Ada dua hadis yang menjadi asas bagi orang yang sakit melaksanakan solat.

Hadis Pertama: Malik bin al-Huwairits menceritakan: “Kami datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, saat itu kami adalah para pemuda yang sebaya usianya. Maka kami tinggal bersama baginda selama dua puluh hari dua puluh malam. Baginda adalah seorang yang sangat penuh kasih sayang dan lemah-lembut. Ketika baginda menganggap bahwa kami telah inginkan atau rindukan keluarga kami, baginda bertanya kepada kami tentang orang (ahli keluarga) yang kami tinggalkan.

Maka kamipun mengkhabarkannya kepada baginda. Kemudian baginda bersabda: “Kembalilah kepada keluarga kalian dan tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka dan perintahkanlah (mereka untuk solat).” Baginda seterusnya menyebut sesuatu yang aku pernah ingat lalu lupa. (Kemudian) baginda bersabda: “Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat. Maka jika waktu solat sudah tiba, hendaklah salah seorang dari kalian mengumandangkan adzan dan hendaklah yang menjadi imam orang yang paling tua di antara kalian.” [Shahih al-Bukhari, no: 595/631]

solat duduk

Pengajaran penting dalam hadis pertama ini ialah hendaklah kita semua solat sebagaimana Rasulullah solat, sebagaimana perintah baginda: Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat. Berdasarkan perintah ini, hendaklah kita semua mengulangkaji dan menyemak semula cara dan bacaan solat kita. Apakah ia menepati cara dan bacaan Rasulullah atau lebih menepati kebiasaan masyarakat? Sebuah yang terbaik untuk dijadikan rujukan ialah Sifat Solat Nabi Dari Takbir Hingga Salam karya Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani.

Hadis Kedua: Abu Hurairah menerangkan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Cukuplah dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana soalan-soalan mereka (yang berbentuk negatif) dan penentangan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Maka apabila aku melarang kalian daripada sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288]

Dalam hadis kedua ini pula, hendaklah kita mencukupkan diri dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita jauhi apa yang baginda larang dan kita amalkan semampu mungkin apa yang baginda perintahkan. Janganlah memutar belit, ingin mengetahui sebab sebelum beramal, mengubah-suai, menokok-tambah dan membantah apa yang baginda amalkan serta sampaikan.

“Soalan-soalan mereka…” yang dimaksudkan dalam hadis di atas bukanlah soalan orang yang ingin faham dengan lebih mendalam, tetapi soalan untuk meremehkan, mempermainkan dan memperkotak-katikkan perintah serta larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun soalan untuk memahami dengan lebih mendalam, tentu saja ia dibolehkan dan digalakkan.

 

Kaitan Kedua-Dua Hadis Dengan Solat Ketika Sakit

Adapun kaitan kedua-dua hadis di atas dengan solat ketika sakit, maka hadis pertama merupakan perintah untuk solat sebagaimana Rasulullah solat. Hadis kedua pula merupakan persyaratan kepada hadis pertama, iaitu hendaklah melaksanakan perintah untuk solat sebagaimana Rasulullah solat semampu mungkin.

Orang yang sakit, kemampuannya untuk solat sudah tentu berbeza dengan orang yang sihat. Orang-orang yang sakit pula menghadapi penyakit yang berbeza-beza di antara satu sama lain sehingga kemampuan seseorang tentu berbeza dengan kemampuan orang yang lain.

Oleh itu setiap orang yang sakit hendaklah tetap melaksanakan solat-solat fardhunya. Hanya solat tersebut boleh dikurangkan rukun-rukunnya mengikut kemampuan setiap pesakit. Contohnya:

  • Sebelum solat hendaklah suci dari hadas besar dan hadas kecil. Namun jika pesakit tidak mampu untuk mandi wajib, berwudhu’ atau bertayamum, dia tetap melaksanakan solat seperti biasa.
  • Solat hendaklah menghadap kiblat. Akan tetapi jika pesakit tidak mampu untuk menghadap kiblat, dia cuba untuk menghadap paling hampir ke arah kiblat. Namun jika tidak mampu untuk menghadap langsung, dia tetap melaksanakan solat tanpa menghadap kiblat.
  • Solat hendaklah dengan berdiri, diikuti dengan pergerakan rukuk, sujud dan sebagainya. Jika seorang pesakit tidak mampu solat berdiri, dia solat dengan duduk, kemudian rukuk dan sujud. Jika seorang pesakit tidak mampu untuk rukuk dan sujud, maka dia menundukkan kepala untuk rukuk dan membongkokkan badan untuk sujud.
  • Jika dia tidak mampu untuk solat duduk, maka dia solat secara mengiring atau berbaring dan menggerakkan kepalanya untuk rukuk dan sujud. Jika dia langsung tidak mampu untuk menggerakkan kepala, maka tidak perlu menggerakkan apa-apa.

Semua cara solat di atas adalah sah dan tidak perlu diulangi apabila sihat kelak. Ia telah mendapat tauliah dan pengiktirafan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan sabda baginda: apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. Oleh itu para pesakit sekalian usah merasa ragu untuk melaksanakan solat sekadar yang mampu ketika sakit. Usah juga melaksanakan solat sekadar “menghormati waktu” kerana solat menghormati waktu tidak wujud pada zaman Rasulullah. Ingat pesan baginda: Cukuplah dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian.

 

Solat Bagi Pesakit Yang Koma

Pesakit yang koma atau hilang kesedaran akal, maka mereka tidak wajib melaksanakan solat dan tidak wajib menggantinya (qadha) apabila sihat kelak. Ini kerana solat hanya wajib bagi orang yang berakal dan siuman, sementara keadaan mereka ketika itu (koma atau hilang kesedaran akal) telah menyebabkan kewajipan solat terangkat daripada mereka.