti berikut.

Apabila seseorang itu bertayamum sebagai pengganti wudhu’ untuk mendirikan solat, namun sebelum mendirikan solat dia menemui air atau dapat menggunakan air, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan air tersebut lalu mendirikan solat. Apabila seseorang itu bertayamum untuk mendirikan solat dan apabila masuk waktu solat yang seterusnya dia tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan wudhu’, tayamumnya yang awal masih sah. Dia tidak perlu memperbaharui tayamumnya. Namun jika dia menemui air atau dapat menggunakan air ketika dalam waktu solat yang baru itu, hendaklah dia berwudhu’.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Sesungguhnya tanah yang suci adalah alat wudhu’ seorang Muslim meskipun dia tidak mendapatkan air selama sepuluh tahun. Namun apabila dia telah mendapatkannya (air), maka hendaklah dia membasuh badannya kerana hal itu lebih baik baginya. [Musnad Ahmad, no: 20587/21371, sahih]

Apabila seseorang itu bertayamum dan mendirikan solat, lalu ketika solat atau sesudah solat dia menemui air atau dapat menggunakan air, maka solatnya tetap sah. Dia tidak wajib berwudhu’ dan mengulangi solat terbabit. Pada zaman Rasulullah, ada dua orang sahabat yang bertayamum lalu solat. Ternyatakan kemudian mereka menemui air. Maka seorang daripada mereka tidak mengulangi solatnya sementara yang kedua mengambil wudhu’ dengan air tersebut dan mengulangi solatnya. Apabila mereka mengkhabarkan perkara ini kepada Rasulullah, baginda bersabda kepada sahabat yang tidak mengulangi solatnya: Kamu melakukan sesuatu yang selari dengan sunnah dan solatmu itu menghasilkan pahala untukmu. Kepada sahabat yang mengulangi solatnya, baginda bersabda: Kamu mendapat pahala dua kali. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 286/338]

Apabila seseorang itu bertayamum sebagai pengganti mandi wajib untuk hadas besar, seperti keadaan junub atau haid, maka tayamum tersebut adalah cukup baginya mendirikan solat. Namun apabila kelak dia menemui air atau dapat menggunakan air, hendaklah dia mandi wajib dengan air tersebut. Dia tidak perlu qadha atau mengulangi solat-solat yang sudah didirikan.

Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang enggan ikut solat berjemaah kerana dia dalam keadaan junub. Maka Rasulullah menyuruhnya bertayamum dan mendirikan solat. Beberapa ketika kemudian apabila mereka memperolehi air, Rasulullah menyuruh sahabat terbabit mandi wajib dengan air tersebut. Akan tetapi dia tidak perlu mengulangi solat yang sudah didirikan. [Shahih al-Bukhari, no: 331/344]