Umat Islam memiliki dua hari sambutan atau hari perayaan, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Memandangkan kita hanya memiliki dua hari perayaan, maka amatlah penting untuk kita memelihara ketulenan dan kemuliaannya agar ia benar-benar selari dengan kehendak agama. Justeru pada kesempatan ini, saya ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang merosakkan ketulenan Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Kerosakan dan pencemaran yang saya maksudkan bukanlah sambutan secara berpesta (party) atau majlis yang melibatkan pencampuran bebas antara lelaki dan wanita. Saya yakin para pembaca Dara.com sekalian telah mengetahui kesalahannya dari sudut Islam dan tidak akan menyambut hari perayaan Islam dengan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Namun kerosakan yang saya maksudkan merujuk kepada beberapa hadis yang amat lemah dan palsu yang sering dibaca dan ditulis dalam media berkenaan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hadis-hadis tersebut ada yang menganjurkan ibadah di malam atau pagi Hari Raya, sama ada Aidil Fitri atau kedua-dua Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Eid-Moon

Ibadah Pada Malam Hari Raya.

Tidak ada apa-apa ibadah khusus yang disyari’atkan pada malam Aidil Fitri dan Aidil Adha kecuali takbir Hari Raya. Akan tetapi di kalangan umat Islam ada yang memperbanyakkan ibadah pada malam atau pagi Hari Raya. Kesalahan ini tidak terletak di bahu mereka secara keseluruhan kerana diketahui ada beberapa pihak yang suka menyebarkan hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu yang menganjurkan tambahan ibadah tersebut.

Antaranya ialah hadis yang berbunyi “Sesiapa yang berqiamulail pada malam dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) kerana mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati.” Hadis lain menyebut “Sesiapa yang menghidupkan empat malam berikut (dengan ibadah), maka wajiblah baginya syurga: malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Aidil Adha dan malam Aidil Fitri.” Kemudian terdapat juga hadis “Tidaklah seorang hamba yang solat enam rakaat pada malam hari raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) melainkan dia akan dapat memberi syafaat kepada ahli rumahnya (kaum keluarga) yang semuanya telah ditentukan hukuman neraka.”

Ada juga hadis yang menjanjikan “Malam Aidil Fitri ialah malam rahmat, Allah memerdekakan padanya hamba-hamba-Nya dari neraka. Maka sesiapa yang bersolat dua rakaat pada malam itu nescaya Allah menulis baginya pahala puasa Ramadhan yang menyamai pahala kanak-kanak dan orang tua – lelaki mahupun wanita.”

Terdapat sebuah hadis yang panjang, di mana permulaannya adalah “Demi Allah yang telah mengutuskan aku sebagai Nabi dengan membawa kebenaran bahawa Jibrail telah memberitahu kepadaku daripada Israfil daripada Tuhannya, bahawa sesiapa bersolat seratus rakaat pada malam Aidil Fitri, pada tiap-tiap rakaat dia membaca al-Fatihah sekali dan surah al-Ikhlas sepuluh kali…(hingga akhir)”. Terdapat juga hadis yang konon menjanjikan kemakbulan doa “Ada lima malam yang tidak akan ditolak doa padanya: malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Aidil Fitri dan malam Aidil Adha.”

Hadis ini dan hadis-hadis lain di atas semuanya bertaraf amat dhaif dan palsu sehingga tidak boleh dijadikan sandaran mahupun hujah untuk beramal ibadah.

Ringkasnya, tidak ada ibadah khusus untuk malam Aidil Fitri mahu pun Aidil Adha. Jika para pembaca sekalian lazim bangun malam untuk berqiamulail, maka teruskanlah ia sekalipun pada kedua-dua malam tersebut. Akan tetapi jika tidak lazim, maka tidak perlu mengkhususkan malam Aidil Fitri mahupun Aidil Adha untuk apa-apa ibadah. Ini kerana kedua-dua malam tersebut tidak memiliki apa-apa kelebihan berbanding malam-malam yang lain.

 

Ibadah Pada Pagi Aidil Fitri.

Tidak ada apa-apa ibadah khusus pada pagi Aidil Fitri dan Aidil Adha melainkan takbir Hari Raya dan solat sunat Aidil Fitri sebanyak 2 rakaat diikuti dengan khutbah Hari Raya selepas solat. Hukum solat sunat tersebut adalah sunat muakkadah (sunat yang amat dituntut) manakala hukum khutbah Hari Raya ialah sunat.

Berbeza dengan khutbah solat Jumaat yang hukumnya wajib, khutbah solat Aidil Fitri dan Aidil Adha hukumnya sunat. Sesiapa yang ada urusan boleh beredar awal setelah solat Aidil Fitri dan Aidil Adha. Adapun khutbah solat Jumaat, hendak meninggalkan semua urusan dan segera menghadiri khutbah dari awal hingga akhir.

Seterusnya, tidak ada solat sunat sebelum (qabliyah) atau sesudah (ba’diyah) solat sunat Aidil Fitri mahupun Aidil Adha. Dalam bab ini terdapat hadis yang menganjurkan solat sunat sesudah solat sunat Aidil Fitri atau Aidil Adha, akan tetapi hadis tersebut adalah palsu.

Antaranya ialah “Sesiapa bersolat empat rakaat pada hari Aidil Fitri sesudah dia mengerjakan solat Hari Raya, pada rakaat pertama dia membaca al-Fatihah dan surah al-‘Ala, pada rakaat kedua surah asy-Syamsi, pada rakaat ketiga surah adh-Dhuha dan pada rakaat keempat surah al-Ikhlas, maka seakan-akan dia membaca semua kitab Allah yang telah diturunkan ke atas para Nabi, dan seakan-akan dia telah mengenyangkan semua anak yatim… (hingga akhir).”

Terdapat juga sebuah hadis lain “Termasuk sunnah ialah mendirikan solat sunat dua belas rakaat sesudah solat Aidil Fitri dan mendirikan solat sunat enam rakaat sesudah solat sunat Aidil Adha.” Kedua-dua riwayat di atas adalah palsu dan tidak boleh dijadikan hujah dalam beribadah.

 

Kebaikan Ialah Mengikut Ukuran Allah

Mungkin di kalangan pembaca ada yang bertanya “Apa salahnya kalau kita mengkhususkan malam dan pagi Aidil Fitri serta Aidil Adha dengan ibadah tambahan? Bukankah itu sesuatu yang baik?” Ketahuilah bahawa kebaikan dalam urusan ibadah tidak terletak pada ukuran manusia tetapi terletak pada ukuran Allah. Ini kerana kita sebagai hamba hanya menyembah Allah sebagai Tuhan dalam bentuk dan kadar ibadah yang ditentukan oleh-Nya. Kita tidak tahu apakah ibadah yang baik melainkan apa yang dikhabarkan oleh Allah melalui al-Qur’an dan hadis-hadis yang kuat darjatnya.

Lebih dari itu Aidil Fitri dan Aidil Adha ialah hari perayaan bagi umat Islam. Hari perayaan yang disambut dengan kegembiraan dan keceriaan. Oleh kerana itulah Allah sekadar mensyari’atkan ibadah yang sedikit agar masa selebihnya dapat diluangkan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.